TUJUAN ABUYA LANCARKAN BANI.

Memperjuangkan Islam itu wajib bagi semua umat Islam. Memperjuangkan Islam yang global pada setiap individu sepanjang hayat adalah fardhu ain. Seterusnya memperjuangkan Islam global dalam masyarakat dari peringkat masyarakat kecil (jemaah), daulah (negara), hinggalah empayar; merupakan fardhu kifayah.

Namun kita perlu ingat bahawa Allah juga telah menetapkan dalam jadual-Nya bahawa:

1. Jemaah itu dijanjikan kejayaan jika dipimpin oleh pemimpin kebenaran yang dijanjikan

2. Daulah Islam akhir zaman yang sebenar itu hanya akan berjaya jika dipimpin oleh Putera Bani Tamim.

3. Empayar Islam akhir zaman itu dijanjikan kepada Imam Mahdi.


Bila pemimpin yang dijanjikan, PBT dan Imam Mahdi itu tiada atau belum ada bersama kita, maka apakah 'portion' (bahagian/peranan) kita dalam perjuangan Islam itu? Bagi kita yang tidak dijanjikan ini apa yang patut dan layak untuk kita perjuangkan?

Allah sudah tegaskan dalam Al-Quran yang bermaksud : "jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka." Semua orang Islam patut tahu arahan Tuhan ini kerana ia adalah arahan kepada semua umat Islam, tiada siapa yang boleh berkecuali. Lelaki atau perempuan, tua dan muda, semuanya wajib mentaati arahan ini.

Ada yang kata ayat ini untuk orang yang sudah berkahwin atau berkeluarga sahaja, bahkan lebih khusus lagi kepada lelaki yang bergelar suami dan atau ayah. Betulkah begitu? Cuba teliti betul-betul.

1. "Ku anfusakum" itu kena pada semua orang, termasuk yang masih bujang. Anfusikum disini ertinya "diri kamu semua".

2. "Wa ahlikum" itu ertinya "dan ahli keluarga kamu". Ia berkaitan dengan mereka yang ada ahli keluarga. Hanya orang yang betul-betul sebatang kara sahaja yang tiada kaitan dengan ayat "jagalah ahli keluargamu" ini. Kalimah "wa" (dan) memisahkan diri (individu) dan keluarga. Ertinya, samada sudah berkeluarga atau tidak, Allah perintahkan agar pelihara iman dari Neraka.

Maknanya yang lebih besar lagi, kita sebagai umat Islam memang tak boleh elak dari arahan ini, bila-bila masa, samada waktu itu ada pemimpin dijanjikan atau tidak. Samada kita ahli jemaah atau tidak.

Bezanya antara orang yang ada jemaah dan tidak ialah bila ada jemaah kerja menjaga diri dan keluarga itu dibantu oleh jemaah, dibimbing oleh pemimpin jemaah itu. Sebab itu Islam juga mewajibkan kita berjemaah "alaikum bil jamaah". 

Tapi ingat, jemaah yang Rasulullah S.A.W. maksudkan itu ialah jemaah yang diterajui oleh pemimpin yang dijanjikan. Bukan sebarang jemaah yang bertopengkan Islam, lebih-lebih lagi bukan jemaah yang diterajui atau dipimpin oleh perempuan, kerana Allah telah menetapkan bahawa pemimpin bagi jemaah yang ahlinya lelaki dan wanita ialah seorang lelaki.

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
"Tuhan lebihkan lelaki itu daripada perempuan.." An-Nisa : 34

Kalau jemaah kebenaran itu tak dijumpai bagaimana? Kalau pemimpin yang dijanjikan tiada, siapa nak bimbing kita? Sedangkan kita maklum bahawa bukan semua orang mampu menjaga diri dan keluarganya dari api neraka. Ini bukan kerja mudah, bukan sekadar bagi nafkah kepada anak dan isteri, tetapi beri semua keperluan lahir dan batin kepada diri sendiri dan ahli keluarganya.

Pada tahun 2007, Abuya telah melancarkan sekaligus merasmikan kewujudan 'Bani' dalam jemaah. Bani ini ialah keluarga besar pemimpin yang Abuya telah lantik. Setiap bani-bani diberikan kelebihan yang tidak sama antara satu sama lain.

Gabungan bani-bani inilah menjadi tunggak dan kekuatan jemaah. Ada bani memiliki kekuatan dari sudut kewangan, ada dari sudut bilangan ahlinya yang ramai, ada bani dikuatkan dengan gabungan keluarga-keluarga kecil yang bernaung dibawahnya. Inilah rahmat bilamana bersatu dan berkasih sayang.

Abuya beri panduan supaya setiap ketua keluarga menguatkan bani atau keluarga masing-masing. Secara ringkasnya Abuya kata setiap ketua keluarga mesti pandai bagi MAKAN dan IMAN kepada bani masing-masing.

Untuk itu ketua bani kena aktif dan bijak dalam mendidik seluruh ahli baninya. Kena ada program ke dalam dan keluar yang sistematik dan berterusan. Yang paling penting dapat membina insan seluruh ahli keluarganya secara berterusan dan menggembeling tenaga mereka membangunkan sistem hidup Islam dalam bani tersebut. Maka dengan itu lahirlah kemajuan lahir dan batin yang mencukupi keperluan makan dan iman seluruh bani itu. Kalau tak mewah pun tak apa yang penting cukup dan ahli bani itu dapat redha dan bersyukur dengan apa yang ada.

Bagi ketua keluarga yang lemah atau tak mampu nak laksanakan tugasan itu dengan baik maka bergabunglah dengan bani yang kuat. Masing-masing ketua keluarga berpakat untuk bersatu dan bekerjasama dalam membina gabungan bani itu. Semoga dengan itu kelemahan satu-satu keluarga itu dapat ditampung dan disempurnakan. Gabungan bani yang semakin besar dan kuat itu sedikit sebanyak akan menguatkan Islam.

Kaedah memperjuangan Islam dengan memperkuatkan bani ini sebenarnya bukan perkara baru dalam Islam. Malah ada yang mencapai kejayaan hingga taraf empayar. Misalnya, Bani Osmaniah dari Turki, awalnya hanyalah sebuah bani yang dipimpin oleh Osman Al-Ghazi. Kemudian bani ini menerajui sebuah daulah dan akhirnya menjadi empayar Islam. Sebab itu disebut empayar Islam Osmaniyah merujuk kepada pengasasnya yang bernama Osman.

Begitu juga Arab Saudi, nama Saudi dirujuk kepada Mohammad Al-Saud yang mengasaskan Bani Saud. Bani-bani lain bergabung menguatkan Bani Saud ini hingga berjaya membentuk kerajaan Arab Saudi. Antara bani besar yang membentuk gabungan kerajaan Arab Saudi ini ialah bani Syammar yang ahlinya berjuta orang tersebar di seluruh timur tengah.

Nampaknya Abuya telah memandu dan mempersiapkan kita sejak lama. Jadi bila Abuya tiada, jemaah pun dah hancur, sepatutnya kita tak celaru, keliru dan hilang arah serta buat perkara yang bukan-bukan hingga menyimpang dan mengkhianati perjuangan Islam sebenar. Perjuangan Islam tetap dapat diteruskan, betulkan niat, sucikan keyakinan, tetapkan pendirian. 

Jangan bawa perjuangan diri, lebih-lebih lagi jangan rosakkan aqidah dan korbankan syariat untuk kepentingan diri. Jangan jual nama Allah dan Rasul untuk dapatkan kesenangan diri. Ingat amaran Allah: "fakuli'malu fasayaralallah, warasulihi, walmukminun". Berbuatlah kamu, maka Allah, Rasul-Nya dan orang mukmin akan menilai. 

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ 
"Dan katakanlah: Berbuatlah kamu! Maka Allah, rasul, dan orang mukmin memerhatikan perbuatan kamu" At-Taubah : 105

Allah boleh lakukan perjuangan Islam ini dan menangkan ia ditangan mereka yang telah persiapkan diri. Ingat! Abuya pernah berpesan, Abuya bukan sahaja persiapkan didalam malah diluar juga Abuya telah siapkan. Kalau didalam masih belum cukupkan syarat, rezeki orang diluar untuk membangunkan Islam.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?