SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?

Allah S.W.T. ketika memulakan penciptaan-Nya, Dia menciptakan Nur Muhammad. Nur Muhammad ini adalah cahaya yang sangat terang, yang sangat luar biasa. Cahaya ini penuh dengan rasa kehambaan terhadap penciptanya. Hakikatnya Nur Muhammad ini adalah dari cahaya-Nya.

Nur Muhammad adalah ciptaan yang paling Tuhan sayang! Kerana sayang dan cinta Allah kepadanya, terciptalah seluruh alam. Ketika Nur Muhammad telah diciptakan dan fizikalnya belum wujud, Allah berkata;
"Aku ingin menciptkan manusia yang paling Aku sayang di atas muka bumi ini"

Allah Taala menciptakan dari Nur Muhammad ini alam keseluruhannya. Dunia dan akhirat, syurga dan neraka, dunia, akhirat, malaikat, manusia, jin, haiwan, tumbuhan, jamadat, alam ghaib mahupun alam nyata, semuanya dari Nur Muhammad.

Seluruh yang ada diciptakan kerana Nur Muhammad. Cahaya yang luar biasa ini, kerana takutkan dan cintakan Allah, telah berlakulah peristiwa pencipaan alam daripadanya. Kerana-mu wahai Nabi Muhammad, kami semua diciptakan.

Allah kemudian menyampaikan kepadanya tentang kenabiannya, yang pada masa itu Nabi Adam pun masih belum terbentuk lagi. Kemudian dari Nur Muhammad keluarlah cahaya yang menjadi sumber kepada ruh-ruh keseluruhannya.

Cahayanya membuatkan roh baginda lebih suci dan luhur dibandingkan dengan seluruh ciptaan Tuhan yang lain, dan menjadikannya ayah roh kepada semua makhluk yang ada. Ini kerana daripadanyalah seluruh yang ada diciptakan.

Dari Sahih Muslim, Nabi S.A.W. bersabda, bahawa Allah telah menulis taqdir atau nasib seluruh makhluk sejak lima puluh ribu tahun lagi sebelum diciptakan Langit dan Bumi, dan di antara perkara yang tertulis dalam di Luh Mahfuz; Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah penutup para Nabi dan para Rasul 'alaihimussolatu wassalam.

Al Irbadh bin Sariya berkata bahawa Nabi S.A.W. telah bersabda: 
“Menurut Allah, aku sudah menjadi Penutup Para Nabi, ketika Adam masih dalam bentuk tanah liat.”

Maisarah Ad-Dhabbi R.A. berkata, bahawa dia bertanya Nabi S.A.W.,
“Ya Rasulallah, bilakah tuan menjadi seorang Nabi?”
Baginda S.A.W. menjawab,
“Ketika Adam masih di antara ruh dan badannya.”

Suhail bin Salih Al-Hamadani berkata:
“Aku bertanya pada Abu Jaafar Muhammad bin Ali R.A., "Bagaimanakah Nabi Muhammad boleh mendahului nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain sedangkan beliau diutus paling akhir?”

Abu Jaafar ra menjawab:
"Ketika Allah menciptakan anak-anak Adam dan minta disaksikan tentang Diri-Nya (menjawab pertanyaan-Nya, `Bukankah Aku ini Tuhanmu?’), Ruh Muhammad S.A.W.-lah yang pertama menjawab "Ya!" 
Kerana itulah, baginda mendahului seluruh para Nabi dan Rasul, sekalipun baginda diutus paling akhir.”
---

Ketika Nabi Adam masih berada di syurga dan belum diturunkan ke bumi, baginda selalu terpandang kepada satu cahaya yang terletak di satu tempat yang teristimewa. Tahulah baginda bahawa ianya sangat istimewa disisi Tuhan. Namun menjadi pertanyaan di dalam hatinya, siapakah yang begitu istimewa ini hingga diletakkan di tempat yang sebegitu sekali?

Maka satu hari baginda bertanya kepada Allah tentang cahaya yang dia nampak itu. Tuhan menjawab bahawa itulah Nur Muhammad, yang kerananya seluruh alam diciptakan.

Seluruh para Nabi dan Rasul, mereka bertawasul dengan Nabi Muhammad S.A.W. Begitu sekali layanan mereka terhadap roh Nabi S.A.W. Roh Nabi S.A.W. membawa rahmat ke seluruh alam, dan bagindalah Syafaatul Kubra kelak nanti. Hinggakan seluruh para Nabi dan Rasul ketika dibangkitkan di Mahsyar, mencari Nabi S.A.W. untuk disyafaatkan.

Dalam satu riwayat menceritakan bahawa Nabi S.A.W. adalah satu-satunya yang diciptakan keluar dari sulbi Nabi Adam sebelum ruh Nabi Adam ditiupkan ke badannya. Ia kerana baginda S.A.W. adalah sebab diciptanya manusia. Nabi Muhammad adalah junjungan, kehormatan, mahkota bagi seluruh manusia.

Sayyiidina Ali bin Abi Talib dan Abdullah bin Abbas R.A., kedua-duanya meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. bersabda, 

“Allah tak pernah mengutus seorang Nabi, dari Nabi Adam dan seterusnya, melainkan sNabi itu harus melakukan perjanjian dengan-Nya berkenaan dengan Muhammad S.A.W.; Seandainya Muhammad S.A.W. diutus di masa hidup seseorang Nabi itu, maka dia wajib beriman pada baginda S.A.W. dan mendokong baginda , dan Nabi itu pun wajib mengambil janji yang sama dari ummatnya.

---

Diriwayatkan bahawa ketika Allah S.W.T. menciptakan Nur Muhammad, Nabi roh S.A.W., Tuhan memerintahkan padanya untuk memandang kepada semua cahaya para Nabi yang lainnya. Cahaya baginda menutupi cahaya mereka semua, dan Tuhan membuatkan mereka berkata, 

“Wahai, Tuhan kami, siapakah yang menutupi diri kami dengan cahayanya?” Tuhan menjawab, “Ini adalah Nur dari Muhammad bin Abdullah; jika kamu beriman padanya Aku akan jadikan kamu sebagai nabi-nabi.” 

Mereka menjawab, “Kami beriman padanya dan pada kenabiannya.” Allah berfirman, “Adakah Aku menjadi saksimu?” Mereka menjawab, “Ya.” Allah berfirman, “Adakah kamu setuju, dan mengambil perjanjian dengan-Ku ini sebagai mengikat dirimu?” Mereka menjawab, “Kami setuju.” Allah berfirman,
قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَا مَعَكُم مِّنَ الشَّاهِدِينَ
Allah berfirman, “Maka saksikanlah (hai para Nabi), dan Aku menjadi saksi (pula) bersamamu.”  'Ali Imran: 81
وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ النَّبِيِّينَ لَمَا آتَيْتُكُم مِّن كِتَابٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُّصَدِّقٌ لِّمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنصُرُنَّهُ ۚ
“Dan (ingatlah), ketika Allah mengambil perjanjian dari para nabi: `Sungguh, apa saja yang Aku berikan kepadamu berupa kitab dan hikmah, kemudian datang kepadamu seorang Rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, nescaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya.” 'Ali Imran: 81

---

Allah sangat memuliakan Nabi Muhammad. Ini terbukti daripada hadis-hadis, atsar sahabat, dan ayat Quran di atas jelas menunjukkan siapakah Nur Muhammad itu. Dalam Quran juga, ada ayat yang sangat jelas menunjukkan bahawa Allah sendiri berselawat ke atas baginda S.A.W. bersama kerajaan-Nya, dan diseru kepada kita untuk sama-sama berselawat ke atas Nabi S.A.W.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat  kepada Nabi (Muhammad S.A.W; Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sebenarnya. Al-Ahzab: 56

---

Nabi Muhammad S.A.W., adalah penghulu dan imam bagi seluruh para Nabi dan Rasul, juga seluruh umat manusia. Baginda bukanlah hanya ditugaskan untuk umat akhir zaman sahaja. Bahkan para Anbiya dan Mursalin, mereka turut bertawasul kepada baginda S.A.W., kerana dengan menyebut namanya segala permintaan akan diperkenankan. Begitu sekali penghormatan dan keistimewaan daripada Allah kepada Nabi S.A.W.

“Aku telah diutus bagi seluruh ummat manusia,”  sabda Nabi Muhammad S.A.W.

Di setiap zaman adanya Nabi dan Rasul, roh baginda bersama-sama dengan mereka. Bagi orang-orang biasa yang bukan Nabi dan Rasul pun, jika makam mereka sudah mencapai tahap yang tinggi, tidak mustahil roh mereka sentiasa bersama roh baginda S.A.W. Ini terbukti bilamana Imam Ghazali sendiri mengakui bahawa Nur Muhammad sentiasa disisinya ketika beliau menulis kitab Ihya. Begitu juga Imam Syafie dan Imam Sayuti, roh mereka sentiasa bersama Nur Muhammad.

Selama umur 63 tahun, itu hanyalah umur fizikal baginda sahaja. Sedangkan umur rohnya adalah lebih lama berbanding fizikalnya. Sebelum alam diciptakan, baginda lebih awal dicipta oleh Tuhan.

Nabi S.A.W. diberi keistimewaan ketika Isra' Mikraj. Bahkan Jibril A.S. pun tidak diberi keistimewaan begitu. Baginda berpeluang bersembahyang bersama roh para Nabi dan Rasul di sana dan baginda lah yang mengimamkan sembahyang.

Di Mahsyar, setiap Nabi dan Rasul diberi singgahsana dan bersamanya panji-panji atau bendera yang menjadi bukti kenabian dan kerasulan mereka. Maka berebut-rebutlah manusia di Mahsyar nanti menuju ke arah mereka.

Namun didapati para Nabi dan Rasul tidak berada di tempat mereka. Rupa-rupanya, mereka (Nabi dan Rasul) pun pergi ke singgahsana Rasulullah S.A.W. untuk mendapatkan syafaat darinya. Apa yang berlaku, baginda pun tiada di tempatnya kerana sibuk mencari umatnya untuk disyafaatkan.

Begitulah sayang dan kasihnya Nabi kepada kita, dan begitulah istimewanya Nur Muhammad ini. Ia sangatlah penyayang dan pengasih, dan kerananya jugalah semuanya diselamatkan.

Namun bagaimana kita umatnya tidak kasih dan sayang terhadap baginda?!

Kini, walaupun telah terpisah jasadnya dari kita dalam 1500 tahun, namun rohnya tetaplah bersama kita. Cuma kita tidak merasakannya. Kerana dalam hati kita ada sesuatu yang menggantikan keberadaannya. Dunia yang sementara, yang bangkai ini lebih kita cintai darinya.

Kalau bukan Abuya dan Bonda Wasilah A.R., teruslah kita jauh dari mereka. Kini roh baginda bersama-sama kita dalam menjayakan kebangkitan Islam kedua ini. Kita diminta untuk mendapatkan sembahyang yang agung, yang melahirkan rasa takutkan Allah dan rindukan Nabi; Rasul sendirilah yang akan memberi rasa-rasa itu kepada kita. Tanpanya mustahil untuk kita mendapatkannya.

Kini RSA sedang melahirkan Ikhwan dan Asoib, yang mana mereka itu roh yang terhubung sentiasa dengan Nur Muhammad. Bila-bila masa dari sekarang Abuya dan Sayyidi akan muncul, dan bersama mereka adalah roh baginda S.A.W. Dunia akan Islam sepenuhnya. Islam pasti menang dan takkan kalah-kalah lagi.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?