ISTILAH YANG SERING DIGUNAKAN ABUYA.

HAWARIUN / ANSORULLAH

Kalimah HAWARI atau ANSORULLAH, perkataan Hawari digunakan kepada pembantu Nabi Isa. Untuk zaman Nabi Isa, bagi mereka yang melayakkan diri sebagai Hawari atau Ansarullah maka mereka itu berada dalam jadual Allah, iaitu berada dalam senarai orang2 yang berada dalam kebenaran yang dijanjikan. Yang tidak melayakkan diri dengan syarat2 yang dikehendaki sebagai Hawari atau Ansarullah maka mereka itu terkeluar daripada kelayakan di dalam jemaah kebenaran yang dijanjikan pada ketika itu.

HAWARI atau ANSORULLAH, dimaksudkan sebagai pembantu pembantu Allah dari Al Quran, surah Ali Imran : 52.

فَلَمَّا أَحَسَّ عِيسَىٰ مِنْهُمُ الْكُفْرَ قَالَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ آمَنَّا بِاللَّهِ وَاشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Maka ketika Nabi Isa merasa (mengetahui) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah baginda: "Siapakah penolong-penolongku kepada Allah?". Para Hawariyun (pembantu Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong-penolong (pembantu Nabi) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).

ASOIB

ASOIB yang disebut oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadis adalah golongan yang fanatik Rasulullah dan para sahabat. Asoib berperanan membantu khalifah akhir zaman, Imam Mahdi. Sebelum tiba masanya untuk membantu Imam Mahdi secara fizikal (secara rohaninya membantu dengan doa sebelum kemunculannya).

Sabda Nabi S.A.W.;
"Sesungguhnya ketika zahir Al-Mahdi, menyerulah malaikat dari atas kepalanya, "Ini Al-Mahdi Khalifah Allah, maka kamu ikutilah dia." 
Seluruh manusia tunduk dan patuh kepadanya dan mengecapi kasih sayangnya. Sesungguhnya Al-Mahdi itu menguasai Timur dan Barat. Dan adalah yang berbaiat kepadanya di antara Rukun dan Maqam, yang pertama adalah sejumlah pasukan Badar (314 orang). Kemudian Abdal dari Syam mendatanginya, dikuti oleh Nujabak dari Mesir dan Asoib dari Timur.
Setelah itu Allah mengutuskan kepadanya tentera dari Khurasan dengan Panji-panji Hitam dan mereka menuju ke Syam. Allah menutus kepadanya 3,000 malaikat dan ahli (Ashabul) Kahfi adalah antara pembantunya."

Mereka berbaiah kepada Pemuda Bani Tamim dan membantu menyiapkan tapak bagi Imam Mahdi. Mereka yang melayakkan dirinya dan menepati syarat kelayakan Asoib, maka mereka termasuk orang-orang yang dijanjikan.

Imam Mahdi adalah khalifah yang dijanjikan. Pemuda Bani Tamim dan jemaahnya juga dijanjikan. Maka orang yang melayakkan diri sebagai Asoib, maka dia juga termasuk dalam senarai orang yang dijanjikan dalam kebenaran.


IKHWAN
Ikhwan ini adalah satu golongan manusia yang mereka adalah pencinta Rasulullah, pencinta akan kehidupan dan sunnahnya, dan mereka tidak hidup di zaman Rasulullah. Mereka adalah golongan yang dijanjikan Allah yang berada di akhir zaman, membantu perjuangan Imam Mahdi.

Sabda Rasulullah S.A.W.;
" Sesungguhnya Allah membangkitkan pada permulaan setiap seratus tahun bagi umat (Islam) ini seorang Mujaddid yang membaharui urusan ugama dan menguatkannya setelah ia menjadi lemah dikalangan umat tersebut." Riwayat Al Hakim, Al Baihaqi, Ibnu Hajar, Abu Daud, dan Al Iraqi.

Dari Abdullah bin Umar R.A ketika para sahabat bertanya kepada baginda S.A.W..;
"Apakah ada orang yang beriman kepadamu sedangkan mereka tidak pernah melihatmu dan membenarkan ajaranmu sedangkan mereka tidak pernah melihatmu?" Baginda SAW menjawab, "Mereka itu adalah Ikhwanku dan mereka bersama-samaku. Beruntunglah mereka yang melihatku dan beriman kepadaku dan beruntung juga mereka yang beriman kepadaku sedangkan mereka tidak pernah melihatku." Riwayat Muslim

Ciri-ciri mereka; "Bagaikan rahib di malam hari dan bagaikan singa di siang hari". Ini adalah lambang mereka. Sesiapa yang menjadi Ikhwan kepada Pemuda Bani Tamim yang dijanjikan maka mereka jugalah pembantu kepada Imam Mahdi.

Bilangan mereka adalah seramai 500 orang, namun mereka yang elit dikalangan Ikhwan pula adalah seramai bilangan tentera Badar dan tentera Tholut.

Sabda Nabi S.A.W.;
"Maka Allah Azza wa Jalla menghimpunkan sahabat-sahabatnya (tentera Al-Mahdi yang dipanggil Ikhwan) seramai tentera-tentera Badar dan seramai tentera Tholut, iaitu 313 orang lelaki, seolah-olah mereka itu singa-singa jantan yang keluar dari hutan. Hati mereka itu ibarat kepingan-kepingan besi. Kalau mereka berkehendak untuk memindahkan gunung, nescaya akan mereka lakukan. Pakaian mereka sejenis dan seolah-olah mereka itu dari satu ibu dan satu ayah."

"Tiga ratus empat belas orang (bilangan Ikhwan) yang di antaranya adalah perempuan, bergabung dengan Al-Mahdi, yang akan bertindak ke atas setiap pemimpin yang berbuat zalim dan menegakkan keadilan seperti yang diharap-harapkan oleh semua orang. Setelah itu, tidak ada kebaikan lagi di muka bumi ini yang melebihi kebaikan pada masa Al-Mahdi."


SAHABAT

Sahabat adalah kalimah yang digunakan oleh Rasulullah S.A.W. kepada mereka yang hidup sezaman dengan baginda, beriman dengan baginda, dan berjuang dengan baginda. Mereka inilah yang dikatakan 'SAHABAT' . 

Ada juga hidup sezaman dengan Nabi S.A.W., namun kerana tidak pernah bertemu dengannya maka dia bukanlah daripada golongan sahabat. Dia ialah Uwas Al-Qarni, ketua bagi tabiin. Pun begitu, Rasulullah pernah menyebut kepada Sayyidina Umar R.A., "Kalau kamu bertemu dengan orang yang bernama Uwais Al Qarni kamu minta doa daripadanya."

Kata Nabi S.A.W., "Semua sahabatku masuk syurga kerana bersahabat denganku".

Sabda Nabi S.A.W. lagi, "Sahabat-sahabatku laksana bintang-bintang di langit, jika kamu mengikuti mereka nescaya kamu akan dapat petunjuk."



ROH MUQADDASAH

Ruh muqaddasah itu ialah roh-roh para Rasul, para Nabi, malaikat, para wali, orang-orang soleh, dan jin Islam. Muqaddasah itu maksudnya suci. Roh muqaddasah ialah ruh yang suci. Dikatakan roh suci ini kerana, jika dari kalangan manusia, mereka adalah golongan yang terpilih. Iaitu roh orang-orang yang cinta dan takutkan Allah, roh yang terhubung dengan Nabi-nya.

Roh Muqaddasah atau ruh yang suci ini peranannya lebih kuat dari peranan jasad. Roh Muqaddasah ini mutassarif atau aktif, lebih aktif dari fizikalnya. Ia diibaratkan seperti burung di dalam sangkar yang mampu terbang membawa sangkarnya sekali.

ROh Muqaddasah ini pula, ada roh orang yang masih hidup dan ada roh orang yang sudah mati. Oleh itu, tidak hairan orang yang kasyaf sering melihat orang yang berada di tempat lain, sedangkan fizikal dia tidak bersama dengan yang dilihatnya. Ada juga orang yang kasyaf yang dapat melihat Ruh Muqaddasah orang yang sudah mati. Oleh karena umumnya Ruh Muqaddasah tidak dapat dilihat oleh mata kasar, maka ia dikatakan ghaib juga.

Sepertilah Imam Ghazali yang bersama dengan roh Nabi S.A.W. ketika beliau menulis kitab Ihya, itulah contoh Roh Muqaddasah. Mata lahir hanya nampak Imam Ghazali, tetapi bagi orang-orang soleh, mereka melihat di sampingnya ada roh Rasulullah S.A.W.

Terjadi pada Imam Ghazali juga, bilamana dia diizinkan Allah untuk membantu anak muridnya di dalam kesusahan. Terjadi peristiwa seorang anak muridnya dalam bahaya, dan dia memanggil atau menyeru nama Imam Ghazali (konsep tawasul), maka terus Imam Ghazali datang membantu. Ini juga terjadi kepada pengikut-pengikut tareqat dan guru mursyid mereka, termasuklah Abuya dan anak muridnya.

Roh yang aktif ini dapat berperanan tanpa kira tempat dan masa. Ia tidak terikat dengan ruang dan masa. Contoh, Sayyidina Umar Al-Khattab R.A. yang memimpin Panglima Sariah di medan perang, sedangkan fizikal Sayyidina Umar di Madinah, Sariah di Palestin. Sariah mendengar arahan Sayyidina Umar jelas seolah-olah fizikal mereka bersama, Ini disaksikan sendiri para sahabat dan tabiin yang bersama-sama dengan Sayyidina Umar R.A.

Contoh Roh Muqaddasah yang tak terikat dengan waktu dan masa ialah, Imam Syafie. Terjadi peristiwa beliau menyelamatkan ibunya daripada binatang buas di padang pasir, sedangkan di masa itu, beliau tidak lahir lagi dan ibunya masih bujang!

Jadi, Roh Muqaddasah ini, samada fizikalnya hidup atau mati, ruhnya sangatlah berperanan. Namun, Ruh Muqaddasah orang yang sudah mati lebih berperanan dari Roh Muqaddasah orang yang masih hidup.

Orang yang masih hidup masih terikat dengan jasad lahir. Kalaupun rohnya dapat keluar, secara mata tidak dapat lihat, dia tetap masih terikat dengan jasad lahirnya. Ini tidak berlaku kepada ruh orang yang sudah mati. Oleh itu Rohh Muqaddasah orang yang sudah mati lebih laju dan lebih aktif dari mereka yang masih hidup.


ALAM GHAIB

Alam ghaib, ciptaan Tuhan yang mata lahir tidak dapat nampak tetapi dapat dirasakan oleh hati. Tuhan ada berfirman bahawa alam yang dicipta-Nya ada dua bentuk. Ada alam ghaib dan ada alam nyata atau alam syahadah. Alam nyata ialah alam yang mata lahir dapat nampak. Alam ghaib, mata lahir tidak dapat nampak tetapi dapat dirasakan oleh hati.
Bila dikatakan alam ghaib, ia tidak termasuk Tuhan. Tuhan juga ghaib tetapi Tuhan bukan alam. Tuhan itu tersendiri. Maha Suci Tuhan dari menyerupai alam. Alam adalah apa saja selain Tuhan. Alam adalah ciptaan Tuhan dan dinamakan makhluk. Ghaibnya Tuhan tidak sama dengan ghaibnya alam.
Alam ghaib ini ada beberapa kategori. Pertama alam malaikat, alam jin, alam Nabi dan para wali (Roh Muqadasah).

Beriman dengan perkara ghaib adalah termasuk dalam rukun Iman. Pendek kata, Rukun Iman adalah perkara ghaib. Semua dalamnya adalah bersifat ghaibiah. Jadi percaya kepada alam ghaib adalah wajib!

Allah, Malaikat, Rasul, Kitab, Kiamat, Qada & Qadar, semuanya adalah bersifat ghaib. Beriman kepadanya bererti, bukan sekadar percaya, malah yakin, dan perjuangkannya. Mesti diingatkan selalu terhadap hal-hal ghaib. Iman itu ialah bukan sekadar tahu dengan hati, malah kena laksanakan dengan anggota lahir, dan diungkapkan dengan lidah!

Mana boleh kata, "Cukuplah dalam hati je. Toksah la cakap-cakap tentang Iman. Tak maju nanti."

Kerana tak diingatkan tentang Iman-lah dunia sudah cukup rosak. Lihatlah negara kita, kerana halang Abuya nak perjuangkan Iman lah gejala sosial makin teruk, anak luar nikah lahir setiap hari. Setiap hari orang berzina! Kerana Iman sudah hilang. Iman yang bersifat ghaib itulah yang mengikat hati dengan Allah yang Maha Ghaib itu.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?