PENERIMAAN ULAMA DUNIA TERHADAP ABUYA.

Pada tahun 1976, rombongan jemaah dari Kuwait yang dipimpin oleh Syeikh Dr. Hassan Hito bersama beberapa orang anak muridnya, berkunjung ke Sungai Pencala yang menjadi pusat gerakan Darul Arqm ketika itu. Mereka telah mendengar jemaah yang Abuya bangunkan dari kawan-kawan mereka. Dia dan rombongannya tertarik dengan konsep model kehidupan Islam yang abuya bangunkan.

Dia menyatakan sokongan terhadap perjuangan Abuya, yang sangat mengembalikan model kehidupan Islam. Dia yang bermazhab Syafie kelahiran Syria, dan bermastautin di Kuwait, sangat terkesan dengan perjuangan Abuya. Di saat dunia dipenuhi kemungkaran dan maksiat, terdapat satu kehidupan Islam di celah-celahnya.  Antara ucapannya yang disampaikan dalam perbarisan pelajar dan guru guru :
"رايت قد امتلئت في الشوارع بالمنكرات"

"Aku melihat di jalan-jalan dipenuhi dengan kemungkaran..."

Begitulah dia berkongsi apa yang pernah digambarkan oleh Rasul S.A.W., sudah berlaku pada akhir zaman. Dia menyatakan kekaguman kepada perjuangan Abuya yang dapat hidupkan model kehidupan Rasul S.A.W. dalam sebuah kelompok masyarakat yang mempunyai kehidupan sendiri. Dia ungkapkan pesanan Rasul S.A.W., “Akan sentiasa ada di kalangan umatku satu thaifah yg menzahirkan kebenaran, tidak dapat dimudharatkan oleh musuh-musuhnya sehinggalah datang ketentuan Allah (kemenangan)”

Mesir

Seorang pensyarah Universiti Al-Azhar, merupakan kawan lama Abuya yang bernama Syekh Dr. Abdur Rahman Al-'Adawi; sangat berbesar hati dengan perjuangan Darul Arqam. Melalui beliau, Syeikh Fakhrur Razi selaku wakil Abuya diperkenalkan dengan Syeikhul Azhar ketika itu, Syeikh Dr. Jadul Haq Ali Jadul Haq, untuk urusan muadalah sijil Arqam agar diterima pakai di Universiti Azhar. Dr. Abdur Rahman Al-'Adawi adalah guru kepada Syeikhul Azhar ketika itu. 

Sijil-sijil Arqam diterima di Universiti Al-Azhar, sepertimana diterima di Universiti Jordan dan Universiti Saddam di Iraq, yang langsung dibawah naungan Saddam Hussein ketika itu.

Dr. Abdur Rahman Al-'Adawi yang kagum dengan perjuangan Darul Arqam ketika itu, meminta izin dari Abuya untuk menamakan sekolahnya sempena nama Darul Arqam. Sekolah yang dibangunkannya sendiri itu kini terletak di Qaherah, Mesir. Pelajar-pelajar dari anak-anak GISB kini sebahagiannya belajar di Darul Arqam di Mesir, sebagai menghargai jasa dan layanan baiknya terhadap Abuya.

Di Mesir juga, selain Dr. Abdur Rahman Al-'Adawi, antara kenalan Abuya adalah, Dr. Abdul Jawwad Khalaf Abdul Jawwad, mudir Universiti Dirasah Islamiah, Syeikh Amir Fahd selaku Syeikh Tarekat Dandarawiah, Dr. Ali Muthawwi', seorang pensyarah di Universiti Al-Azhar, juga salah seorang guru tuisyen bagi pelajar Arqam di Mesir ketika itu. Mereka ini sangat kagum dengan perjuangan Abuya yang menghidupkan ajaran Nabi S.A.W. Mereka memberi galakan dan bantuan kepada jemaah Abuya, dari zaman Arqam hinggalah sekarang.

Jordan

Di Jordan, penerimaan terhadap Abuya sangatlah terbuka, hinggakan Jordan adalah negara ke dua Abuya selepas Malaysia, kerana layanannya terhadap Abuya; baik dari kalangan atasan hingga bawahan. Abuya pernah mengijazahkan wirid kepada pengikut tarekat Rifa'iah di Hotel Marriot, Amman. Salah seorang murid Abuya yang mengambil wirid masa itu ialah Syeikh Mustafa Ar-Rumman. Dia adalah anak murid Abuya yang banyak membantu perjuangan Abuya hingga kini. Dia mengadakan pengajian percuma untuk anak-anak jemaah, dan hingga kini masih terdapat dari kalangan anak-anak jemaah yang mengaji dengannya, antaranya beberapa cucu Abuya yang kini berada di Jordan.

Selain Syeikh Mustafa, murid Abuya di sana adalah Ummu Anas, isteri kepada Timbalan Perdana Menteri Jordan sekaranG, Dr. Abdul Salam Abbadi. Dia juga salah seorang yang mengambil wirid daripada Abuya, dan sangat membantu perjuangan Abuya di sana. 20 tahun yang lepas, Abuya berpesan kepada Dr. Abdul Salam Abbadi, yang ketika itu Menteri Awqaf Jorda, supaya menjaga dan memelihara keadaan makam-makam di sana. Kini, sebahagian makam-makam terdapat papan tanda tertera dalam Bahasa Melayu. Abuya juga pernah berkata kepada Ummu Anas, suaminya akan lama bertugas dalam kerajaan Jordan dan disenangi keluarga diraja. Kata-kata Abuya adalah benar. Dia beberapa kali menjawat jawatan Menteri Awqaf, dan kini menjadi Timbalan Perdana Menteri, juga adalah orang kepercayaan raja dan keluarganya.

Selain itu, Abuya berkawan dengan Almarhum Dr. Syeikh Noh Al-Qudha, bekas mufti Jordan, juga pernah menjadi Timbalan Menteri Agama Emiriah Arab Bersatu. Dia sangat meraikan Abuya dan membesarkan perjuangan Abuya. Pernah dia membawa Syeikh Fakhrur ke majlis ilmunya di Masjid Besar Negara di Abdali, dan perkenalkan jemaah Abuya di dalamnya. Dia juga pernah berkata kepada Syeikh Fakhrur, "Kenapa kamu bawa anak-anak ramai ke mari (Jordan)? Rosak mereka nanti. Kebangkitan Islam di tempat kamu, bukan di sini." Setelah mendapat jawapan, bahawa Abuya ingin berdakwah bil hal, dia bersetuju dan akur, serta memberi dorongan dan kekuatan kepada jemaah Abuya. Kini anaknya pula meneruskan hubungan dengan jemaah Abuya di sana. Anaknya dulu sama-sama belajar dengan pelajar-pelajar Arqam yang dihantar oleh Abuya.

Antara kawan Abuya di Jordan, juga dianggap sebagai keluarga adalah Dr. Hisyam Sultan At-Tamimi. Dia sangat-sangat membenarkan Abuya dan oleh kerana sama-sama dari Bani Tamim, dia sangat membantu Abuya dan jemaahnya di sana. Bahkan ketika mendapat tahu Abuya ditahan oleh kerajaan Malaysia, dia sanggup membantu untuk membawa Abuya masuk ke Palestin, sebagai perlindungan dari Bani Tamim. Dia juga memberi kekuatan kepada Bonda Wasilah A.R. selepas keghaiban Abuya ketika menziarahinya di rumah dan ladangnya yang berhampiran 'Uyun Musa, Madaba, salah satu tempat keluarnya air mata air dari Tongkat Nabi Musa. Katanya, Ummu akan dijaga Allah kerana perjuangan Abuya ini.

Selain itu, antara kawan-kawan Abuya adalah Dr. Adam Noh, salah seorang pensyarah di Universiti Yarmouk, Dr. Badar, seorang ahli korporat yang banyak membantu anak-anak jemaah belajar di sana.

Abuya juga mempunyai kawan yang sangat rapat di sana, iaitu Syeikh Abu Mus'ab dan Syeikh Syammar, atau dikenali juga sebagai Sidi Abu Khaled. Ketika Abuya dan mereka saling bertemu, Abuya beritahu mereka bahawa baginda S.A.W. sampaikan, mereka adalah golongan Muntazirun, iaitu golongan yang menunggu Imam Mahdi. Abu Mus'ab pun mengeluarkan buku catatannya, tentang kata-kata Rasulullah S.A.W. tentang Abuya. Dalam catatan itu memberitahu, "Ashaari bin Muhammad adalah Pembawa Kebangkitan Islam di Timur, akan datang ke Jordan." Mesej itu diterimanya dari Nabi S.A.W. dan Imam Mahdi sebelum Abuya sampai ke sana.

Abu Mus'ab adalah Syeikh Tarekat di sana, dan pembantu kepada Sidi Abu Khaled. Dia juga adalah seorang korporat besar di Jordan. Dia adalah lepasan pendidikan di German, begitu juga kebanyakan keluarganya, adalah berlatar belakang pendidikan di sana. Namun tidak sedikit pun terpengaruh dengan pendidikan tersebut.

Maghribi

Begitu juga di Maghribi, Abuya diterima baik oleh ulama-ulama besar di sana seperti Syeikh Dr. Abdus Salam Al-Harras, kawan baik Abuya, juga pensyarah di universiti-universiti di sana. Beliau adalah ketua Gabungan Islam Ulama Afrika Utara. Beliau sangat mengikuti perkembangan jemaah Abuya dan sangat mendokong perjuangan Abuya. Ketika pertama kali bertemu Abuya pada 1986, dia telah berkata, "Kenapa kamu datang ke mari? Kebangkitan Islam di negara kamu, buktinya kamu datang membawa Islam ke mari". Katanya lagi, baginda Rasul S.A.W.-lah yang memberitahunya sebelum Abuya tiba di rumahnya.

Selain Syeikh Dr. Abdus Salam, terdapat beberapa lagi kawan-kawan Abuya yang mereka adalah ulama muktabar besar di sana. Mereka ialah Syeikh Dr. Abdullah Kanun, Syeikh Al-'Iraqi, dan  Syeikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghimari. Kata Syeikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghimari pada Abuya, "Kebangkitan Islam akhir zaman bermula dari tempat kamu". Syeikh Abdullah Al-Ghimari adalah Ahlul Bait dari S. Hassan R.A., cucu Rasulullah S.A.W.

Syria

Antara yang kenalan Abuya di Syria adalah anak kepada Syeikh Ahmad Kaftaru, Dr. Solahuddin Al-Kaftaru atau dikenali sebagai Syeikh Solah. Abuya pernah bertemu dengan bapanya ketika dijemput menghadiri seminar sempena kerajaan baru Iran, dan di situlah Abuya berkenalan dengan Syeikh Ahmad Kaftaru. Syeikh Solah sangat membantu jemaah Abuya di Syria. Ketika mula bertapak di sana, sebelum mendapatkan penempatan, anak-anak Abuya ditempatkan di rumah tamu Yayasan Kaftaru di Mujamma' Ahmad Kaftaru. Dia yang lebih rapat dengan anak-anak Abuya, sangat mempromosi Mawaddah dan poligami Abuya, walaupun tidak mampu melakukannya. Dia dan isterinya sering menjemput Mawaddah dan anak-anak jemaah di Syria menghadiri majlis-majlis mereka bersama tetamu antarabangsa di sana.

Selain itu, dari kalangan golongan atasan yang menyokong perjuangan Abuya adalah ahli dewan parlimen di Dimasyq yang senang dengan kehadiran Abuya di sana. Selain itu, terdapat juga pensyarah universiti yang mendokong perjuangan Abuya di sana, iaitu Dr. Badi' dan Dr. Hassan Bugha.

Lain-lain

Prof. Dr. Sayyid Muhammad Al-Maliki, ulama yang tidak asing diperingkat antarabangsa, sudah lama mempunyai hubungan dengan Abuya, dan pernah menghadiahkan salah satu kitabnya yang sangat membela Rasulullah kepada jemaah melalui Syeikh Fakhrur Razi selaku wakil Abuya ketika itu.

Begitulah Abuya yang cukup diterima di peringkat dunia, samada peribadinya mahupun je,aah dan perjuangannya. Abuya dilihat sebagai tokoh yang mampu menghidupkan kembali ajaran Quran dan Sunnah, selain perjuangkan kehidupan gaya Rasul dan sahabat.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?