ABUYA ADALAH GURU BESAR SEKOLAH ROH.
قوا انفسكم واهليكم نارا
"Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka" At-Tahrim: 6
Abuya adalah pembela Al-Quran, Abuya juga adalah pemburu Janji Tuhan. Bila ditanya mengapa Abuya mengasaskan Arqam, spontan Abuya menjawab, "Saya terpengaruh dengan Hadis". Ini membuktikan lagi bahawa Abuya memang pencinta Nabi S.A.W. Jadi, berdasarkan ayat Quran di atas, ianya sangat-sangat membentuk peribadi Abuya.
Abuya dibesarkan dalam sekolah roh. Sejak kecilnya Abuya tidak seperti kanak-kanak lain. Dipisahkan Tuhan dengan ibunya, ini cukup membentuk roh Abuya agar bergantung dengan Tuhan. Cita-citanya terbentuk oleh sekolah roh ini. Jika kanak-kanak lain bercita-cita mahu jadi doktor, guru, askar, dan lain-lain, Abuya berlainan cita-citanya. Cita-cita Abuya nak berkeluarga besar, nak perjuangkan Islam dengan keluarganya, nak perjuangkan Imam Mahdi. Ini adalah hasil daripada sekolah roh tadi, yang dididik oleh Sayyidi.
Abuya belajar dengan alam. Setiap yang dilihatnya, semuanya dikaitkan dengan Tuhan. Abuya membawa keluarganya ke pantai bersama-sama, seperti keluarga yang lain juga. Namun bukan untuk sekadar hiburan semata. Kata Abuya, "Kalau tengok laut, cuba bayangkan ianya lautan api yang menggulung yang akan menelan kita". Begitu sekali Abuya dalam mendidik dan berkongsi perasaannya.
Bermulanya jemaah Arqam, bermulalah sekolah roh yang Abuya bangunkan. Sekolah roh yang Abuya perjuangkan tidak seperti sekolah lain. Murid-muridnya dari pelbagai kalangan manusia, perbagai pangkat dan jawatan, mencakupi semua peringkat usia. Sekolah roh Abuya melahirkan masyarakat Malaysia yang mendapat kesedaran Islam. Maka pada tahun 70an, ramailah manusia yang memasuki sekolah roh Abuya.
Ketika Abuya mengajar fardhu ain di sekolah rohnya, seringkali Abuya menangis dengan sebaknya ketika mengajar bab taharah. Jika mengajar fekah bab taharah, itulah suasana yang kami alami sendiri bersama Abuya ketika itu. Abuya tidak dapat menahan perasaannya. Barulah saya faham kini, bahawa Abuya merasakan dirinya taik. Abuya merasakan dirinya itu seperti apa yang digambarkan dalam pelajarannya. Begitulah perasaan seorang guru besar sekolah roh ini terhadap Tuhannya. Dia rasa dirinya hanya taik sahaja di depan Tuhan, tiada nilai apa-apa.
Lumrah setiap sekolah, pasti akan melahirkan murid-murid yang cemerlang. Maka sekolah roh Abuya juga melahirkan mereka-mereka yang cemerlang rohnya. Begitu juga, setiap sekolah mengadakan peperiksaan kepada murid-muridnya, sekolah roh Abuya juga tidak terkecuali. Abuya selaku guru besar sekolahnya, dialah yang membuat kertas peperiksaan kepada murid-muridnya. Maka sepertilah sekolah-sekolah yang lain juga, sekolah roh Abuya pun tidak terlepas dari berlakunya saringan dan tapisan di kalangan pelajar-pelajarnya.
Hasil peperiksaan, didapati ada yang lulus, ada yang cemerlang, bahkan ada juga yang gagal. Tak kurang juga ada yang melarikan diri dari sekolah, tak sempat ambik peperiksaan pun.
Antara murid roh yang berjaya dilahirkan dari sekolah Abuya selain Bonda Wasilah ialah, arwah Walidah, yang juga adalah isteri Abuya. Bila dikatakan Abuya cukup ambil berat ayat Quran di atas tadi, sudah tentu dimulakan dari keluarganya. Maka Bonda Wasilah dan Walidah adalah murid yang berjaya dilahirkannya.
Umum kita mengetahui tentang siapa Walidah ini. Dia tidak tertonjol sangat dikalangan kaumnya. Namun dia punya kekuatan roh yang tersendiri. Pernah selaku guru besar, Abuya melakukan pemeriksan di sekolah roh Batu Hampar. Sambil meninjau-ninjau kawasan sekolah, Abuya berkata kepada saya, "Fakhrur, dibelakang tabir zink ni ada apa?" Jawab saya, itu adalah kawasan muslimah. "Kamu nampak tak apa yang ada disebalik tabir ni?" tegas Abuya lagi. "Kalau kamu tak boleh nampak apa yang ada belakang tabir ni, tanya Walidah kamu. Dia boleh nampak apa yang kamu tak nampak!" Begitu sekali Abuya, yang bukan sahaja memiliki pandangan tembus, bahkan berjaya melahirkan murid yang diberi kebolehan yang sama padanya.
Mengenai Walidah lagi, selaku murid roh yang berjaya Abuya lahirkan, dia sangat membantu saya dalam kepimpinan. Pernah dia berpesan kepada saya ketika berhadapan beberapa orang, katanya "Mereka ni masuk jemaah Abuya buat taik saja. Lepas tu keluar. Kalau kamu nak bantu Abuya, kena bina dan kuatkan keluarga." Begitulah pandangan tajam seorang murid Abuya hasil keluaran dari persekolan roh ini. Ketika Walidah telah kembali ke pangkuan Allah di Mekah, Abuya kata kepada saya, "Kuatnya roh Walidah kamu tarik Abuya ni! Kalau Abuya tak tahan, boleh jadi Abuya ikut sekali."
Antara pengalaman dengan Walidah lagi, yang sangat membantu mendidik roh saya; pernah ketika saya memandu bersama Walidah di BCH, kami tersempak Cikgu Hasyim yang sedang berjalan kaki. Jadi saya nak berhentilah nak ambil dia. Terus Walidah sergah saya, katanya tak payah berhenti! Dia ni tak pandai berterima kasih dengan mursyid. Terkejut saya dengan tindakan spontan Walidah. Namun realiti kata-kata Walidah terhadap Cikgu Hasyim telah terbukti berlaku sekarang.
Begitulah Abuya yang bukan sahaja berjaya melahirkan murid bertaraf roh, bahkan setiap mereka peranan tidak sama. Kepada Bonda Wasilah, Abuya bekalkan sesuatu yang sangat luar biasa. Ketika Abuya pergi ke alam sana untuk menjemput Sayyidi selaku tuan kepada jemaah ini, Abuya tinggalkan Bonda Wasilah selaku perantaranya dengan kita. Ternyata ini adalah hasil luar biasa dari persekolahan roh oleh Abuya ini.
Sebenarnya sekolah roh ini bukanlah asing! Para sahabat adalah kelahiran atau lepasan sekolah roh atau universiti roh. Bahkan mereka dididik langsung oleh tuan guru roh yang sangat power, iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Baginda adalah sehebat-hebat guru roh yang melahirkan sehebat-hebat murid bertaraf roh, berjumlah 140 000 ramainya! Merekalah para sahabat Ridwanullah 'Alaihim. Sampaikan kata baginda S.A.W., "Sahabat-sahabatku laksana bintang-bintang di langit, yang mana satu kamu ikut akan dapat petunjuk."
Kita bertuah kerana bersekolah dengan Abuya dalam sekolah roh ini. Sekolah roh Abuya ini adalah cawangan atau sebahagian daripada sekolah roh Rasulullah S.A.W. Bahkan kata Abuya, baginda Rasul S.A.W. sentiasa memantau murid-murid dalam sekolahnya ini. Kerana kata Abuya lagi, istimewanya sekolah roh Abuya ialah, akan melahirkan Ikhwan dan Asoib yang akan menjadi pengikut kepada Imam Mahdi.
Perlu diingat, bila dikatakan sekolah roh, sudah pasti ianya bersifat roh. Abuya boleh memilih sesiapa sahaja dikalangan muridnya yang akan dilonjakkan dan Abuya boleh sahaja buang siapa yang tidak cukup syarat dalam sekolah roh ini. Bahkan kita diingatkan oleh Bonda Wasilah, sekolah roh ini juga dicatit kedatangannya. Kehadiran ke sekolah adalah dipantau pengawas-pengawas sekolah roh ini. Perlu diingat lagi, sekolah ini dimiliki Kerajaan Ajaib. Maka sudah pasti pihak-pihak kerajaan akan sentiasa memantau, siapa yang tidak cukup syarat boleh sahaja bila-bila masa dikeluarkan!
Kata Abuya lagi, sekolah roh ini kelasnya tidak terikat dengan masa dan waktu. Bahkan sekolah ini tidak memilih bulu, pelajar lama atau baru, senior atau junior, latar belakang agama atau sekular, siapa yang mencukupkan syarat dan melepasi peperiksaan, maka dialah pelajar cemerlang. Sekolah roh ini tidak menerima rasuah, kerana dari sekolah ini akan melahirkan manusia yang berbuat untuk Allah dan Rasul. Boleh jadi kita yang lama dalam sekolah ini, Abuya tidak terima dan ambil pelajar baru. Boleh sahaja! Ingat, sekolah ini bukan milik-siapa-siapa.
Sekolah roh ini tidak melahirkan orang akal, sebab itu dipanggil sekolah roh. Orang akal tidak mampu menyelesaikan masalah, kerana akal hanya mencipta masalah. Hanya roh sahaja yang boleh menyelesaikan masalah, maka sebab itu mengapa sekolah ini ditubuhkan. Dunia telah membuktikan bahawa betapa banyaknya sekolah akal di atas muka bumi ini dan lahir daripadanya adalah akal-akal yang merosakkan. Akal-akal yang memisahkan manusia dari Tuhan. Firman Allah dalam Quran:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَTelah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). Ar-Rum: 41
Sikap-sikap lepasan dari sekolah roh itu, antaranya pandai mengambil berkat sesama sendiri. Mengambil berkat itu adalah perkara yang seni. Kalau tidak boleh melakukan hal ini, bukanlah tergolong dari sekolah roh Abuya ini.
إِن يَشَأْ يُذْهِبْكُمْ وَيَأْتِ بِخَلْقٍ جَدِيدٍ"Jika Ia mahu, nescaya Ia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baharu." Fatir: 16
Perlu diingatkan sekali lagi, kita masih berada dalam sekolah roh ini. Banyak perkara yang kita sedang pelajari. Roh adalah perkara yang sangat seni. Sebab itu tak ramai yang kekal dalam sekolah ini. Sebab itu kita yang tinggal dalam sekolah roh ini janganlah terlalu berpuas hati. Silap-silap bukan kita yang Abuya pilih dari sekolah roh ini.
Abuya pernah berkata, kalau kita tidak berubah Tuhan boleh datangkan orang lain yang lebih layak dalam membantu perjuangan Imam Mahdi ini. Bahkan Abuya pernah berdoa kepada Tun Mahathir, supaya menjadi Abu Sufyan ke 2. Kalau kita tidak berubah, siapalah kita di masa itu nanti?!