PERLUNYA KITA PADA PEMIMPIN YANG MEMBAWA KE AKHIRAT.
Hidup di dunia ini tidak kekal. Kehidupan sementara. Kehidupan dunia ini umpama mimpi saja, seolah bukan realiti dinisbahkan akhirat. Satu hari di Akhirat menyamai seribu tahun di dunia. Kehidupan yang kekal abadi tanpa penghujungnya. Usia kita yang sekitar 70 atau 80 tahun di dunia ini kalau dikira pada perjalanan masa di Akhirat hanyalah beberapa minit saja.
Mati adalah akhir perjalanan hidup setiap insan di dunia ini. Di penghujung jalan, setiap hidup yang berjiwa akan merasakan mati. Firman Allah, Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. (Ali Imran: 185). Kesengsaraan dan penderitaan di dunia ini, yang berlangsung hanya beberapa jam, beberapa hari, beberapa bulan atau beberapa tahun. Mati adalah titik permulaan insan memasuki alam lain (alam lain dalam bahasa Arab di sebut Alam Akhirat). Alam Akhirat ini digelar juga Alam Balasan amalan seseorang semasa hidup di dunia. Amalan baik dibalas baik dan sebaliknya.
Firman Allah:
ۚ أَرَضِيتُم بِٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا مِنَ ٱلْءَاخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا فِى ٱلْءَاخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ
Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. (At-Taubah, 9:38)
Firman Allah:
يَٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ
(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! - (Al-Fajr, 89:27).
ٱرْجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً
"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) !
(Al-Fajr, 89:28).
فَٱدْخُلِى فِى عِبَٰدِى
"Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia - (Al-Fajr, 89:29).
وَٱدْخُلِى جَنَّتِى
"Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! "
(Al-Fajr, 89:30).
Roh manusia yang hidup sesudah manusia mati tanpa jasad akan ke ALAM BARZAKH atau ALAM KUBUR. Agama Islam memerintahkan agar mayat itu ditanam kedalam tanah. Maksud Firman Allah, Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat pada waktu orang-orang yang zalim ( berada) dalam tekanan-tekanan sakrat (mabuk) mati, sedang para malaikat memukul dengan tangan mereka (sambil berkata) ``keluarkan nyawamu. Pada hari itu kamu dibalas dengan seksaan yang sangat menghinakan kerana kamu selalu mengatakan terhadap Allah (perkataan) yang tidak benar. (Al-An'am:93).
Di sini azab bermula dari saat kematian lagi, belum pun dikapankan dan dikebumikan. Ini adalah sebahagian daripada seksa yang berlaku sebelum kiamat.
Sebuah hadis mengenai azab atau nikmat kubur bermaksud: "Kubur itu sama ada satu taman dari taman syurga atau satu rongga dari rongga neraka."
Ditambah dengan azab kubur kerana kebanyakan insan akan mengalaminya. Kesengsaraan dan penderitaan dalam kubur itu akan berlangsung ribuan tahun lamanya. Begitu juga kegembiraan dan kebahagiaan, akan berlangsung ribuan tahun pula.
Sangkakala iaitu sejenis serunai akan ditiup oleh Malaikat Israfil sebelum Hari Kiamat. Diriwayatkan Sangkakala yang ditiup oleh malaikat Israfil ini adalah sebanyak tiga (3) kali tiupan iaitu:
Tiupan sangkakala pertama - (Tiupan mengejutkan)
Tiupan sangkakala kedua - (Tiupan mematikan)
Tiupan sangkakala ketiga - (Tiupan membangkitkan)
Hal ini berlandaskan Hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya Allah setelah selesai menciptakan langit dan bumi, Dia menciptakan sangkakala, lalu diberikan di mulut Israfil, maka Israfil meletakkan sangkakala dimulutnya dan pandangan matanya ke arah Arasy menunggu bila diperintahkan (meniup sangkakala)." Aku (Abu Hurairah) berkata; "Wahai Rasulullah apakah sangkakala itu?, Baginda menjawab "Tanduk", aku bertanya lagi Bagaimanakah bentuknya?, Baginda menjawab "Sangat besar". Lalu baginda melanjutkan sabdanya: "Demi zat (Allah) yang mengutusku dengan kebenaran, sesungguhnya garis tengah sangkakala itu seluas langit dan bumi, yang akan ditiup dengan 3 kali tiupan. Yang pertama tiupan mengejutkan, yang kedua tiupan mematikan dan yang ketiga, tiupan kebangkitan untuk menghadap Tuhan semesta alam."
Firman Allah:
هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن طِينٍ ثُمَّ قَضَىٰٓ أَجَلًا ۖ وَأَجَلٌ مُّسَمًّى عِندَهُۥ ۖ ثُمَّ أَنتُمْ تَمْتَرُونَ
Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Ia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan).
(Al-An'aam, 6:2).
Huraian ayat diatas:
Setelah mati, kita akan dihidupkan semula di dalam kubur. Kali ini akan fokus kepada kehidupan di alam barzakh. Orang-orang musyrikin pada zaman dahulu kala tidak percaya kepada kehidupan selepas mati. Contohnya dalam surah Yaasin, ayat 78, mereka mempersoalkan bagaimana mungkin orang yang sudah mati akan dibangkitkan semula. Walaubagaimanapun, orang Nasara dan Yahudi percayakan kehidupan selepas kematian seperti yang direkodkan dalam surah Al-Mukminin ayat 82.
Orang Yahudi percaya bahawa mereka akan dimasukkan ke neraka, tetapi cuma untuk beberapa hari sahaja. Mereka yakin yang selepas itu mereka akan dimasukkan juga ke syurga. Namun, kita perlu ingat bahawa satu hari di akhirat bersamaan seribu tahun di dunia. Kehidupan kita di dunia yang sekadar 60 tahun ini pun kita sudah rasa lama dan terseksa. Jadi, mampukah kita untuk merasa azab neraka walaupun untuk seribu tahun? Nabi SAW mengatakan bahawa cukuplah dengan mengingati mati itu sebagai pengajaran. Oleh sebab itu, kita disunatkan untuk ingat mati agar kita memikirkan tentang persediaan yang perlu dilakukan.
Rasulullah SAW pernah bertanya pada sahabat, “Tahukah kamu siapa orang yang paling cerdik?” Kemudian Rasulullah SAW menjawab, “Orang yang paling cerdik ialah yang banyak memikirkan keadaannya selepas mati.” Di dalam kubur nanti, yang bakal menjawab soalan Mungkar dan Nangkir adalah amalan kita, bukannya jasad kita. Walaupun orang itu tak pernah belajar bahasa Arab, roh yang banyak beramal akan dapat menjawab dengan baik.
Untuk selamat menjalani kehidupan di dunia mahupun di Akhirat, manusia itu tidak cukup kalau dipimpin oleh akal dan fitrahnya saja, tapi mesti ada pimpinan wahyu. Namun tidak ramai yang mampu memahami petunjuk dan kehendak-kehendak wahyu sama ada yang tersurat lebih-lebih lagi yang tersirat. Oleh itu perlu adanya seorang pemimpin atau guru yang mampu menghurai dan memahamkan wahyu serta mampu mendidik manusia untuk mengikut petunjuk wahyu.
Setiap sesuatu di muka bumi ini tidak akan wujud buat selama-lamanya. Semuanya akan kembali kepada Tuhan. Tuhan akan menilai. Dia akan menghukum atau memberi ganjaran. Dia akan menetapkan siapakan siapa ke Syurga dan siapa ke Neraka. Di Akhirat nanti tidak ada siapa yang menilai dan menghukum melainkan Tuhan. Dialah yang memerintah di hari Akhirat atau di hari kebangkitan. Di hari itu rugilah orang yang tidak mementingkan Tuhan. Termasuk yang rugi adalah orang yang mengamalkan agama tetapi tidak ada Tuhan dalam agamanya. Mengenal Allah, khususnya mengenal Zat, sifat dan peranan Tuhan. Ia adalah nikmat paling besar dari Tuhan. Ia adalah nikmat paling besar bagi makhluk.