2016, MALAYSIA DIMERIAHKAN DENGAN SELAWAT PERDANA, ZIKIR PERDANA, PUTRAJAYA BERJEMAAH SUBUH DLL.
Angin kebangkitan Islam yang berhembus lembut di Malaysia kian lama kian ketara. Makin ramai yang mahu mendengar dakwah. Makin ramai yang mahu mendengar Islam. Makin ramai yang mahu memperkatakan Islam bahkan makin ramai yang mahu dan rela dikaitkan dengan kebangkitan Islam. Tahap masyarakat umat Islam di Malaysia sekarang ada dua pilihan sahaja. Kerana era sudah berubah. Nilai hidup sudah berubah. Cara hidup sudah berubah. Kemuncaknya nanti umat Islam akan berubah secara total kepada Islam. Ia sedang berlaku berperingkat, di kalangan masyarakat Malaysia.
Kebangkitan Islam yang sedang berlaku ini sudah tidak dapat ditahan dan dibendung. Kesedaran terhadap Islam kini bukan hanya pada sebahagian kelompok atau jemaah sahaja, malah ianya telah menyeluruh dan meresap kepada semua golongan di negara ini. Makar Allah berjalan dengan lancar, Allah jualah yang menjayakan rancangan-Nya yang telah tertulis sejak azali lagi yang mesti diyakini oleh semua orang Islam yang beriman dengan Qada dan Qadar-Nya.
Islam yang berkembang dan berjalan di atas kesedaran umatnya, atau berjalan di atas kepentingan kelompok tertentu demi keuntungan mereka, semua ini memberikan keuntungan dan kemenangan untuk Islam. Ini adalah zamannya, kini adalah masa untuk Islam, dan masyarakat inginkan Islam. Allah Taala buatkan hati manusia inginkan keselamatan dan kebahagiaan, setelah yang dicari dengan mengikuti hawa nafsu tidak diperolehi. Islam akan bangkit dengan keamanan, kemakmuran, ketenangan, tanpa huru-hara atau rampasan kuasa seperti yang telah dikhabarkan oleh Abuya kepada kita.
Sebagai umat Islam, penulis berasa bangga dan sangat optimis melihatkan kemajuan dan kebangkitan Islam di Malaysia ketika ini. Berbanding 30 tahun atau 40 tahun sudah, perkembangan Islam kini sangat berbeza dan luarbiasa. Perubahan demi perubahan telah berlaku samada sedar atau tidak, berlaku dengan dirancang mahupun tanpa disedari. Kehadiran tahun baru yang disambut dengan alunan selawat, zikir dan tahlil yang menjadi tradisi semenjak tiga tahun kebelakangan ini. Sedangkan puluhan tahun dahulu perkara sebegini dilabelkan sesat oleh ahli agama berjawatan rasmi ketika itu. Hal ini jika tidak ditaubatkan bersedialah menerima hukuman daripada Allah taala. Ini sekadar mengingatkan dan pesanan, sesuailah dengan firman Allah taala dalam surah Al-Asr, ayat ke tiga yang bermaksud, "Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar".
Bagi musuh Islam, hal ini mereka sangat yakini akan berlakunya kebangkitan Islam di Malaysia dan mereka cuba menghalangnya atau perlahankan rentaknya, walaupun tahu hakikatnya mereka telah terlambat. Malah Islam naik dan berkembang meniti atas rancangan jahat mereka, tipu daya mereka memakan diri. Lagi mereka memburukkan Islam, semakin dunia sedar dan celik dengan perancangan mereka bahkan dunia akan beralih kepada Islam. Ahli agama lantikan mereka dan boneka mereka kini bercakaran sesama sendiri, sekali lagi Allah selamatkan ulama-ulama hakiki yang sememangnya tidak dikenali di dunia rasmi. Allah menyelamatkan para kekasihnya, kerana ini zamannya akan berlaku kebangkitan Islam ke dua.
Putrajaya sebagai tapak kebangkitan Islam sekali lagi mencetus fenomena baru, dan ini akan berterusan dan menyemarakkan kebangkitan Islam ke dua. Sebelum ini bermula dengan Selawat Perdana, Zikir Perdana, kini 2016 Putrajaya mencetuskan 'Putrajaya Berjemaah Subuh'. Sekali lagi petanda kebangkitan Islam ke dua tapaknya dan bermulanya daripada Malaysia dan akan berkembang ke seluruh dunia. Program yang diadakan bertujuan menggalakkan masyarakat melaksanakan ibadah sebelum melakukan aktiviti harian, seterusnya mengimarahkan surau-surau dan masjid seawal pagi, iaitu solat subuh berjemaah. Hari-hari yang dimulakan dengan ibadah berjemaah, tazkirah berjemaah akan membuatkan ikatan hati bertautan satu sama lain dan kukuh atas landasan agama dan syariat Allah taala. Insha Allah perkara yang baik ini akan mendapat sambutan dan menjadi ikutan ke tempat-tempat lain sepertilah acara Selawat Perdana dan Zikir Perdana yang telah dilakukan sebelum ini.
Hasil daripada Malaysia berselawat, Allah menurunkan syafaat kepada Malaysia dan seluruh penduduknya. Malah, kebatilan dan kejahatan setiap hari dibongkar, masyarakat diperlihatkan sikap sebenar mereka yang perdagangkan negara dan agama sendiri dengan slogan kebenaran atau perjuangan mereka, hakikatnya semua untuk kepentingan nafsu sendiri. Jika ini tidak ditaubatkan Allah taala akan bongkar dan bukakan aib penzalim-penzalim supaya mereka bertaubat sebelum hukuman Allah di akhirat kelak. Ini juga sebenarnya kasih sayang Allah supaya manusia sempat sedar dan insaf, perbaiki kesalahan dan perbetulkan keadaan yang dirosakkan oleh manusia itu sendiri.