AKHLAK RASULULLAH DENGAN PARA SAHABAT.

Akhlak Rasulullah sangat agung terhadap sesiapa sahaja. Mari kita lihat bagaimana kehidupan baginda bersama para sahabat. Rasulullah SAW bertindak mengenali dan mengasihi para sahabat dan bermesra dengan mereka bagaikan ayah dengan anak-anak. Rasulullah SAW mendidik dengan sikap dan akhlak. Setiap katanya dikota. Pada peribadinya terhimpun seluruh kandungan Al-Quran, lahir dan batin. Hinggakan dikatakan Rasulullah itu ialah Al-Quran bergerak.

Rasulullah adalah model cara hidup Islam yang diperintahkan oleh Allah SWT. Beliau merupakan figur yang dicintai, dikagumi, dirindui dan dicontohi setiap perilakunya. Kerana benar dan baiknya sikap dan akhlak Rasulullah SAW, maka para sahabat rela berjuang, susah dan senang bersama baginda. Cita-cita dan harapan Rasulullah menjadi cita-cita dan harapan mereka. Dengan kesatuan itu, mereka sanggup mati mempertahankan Rasulullah SAW.

Setiap tutur kata, gerak gerinya adalah didikan buat para sahabat. Beliau berpegang teguh dengan prinsip "guru melakukan dulu apa yang diajar dan dididik". Kerana tanpanya, membuatkan anak didik bersikap mensia-siakan ilmu sehingga ilmu hanya untuk kebanggaan bukan untuk diamalkan. Kaedah paling tepat menyampaikan tujuan pendidikan ialah dengan mewujudkan hubungan rapat dan mesra antara guru dan murid. Dengan itu Rasulullah SAW bertindak mengenali dan mengasihi para sahabat dan bermesra dengan mereka bagaikan ayah dengan anak-anak.

Dengan itu setiap pengajaran, setiap hukum hakam Allah yang disampaikan kepada mereka, bukan sahaja diterima bahkan diamalkan dan diperjuangkan dengan rela hati sebagai cita-cita hidup. Mereka berkorban apa saja hingga rela berkorban segala-galanya demi untuk Allah dan Rasul. Itulah hasil didikan melalui sikap dan akhlak. Ia mampu membeli hati-hati manusia sekaligus menyatukannya dalam satu barisan yang teratur dan kukuh. Walhal menyatukan hati manusia adalah kerja yang amat payah.

Firman Allah:

وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِہِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِى ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعً۬ا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَـٰڪِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَہُمۡۚ

"Jika kamu belanjakan seluruh kekayaan seisi bumi untuk menjinakkan hati manusia nescaya kamu tidak dapat melakukannya. Tapi Allahlah yang menjinakkannya". (Surah Al-Anfal 8:63)

Dengan akhlak yang mulia sesiapa saja yang bergaul dengan baginda akan tertarik, sayang dan rindu untuk selalu bertemu. Hatta orang kafir pun jatuh hati dan akhirnya memeluk Islam. Maka tidak hairanlah mengapa para sahabat rela menyerahkan jiwa dan raga, hidup dan mati untuk bersama baginda mempertahankan hak Allah.

Dari segi pergaulan, sekalipun baginda Rasul pesuruh dan kekasih Allah, baginda sangat merendah diri dan menginsafi dirinya sebagai hamba Allah. Baginda tidak memilih kawan, pun tidak mengasingkan diri dari para sahabat. Baginda berkawan rapat dengan para sahabat dan menyayangi semua orang yang beriman.

Baginda tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah orang tua yang penuh kudis dan miskin. Hanya diam bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang badwi hingga berbekas merah dilehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

Firman Allah:

لَقَدۡ جَآءَڪُمۡ رَسُولٌ۬ مِّنۡ أَنفُسِڪُمۡ عَزِيزٌ عَلَيۡهِ مَا عَنِتُّمۡ حَرِيصٌ عَلَيۡڪُم بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ رَءُوفٌ۬ رَّحِيمٌ۬ 

"Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dikalangan kamu, sangat susah dengan kesusahanmu, mengingini keselamatan bagimu dan sangat sayang terhadap orang-orang mukmin". (At- Taubah :128)

Baginda Rasulullah hidup bersama-sama sahabat. Setiap waktu sembahyang, mereka berjemaah bersama-sama. Ketika makan, mereka berkeliling dalam satu hidangan. Baginda duduk bertemu lutut dengan para sahabat. Bila ada sesuatu yang hendak dirundingkan, berbisik-bisiklah baginda dengan sahabat-sahabatnya. Duduk tidak pernah tinggi dari sahabat, pakaian tidak berbeza dengan sahabat. Baginda bercakap dan bermesra bahkan bergurauan dengan sahabat.

Kalau ada sahabat yang tidak kelihatan olehnya, pasti baginda akan bertanyakannya. Baginda akan ziarah ke rumah sahabat, sama-sama menguruskan jenazah dan hadir ke kenduri bersama sahabat. Baginda tidak membuatkan dirinya lebih istimewa daripada sahabat-sahabat. Susah sama ditanggung, senang sama dirasa.

Sikap dan akhlak begini membuatkan sahabat-sahabat sentiasa melihat, belajar dan terdidik untuk mengamalkan ajaran Al-Quran dan Sunnah. Mudah bagi sahabat meniru, membaiki kesilapan dan bertanya atas sebarang masalah yang timbul. Sahabat-sahabat juga mudah untuk melaporkan apa-apa perkembangan semasa kepada Rasulullah. Dan setiap wahyu tersebar dengan cepatnya.

Inilah seni Rasulullah dalam membina dan membentuk masyarakat Islam. Bertitik tolak daripada seni di dalam bersahabat, memimpin dan mendidik inilah Rasulullah SAW berjaya membina sebuah masyarakat yang utuh, kukuh dan berpengaruh. Dari sanalah terbentuknya generasi contoh yang pertama yakni para sahabat yang dapat melaksanakan kehendak Al-Quran dan Sunnah. Oleh itu, hasil pengaruh didikan Rasulullah ini perlu dicontohi oleh generasi kemudian termasuk kita di akhir zaman ini.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?