HATI MANUSIA IBARAT SEORANG RAJA.
Firman Allah:
إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
MaksudNya: "Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera" (dari syirik dan penyakit munafik) ( Syuara:88-89 ).
Allah SWT akan mempersoal hati manusia ketika dia datang bertemu dengan-Nya pada hari kiamat mengenai apa dilakukan semasa di dunia. Hal ini ditegaskan Allah menerusi ayat 36 surah al-Israa maksudnya: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya."
Ini kerana hati manusia ibarat seorang raja yang boleh mengeluarkan arahan terhadap bala tenteranya. Dia boleh bertindak untuk menerus atau memberhentikan sesuatu peperangan jika dia melihatnya tidak memberi apa-apa keuntungan.
Baginda s.a.w. menganggapnya sebagai perkara yang utama dalam diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruhnya anggota manusia, tetapi jika sebaliknya ia jahat, maka jahatlah seluruh anggotanya, itulah hati manusia. (Maksud sebahagian hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Paling penting, setiap Muslim perlu mencari jalan bagaimana mereka dapat meluruskan hati mereka daripada terkena virus penyakit berbahaya yang boleh mencacatkan hubungan mereka dengan Allah pada hari kiamat.
Ini kerana sesungguhnya hati yang hidup itu akan menikmati kebahagian seperti di bawah ini:
1. Hidupnya hati adalah menjadi pokok pangkal hidupnya iman.
2. Hidupnya hati adalah pokok pangkal hidupnya akhlaqul karimah.
3. Hidupnya hati adalah pokok pangkal sebab dapatnya menerima hidayah Allah.
Allah SWT telah mengingatkan kita sebagai hamba-Nya agar membawa hati kita untuk bertemu-Nya pada hari kiamat dengan hati yang sejahtera.
Apa yang perlu kita ketahui, ialah bahawa hati manusia terbahagi kepada tiga jenis, satu positif dan dua yang lain adalah negatif, ia terserah kepada manusia. Kita diberi peluang untuk memilih salah satu daripada tiga jenis hati:
(a) hati yang sejahtera (daripada segala bentuk khurafat, syirik, bidaah, nifaq)
(b) hati yang mati da
(c) hati yang sakit.
Hati yang sejahtera
Iaitu hati yang sejahtera daripada menuruti hawa nafsu serakah yang menyalahi perintah Allah SWT, tidak terjebak dalam perlakuan syirik kepada-Nya, tidak melakukan tindakan yang menyalahi ajaran Rasul-Nya. Ia adalah hati yang sentiasa tunduk kepada kehendak Allah, mencintai-Nya lebih daripada isi dunia, takut kepada seksaan-Nya, rindu untuk menemui-Nya, ikhlas kerana-Nya, mengasihi seseorang Muslim dan membencinya kerana-Nya, sentiasa sokong dan cenderung kepada hukum-hakam-Nya, terselamat daripada jangkitan virus penyakit hati. Inilah hati yang hidup sejahtera, lembut, sedia menerima nasihat.
Hati yang mati
Iaitu hati yang berlawanan dengan hati yang sejahtera 100 peratus, iaitu membiarkan untuk tidak terus mengabdikan sebagai hamba Allah, menuruti hawa nafsu, menyanggah hukum-hukum-Nya, membenci golongan yang menyeru kepada kebaikan, menghalang majlis-majlis ilmu, tidak mahu menerima nasihat yang baik malah melawannya, bersahabat dengan orang-orang jahat. Itulah hati yang mati dengan Islam.
Hati yang sakit
Iaitu hati yang tidak konsisten, adakalanya cenderung kepada kebaikan dengan mendengar nasihat penceramah dan pada masa sama cenderung kepada kejahatan, inilah hati sekejap baik sekejap jahat.
Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal daging, apabila daging itu baik maka baiklah tubuh manusia itu, akan tetapi bila daging itu rusak maka rusak pula tubuh manusia. Ketahuilah bahwa sesungguhnya segumpal daging itu adalah hati.” [HR. Bukhari-Muslim].
Hati ibarat raja, Raja dalam sistem diri manusia. Baik dan buruknya manusia sangat dipengaruhi oleh sejauh mana baik buruk hatinya. Jika hatinya baik akan baik pula seluruh system dirinya, namun jika buruk, buruk pula system dirinya.