PERUTUSAN MAAL HIJRAH 1437H.
Sempena berada di awal Muharram, bulan pertama dalam tahun baru hijrah, semoga kita dapat mengambil hikmah dan panduan dari peristiwa hijrah Rasulullah SAW. Macam-macam panduan yang kita boleh dapati dari perjuangan kebenaran yang berlaku dalam bulan hijrah tersebut.
Bagi pejuang kebenaran atau mereka yang memperjuangkan Islam, memperjuangkan Allah dan Rasul, memperjuangkan agama suci ini, bulan Muharram ialah bulan menagih kemenangan, menang dalam perjuangan lahir apatah lagi menang dan berjaya dalam perjuangan batin, iaitu perjuangan melawan hawa nafsu.
Hijrah pertama dalam Islam ialah apabila Allah taala memerintahkan Rasulullah saw dan para sahabat berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah, demi menyelamatkan Iman para sahabat dan mengembangkan Islam. Hijrah Rasul dan sahabat bukan bermakna melarikan diri, sebaliknya hijrah yang berlaku ialah berpindah ke tempat yang lain dan membina kehidupan yang lebih baik untuk umat Islam. Bukti hijrah Rasul dan sahabat bukan sebagai melarikan diri ialah Allah taala sudah persiapkan satu kawasan yang bakal didiami oleh Rasulullah saw dan para sahabat, juga dipersiapkan penduduknya yang bersedia menerima kedatangan Nabi Muhammad saw. Bukan ketika keluar dari Kota Mekah baru tercari-cari tempat berlindung, tetapi Allah taala yang mewahyukan kepada baginda saw untuk berhijrah ke Kota Madinah. Akhirnya terbinalah negara Islam pertama di muka bumi di Madinah Munawwarah.
Hijrah kepada umat Islam ada berbentuk lahiriah dan rohaniah. Hijrah daripada kejahatan kepada kebaikan, hijrah dari kawasan yang tidak merubah diri menjadi lebih baik ke kawasan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah, kepada sifat-sifat yang baik iaitu Mahmudah. Hijrah atau perubahan itu berlaku samada pada awalnya memang ia hidayah daripada Allah, iaitu kesedaran yang diberikan untuk melakukan perubahan ataupun pada asalnya ikut-ikutan namun kerana berterusan dengan amalan yang baik maka Allah berikan hidayah sesudah itu.
Kita dalam sibuk memperjuangkan Islam, menegakkan hukum Allah, sibuk perjuangkan kasih dan sayang, kadang-kadang tidak sedar cara kita, atau fikiran kita atau tindakan kita sudah lari atau tersasar dari landasan Islam itu sendiri. Dalam kita sibuk perjuangkan Islam, kita lupa melihat ke dalam, lupa muhasabah dan mengulangkaji pengajian Islam yang seni, yang halus, yang boleh menyelamatkan Iman. Kita disibukkan dengan perkara material atau maddiah atas alasan inilah hasil perjuangan Islam atau terlalu sibuk membangunkan lahiriah atas nama Islam, roh Islam atau intipati Islam itu sendiri kita lupakan, malah diabaikan dan dibiarkan. Hal ini sering terjadi kepada mereka yang sibuk perjuangkan Islam lahiriah, meriahkan Islam di kaca mata manusia lalu Islam hakiki iaitu intipati yang dirasai oleh hati diabaikan.
Kita sering membaca sejarah Tholut yang disebut didalam Quran, malah ayat Quran mengenainya menjadi basahan zikir kita namun rohnya atau matlamatnya kita terlupa - tinggallah ia sekadar bacaan di mulut sahaja. Sejarah Tholut sangat relevan dengan perjuangan umat Islam di akhir zaman, ini kerana beliau seorang manusia biasa yang bukan nabi dan rasul namun dilantik menjadi pemimpin sementara menunggu pemimpin sebenar tiba, iaitu Nabi Daud a.s. yang masih kecil ketika itu. Tholut adalah pemimpin yang Allah tunjuk, setelah bani Israel atau kaum yahudi meminta doa kepada Nabi Samuel agar ditunjukkan kepada mereka siapa yang layak memimpin kaumnya. Tapi setelah ditunjuk oleh Allah taala, ternyata Tholut ditolak kerana beliau adalah orang biasa dari kalangan petani dan bukan pembesar kaum yahudi.
Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Tholut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata: "Sasungguhnya Allah telah memilihnya (Tholut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya. (Al-Baqarah,2: 247).
Begitulah dasar kaum yahudi yang degil, setelah ditunjuk oleh Allah taala namun masih berdegil. Sikap ini boleh terjadi kepada sesiapa yang membesarkan diri dan mengikut hawa nafsu. Hakikatnya para pembesar dari kalangan kaum yahudi itu yang mahu menjadi pemimpin, bertanya dan merujuk kepada Nabi Samuel sekadar syarat dan mengambil berkat. Namun bila Allah sudah tunjukkan, merekalah golongan awal menolak. Hakikatnya menolak arahan Allah.
Sejarah Tholut juga memaparkan kepada kita di awal perjuangannya bilangan pengikutnya terlalu ramai, puluhan ribu bilangan mereka. Namun setelah ujian demi ujian tinggal sepuluh ribu orang, hinggalah kemuncak ujian yang tinggal setelah tersaring ialah seramai tiga ratus tiga belas orang sahaja. Daripada puluhan ribu ramainya akhirnya yang kekal setia dan sampai ke hujung ialah tiga ratus tiga belas sahaja dan Nabi Daud a.s. termasuk dalam bilangan 313 ini. Begitulah ujian yang Allah lalukan kepada Tholut dan pengikutnya dalam mencari orang bertaqwa di kalangan mereka. Malah Tholut pun tidak kekal lama sebagai pemimpin kerana pemimpin sebenar adalah Nabi Daud, sementara menunggu baginda dewasa, Tholut ditunjukkan Allah menjadi pemimpin yang membina asas perjuangan atau tapak perjuangan Nabi Daud a.s. yang mana perjuangan itu diteruskan hinggalah zaman Nabi Sulaiman dan Nabi-Nabi seterusnya. Besar sekali pandangan Allah kepada Tholut walaupun dia bukan Nabi dan bukan Rasul.
Apakah kaitan hikmah perjuangan Tholut dan hijrah kita kali ini? Apa yang kita boleh kaitkan dengan perjuangan kita?
Besar hikmahnya! Kita kena berhijrah dari fahaman sekular kepada fahaman Islam total. Berfikir cara Al-Quran dan As-Sunnah bukan berfikir cara barat, yang meletakkan sesuatu atau mengukur dan menilai sesuatu berdasarkan pandangan lahir. Menilai sesuatu bersandarkan bilangan lahiriah, sedangkan dalam Al-Quran mengkhabarkan kemenangan Allah berikan kepada golongan yang sedikit tetapi menjadi masalah kepada pejuang Islam bila bilangan sedikit takut kalah. Ini tak betul! Sepatutnya belajar dari sejarah, bilamana para sahabat bersandar dengan bilangan yang ramai, meletakkan harapan kepada kekuatan lahiriah lihatlah Allah biarkan kekalahan kepada mereka. Tetapi kita tak ambil iktibar, tak belajar, tak mahu ambil pengajaran. Tetap nak ulangi kesalahan bukan mengambil dan meniru kebaikan sahabat. Kita yang perjuangkan Islam ini dengan bangganya berkata bilangan kita yang ramai akan menentukan kemenangan, bilangan yang ramai tanda atau bukti dalam kebenaran. Tak belajarkah dengan sejarah Tholut?! Berapa orang yang kekal hingga ke hujung perjuangan? Kita berbangga dibelakang kita ada empat ribu, dua ribu, enam ribu, berapa banyak ribu tetapi Allah kata dalam Quran hanya sedikit yang mendapat kemenangan dari Allah, hanya sedikit hamba Allah yang pandai bersyukur, hanya sedikit hamba Allah yang diberikan kemenangan.
Mengapa kita tertipu dengan hal seperti ini? Kita sudah lari dari landasan Islam. Kita bersandar kepada kekuatan lahir sedangkan Islam bersandar kepada Taqwa. Kekuatan Taqwa tidak terikat dengan bilangan, Allah berikan kemenangan kepada Nabi Ibrahim melawan Namrud bukan dengan angakatan tentera tetapi dengan seekor nyamuk yang cacat sebelah sayapnya. Nyamuk yang terbang tak betul itulah yang memberikan kemenangan kepada Nabi Ibrahim, nyamuk itulah yang menyebabkan kematian Namrud bukan bilangan tentera atau pengikut yang ramai. Inilah pengajaran hijrah kali ini. Besar maknanya kepada pejuang Islam yang menagih kemenangan daripada Allah. Jangan pula tertipu dengan bentuk kemenangan. Pelbagai bentuk yang Allah boleh buat. Menang tak semestinya mengalahkan musuh, menang itu luas maknanya. Musuh mendapat hidayah dan terus menjadi pembela Islam, itu juga bentuk kemenangan malah itulah kemenangan yang selamat dan menyelamatkan. Musuh selamat pejuang pun selamat dari kerosakan Iman kerana rasa diri telah berjuang.
Berhijrahlah kita dari kejahatan kepada kebaikan, daripada sifat keji (mazmummah) kepada sifat terpuji (mahmudah), daripada kurang bersyariat kepada bersyariat dan lain-lain berpandukan ilmu dan didikan dari pemimpin kebenaran yang dijanjikan. Walau susah dan payah, insya Allah jalan dimudahkan dan kemenangan menanti di hadapan. Sebesar kemenangan di muka bumi ialah berjaya mengalahkan hawa nafsu dan di akhirat pula mendapat syurga dan keampunan Allah taala. Salam Hijrah 1437 buat semua umat Islam di seluruh dunia.