MENCINTAI ALLAH RAHSIA KEBAHAGIAN RUMAH TANGGA.

Setiap manusia yang mendirikan rumah tangga inginkan sebuah rumah tangga yang bahagia, aman damai, harmoni, berkasih sayang dan mendapat keredhaan Allah. Rumah tangga yang diidamkan tidak akan wujud tanpa pendorong yang kuat iaitu rasa cinta dan takut kepada Tuhan. Bila cinta dan takut kepada Allah wujud dalam setiap anggota keluarga, maka kepentingan peribadi akan terkikis.

Kasih sayang adalah keperluan asas manusia yang bersifat maknawi dan rohani. Apabila manusia tidak mendapatkanya, maka jiwa menderita, hilanglah kebahagian.  Diantara wadah untuk mencetuskan kasih sayang adalah perkahwinan. Dari keluarga bahagia yang diikat dengan rasa cinta dan takut kepada Tuhan, lahirlah generasi yang akan memakmurkan dunia ini dengan kemajuan, keadilan dan kedamaian.

Sebenarnya kasih sayang itu bukan mata benda macam duit yang kalau dikongsi, takut-takut tidak cukup atau jadi kurang. Ia perkara maknawi yang tidak boleh disukat dengan dacing atau gantang. Ia ibarat laut. Sebanyak mana pun bekas yang dibawa, diisi penuh dengan air laut tidak akan habis malahan sedikit pun tidak akan luak atau kurang. Kalau isteri itu solehah dan berakhlak tetap suami akan sayang. Kalau ada empat orang isteri yang semuanya solehah dan berakhlak, keempat-empatnya suami akan sayang. Kalau isteri degil, jahat, dan tidak berakhlak, tidak ada suami yang akan sayang walaupun dia seorang sahaja isterinya.

Al Quran dan Hadis berkaitan perkahwinan, Rasulullah SAW pernah mengingatkan sesiapa yang berkemampuan tetapi enggan untuk berkahwin melalui sabdanya, "Kamu berkata begitu, ingatlah demi Allah sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan yang paling taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadangkala tidak berpuasa; aku sembahyang dan aku tidur; dan juga kahwin dengan perempuan. Barangsiapa tidak suka dengan sunnahku, dia bukanlah pengikutku".

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, engkau akan selamat".

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Sebaik-baik wanita itu ialah apabila kamu memandangnya kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu."

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Bila isteri itu mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadan, memelihara kemaluannya dan mematuhi suruhan dan larangan suaminya, maka akan dimasukkan dia ke dalam syurga." (riwayat Abu Hurairah)

"Maka kahwinilah perempuan-perempuan yang kamu sukai dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu tidak dapat berlaku adil diantara isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu berkahwin seorang sahaja." (An-Nisa: 3)

"Diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. (Ar-Rum 21)

Hari ini umumnya manusia tidak kenal dan tidak cinta Allah, sekadar percaya saja bahawa Allah itu ada. Rasa bertuhan, rasa diawasi Allah tidak ada dalam hati manusia. Bahkan orang yang bersembahyang atau solat, haji, puasa wirid sudah tiada rasa bertuhan, rasa dilihat dan diperhatikan Allah dan kalau pun ada terlalu nipis. Kerana nipisnya rasa bertuhan ini, bukan saja rumah tangga tidak dapat diwujudkan dengan aman, indah dan harmoni bahkan antara anggota keluarga sangat mementingkan diri masing-masing. Akibatnya, kesan negatif terlalu banyak.

Terbukti banyak kes, apabila manusia berpaling daripada peringatan Tuhan, melupai Tuhan, mengabaikan dan meminggirkan Tuhan, tidak memperdulikan ajaran Tuhan, maka Tuhan timpakan berbagai kesulitan, kesusahan dan kesengsaraan.  Sama ada penderitaan yang bersifat lahirah, atau yang mencengkam perasaan. Bahkan penyeksaan dalaman ini lebih dahsyat, boleh sampai kemuncak kekecewaan dan putus asa hingga sanggup membunuh diri.

Orang yang kehilangan Allah dari hatinya bukan sahaja di kalangan orang yang tidak ikut syariat, bahkan orang yang sembahyang pun sudah kehilangan Tuhan. Walau pun mereka banyak di masjid tetapi sebenarnya sudah tidak mencintai Allah. Sebab itu tak lahir kasih sayang, pemurah, rasa sama dan berkerja sama, bermaaf-maafan, di dalam masjid pun berlaku perebutan jawatan, pertengkaran dan perkelahian. Begitu juga dalam sebuah keluarga rumah tangga bila sudah kehilangan Tuhan akan huru haralah rumah tangga. Sekali pun mereka kaya, berharta, cantik, berjawatan tinggi, terkenal dan ada nama.

Keluarga yang mengamalkan rumah tangga atas dasar cintakan Allah akan menunjukkan suasana kasih sayang yang luar biasa di antara suami dengan isteri dan anak-anak, isteri dengan isteri bila dalam keluarga itu ada beberapa orang isteri. Anak-anak dengan anak-anak walau pun dari ibu yang lain. Setiap orang akan mencintai, mengasihi dan mengutamakan yang lain kerana mereka tahu bahawa Allah yang sangat mereka mencintai itu menyukai amalan-amalan tersebut.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?