LIDAH YANG MEMBAWA MANUSIA KE SYURGA ATAU KE NERAKA.

Menurut Imam Al-Ghazali, lidah antara nikmat Allah SWT yang besar dan antara ciptaan Tuhan yang amat halus dan ganjil. Lidah mempunyai bentuk yang indah, kecil dan menarik. Selanjutnya Imam al-Ghazali berkata: “Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.” Daripada kata Imam al-Ghazali itu jelas menunjukkan kepada kita besarnya peranan lidah dalam kehidupan manusia kerana lidah kita boleh masuk syurga dan kerana lidah juga boleh dihumban kita ke neraka.

Oleh kerana lidah boleh membawa kebaikan dan keburukan dalam hidup manusia, kita perlu sentiasa berwaspada menggunakan lidah sewaktu bertutur kata. Dengan kata lain, kita hendaklah bijak menggunakan lidah apabila bercakap. 

Sekiranya kata yang kita ucapkan boleh menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati atau terguris, ia boleh mendatangkan keburukan kepadai kita. Pepatah ada mengatakan kerana mulut badan binasa. Justeru, sebelum kita berkata sesuatu hendaklah berfikir terlebih dulu. Kita gunakan lidah untuk berkata sesuatu yang baik dan tidak sia-sia atau lebih baik lagi kita diam. Itu lebih memberi manfaat daripada kita berkata perkara yang boleh mendatangkan dosa. Sesungguhnya orang beriman tidak bercakap perkara yang sia-sia dan tiada berfaedah.

Daripada Abu Hurairah diriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: “Siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim). Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang jelik budi pekertinya serta kotor lidahnya.” (Hadis riwayat Imam Tirmidzi). Dalam kitab hadis empat puluh: Maka Rasulullah memegang lidahnya lalu bersabda: Jagalah ini (dari perkataan kotor/buruk). Saya berkata: Ya Nabi Allah, apakah kita akan dihukum juga atas apa yang kita bicarakan ?, beliau bersabda: Ah kamu ini, adakah yang menyebabkan seseorang terjungkel wajahnya di neraka –atau sabda beliau : diatas hidungnya- selain buah dari yang diucapkan oleh lidah-lidah mereka .(Riwayat Tarmizi dan dia berkata: Hadisnya hasan shahih).


Menurut Rasulullah SAW ada tiga jenis manusia, iaitu yang mendapat pahala, selamat daripada dosa dan binasa. Orang yang mendapat pahala sentiasa mengingati Allah, berzikir, mengerjakan solat dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang binasa sentiasa melakukan perkara mungkar, maksiat dan tidak mengawal lidahnya dengan baik. Kita dapat mengenal peribadi seseorang daripada tutur katanya. Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal yang baik saja, tidak menyakiti hati orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka mengawal lidah sebaik-baiknya.

Dalam hadis yang diriwayatkan Tirmidzi dan Ibnu Majah, Abu Hurairah menceritakan apabila Rasulullah SAW ditanya sebab terbesar yang membawa seseorang masuk syurga, Rasulullah menjawab: “Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah menjawab, “Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan.”

Bagaimana hendak menjaga lidah kita! Itulah persoalan yang hendak kita bincangkan dalam artikal ini. Di atas  Imam al-Ghazali, telah menjelaskan lidah antara nikmat Allah SWT. Jika manusia pandai menjaga lidah ertinya dia telah mensyukuri nikmat tersebut. Tuhan juga ingatkan manusia jika manusia tidak pandai bersyukur amaran Tuhan kepada manusia yang tidak bersyukur dengan ancaman yang amat dahsyat iaitu Neraka. Allah mengingatkan kita dalam Al Quran, "Ketahuilah sesungguhnya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang". Lidah juga boleh membantu hati untuk berzikir. Orang yang benar-benar berzikir seseorang itu boleh mendapat kekuatan rohani dari Tuhan. Kaedah-kaedah selain itu, walau sehebat mana pun, akan gagal untuk menjadikan manusia dapat menjaga dan mengawal lidahnya dari perkara-perkara yang negatif. Kita jadikan panduan yang telah Allah dan Rasul sediakan.

Mari kita muhasabah supaya lidah menjadi seperti yang dikehendaki itu, beberapa langkah telah dibuat:

1. Lidah digunakan untuk berzikir.
2. Berkongsi khabar-khabar gembira (تبشير) dengan dibantu dengan menggunakan lidah dan mulut menyebarkannya.
3. Menakut-nakutkan atau menggugat (تنزير) dengan Neraka.
4. Menceritakan nikmat atau kebaikan Allah.
5. Menceritakan sejarah orang-orang soleh.

Allah mencipta lidah kita dan Dialah paling bijak memandu manusia bagaimana sepatutnya menggunakan lidah. Marilah kita banyak muhasabah supaya kita benar-benar memahami, menghayati dan menggunakan lidah untuk menyebarkan kebenaran dari Tuhan.

(ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ)
[Surat Ar-Rum 41]
via @QuranAndroid

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). Surah Ar-Rum : 41

Perlu kita sedar bahawa manusia di zaman teknologi ini telah berubah, kalau sebelum ini banyak gunakan lidah untuk menyatakan hasratnya tetapi sekarang banyak menggunakan jari untuk menyampaikan kehendaknya. Jari jemari menjadi lidah menzahirkan kehendak, perasaan, ketidakpuasan, kemarahan dan 1001 kerosakan. Sama halnya seperti lidah, bila jari sudah tidak takutkan Allah, tidak merasakan kebesaran Allah, akan lahirlah kerosakan di atas muka bumi ini. Bersesuaian dengan ayat quran di atas, kerosakan yang berlaku kerana tangan-tangan manusia yang tidak kenal Allah, yang tidak takutkan Allah, yang tidak cintakan Allah. Oleh itu, marilah kita bersama-sama membersihkan diri kita lahir dan batin supaya tangan-tangan kita, mulut kita, seluruh fizikal kita menzahirkan keimanan yang hakiki kepada Allah SWT.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?