APAKAH KITA SUDAH BENAR-BENAR MERDEKA?!

Selepas tujuh ratus tahun wujudnya empayar Islam, sedikit demi sedikit kawasan jajahan empayar Islam dijajah oleh kuasa kuasa Barat termasuk Britain, Perancis, Belanda, Portugal dan lain-lain lagi. Jajahan empayar Islam dibuatkan sempadan dan dibahagi-bahagikan di antara kuasa-kuasa penjajah tersebut. Lahirlah berbagai negara di kawasan empayar Islam yang dahulunya adalah di bawah naungan satu pemerintahan.

Di kawasan timur tengah iaitu di kawasan umat berbangsa Arab sendiri, Britain telah menubuhkan berbagai negara termasuk Mesir, Arab Saudi, Jordan, Iraq, Syria dan sebagainya. Di utara Afrika, Perancis menubuhkan Algeria, Tunisi Libya, Maghribi dan lain-lain lagi. Benua ke India pula dipecah dua kepada India dan Pakistan. Begitulah seterusnya yang berlaku di kawasan-kawasan dunia Islam yang lain. Malaysia (atau Malaya) ketika itu tidak terkecuali.

Disebabkan pengaruh penjajahan ini, banyak perkara yang besar-besar telah hilang dan umat Islam. Di antaranya, umat Islam telah hilang satu empayar yang telah dipecah-pecah dan dicaing-caing mengikut sempadan politik, geografi, agama, etnik dan bangsa. Umat Islam hilang wibawa, hilang kasih sayang antara satu sama lain dan hilang perpaduan. Identiti dan kesatuan umat Islam tenggelam dan ditimbulkan identiti kebangsaan dan etnik yang memecah-belahkan lagi umat Islam. Yang paling rugi, umat Islam hilang ilmu dan hikmah yang telah menjadi sumber kekuatan umat Islam sebelumnya hingga telah terbina satu empayar Islam yang begitu hebat dan besar.

Kebanyakan umat Islam zaman ini tidak tahu dan tidak faham, apakah dia ilmu dan hikmah ini, kerana di sepanjang kehidupan mereka, mereka tidak pernah melihat atau terdedah kepadanya. Ini semua sudah hilang dari umat Islam setelah hati-hati mereka dipenuhi dengan dunia dan setelah mereka dijajah sekian lama.

Ilmu di sini bukan setakat ilmu ciptaan manusia atau ideologi. Ilmu di sini merangkumi ilmu wahyu iaitu apa yang Tuhan dan Rasul ajar kepada kita. Kalau kita suluh sesuatu dengan ilmu wahyu, kita akan dapat faham sesuatu itu dengan cara yang Tuhan mahu kita faham. Kita akan dapat bertindak sesuai dengan kehendak Tuhan. Tetapi kalau kita suluh sesuatu itu dengan ilmu dunia ciptaan manusia atau ideologi, kita akan faham cara lain. Kita akan tersimpang jauh dari jalan Tuhan dan jalan yang Tuhan redhai.

Hikmah pula bukan setakat ilmu sahaja. Hikmah bukan setakat mampu membaca daripada apa yang tersurat sahaja tetapi boleh pula memahami perkara yang tersirat atau yang tersembunyi dari Al Quran dan Hadis. Hikmah adalah ilmu seni, ilmu hati atau ilmu dalam ilmu. Dengan hikmah, seseorang itu mendapat ilmu yang sangat mendalam hingga mampu menyelesaikan masalah. Tahu punca dan tahu juga jalan penyelesaiannya. Mampu membina jiwa dan keinsanan manusia dan dapat pula memimpin mereka. Mampu mengatasi musuh da lam semua hal. Termasuk juga hikmah ini, bantuan-bantuan ghaib seperti firasat, kasyaf, ilmu laduni, hatif, ilham dan sebagainya.

Hendak dapatkan semula semua ini bukan senang. Ia memerlukan satu perjuangan sepertimana Rasulullah SAW berjuang. Ia mesti bermula semula dari awal. Ia mesti bermula semula dari kosong. Kita kena bermula semula dari jemaah kemudian daulah dan akhirnya ummah. Apa yang wujud sekarang sama ada negara, sistem mahupun masyarakatnya sudah terlalu rosak hasil dari usaha musuh penjajah hingga ia tidak dapat lagi digunakan sebagai tapak, asas atau permulaan bagi sesuatu perjuangan kebenaran.

Kini, banyak negara-negara umat Islam seperti yang disebut sebelum ini telah merdeka. Maksudnya mereka telah bebas dari cengkaman kawalan dan kuasa penjajah. Penjajah tidak lagi campur tangan dalam urusan pentadbiran negara mereka. Justeru negara-negara berkenaan merasa bebas, kuat dan berdaulat.

Sebenarnya, rasa bebas dan merdeka ini sangat bahaya. Ia melahirkan rasa puas hati dan rasa selamat yang boleh merugikan. Ia melahirkan contentment. Ia juga melahirkan complacency. Hingga kita tidak nampak lagi keadaan yang sebenar yang menimpa dan yang menguasai diri kita. Kita tidak sedar bahawa kemerdekaan yang kita megah-megahkan itu sangat merosakkan kita. Dijajah kita rugi. Setelah merdeka, kita bertambah-tambah rugi lagi.

Kalau diukur secara lahiriah, memang patut kita gembira kerana telah merdeka. Kita bebas. Kita boleh capai kemajuan ikut cara dan acuan kita sendiri. Kita yang menentukan nasi dan haluan hidup kita. Tetapi kalau diukur dengan ilmu terutamanya ilmu wahyu dan juga hikmah, nyata bahawa kita belum merdeka lagi. Kerana kemerdekaan itu sepatutnya merangkumi dua aspek atau perkara. Selagi dua aspek atau perkara ini belum kita capai, kita sebenarnya belum merdeka. Dua perkara itu ialah:
1. Kemerdekaan fizikal
2. Kemerdekaan rohani dan maknawi


MERDEKA SECARA FIZIKAL

Merdeka secara fizikal sahaja sebenarnya belum boleh lagi dikatakan sebagai merdeka sekiranya rohani dan maknawi kita masih lagi terjajah. Bukan mudah untuk melihat perbezaan ini. Bukan mudah untuk memahami apa itu penjajahan fizikal dan apa itu penjajahan rohani dan maknawi. Hanya orang yang qarib atau hampir dengan Tuhan sahaja yang akan nampak atau dapat mengesannya.

Penjajahan secara fizikal sebenarnya bukanlah satu penjajahan yang serius. Penjajah yang hanya menjajah secara fizikal, lebih-lebih lagi yang menjajah menggunakan kekerasan, kekuatan senjata dan kuasa tentera hanya mengundang kebencian, kemarahan dan penentangan rakyat. Rakyat menentang dan memberontak. Walaupun rakyat ditekan dan ditindas namun penjajah pun tidak senang, tidak selamat dan tidak bahagia. Rakyat menganggap penjajah sebagai musuh yang mesti ditentang habis-habisan. Penjajah tidak diberi kerjasama. Hasilnya penjajah tidak akan dapat mempengaruhi dan mengambil hati rakyat. Rakyat jauh dari penjajah.


MERDEKA SECARA ROHANI DAN MAKNAWI

Penjajahan secara rohani dan maknawi lebih berkesan. Inilah bentuk penjajahan yang diamalkan oleh British terhadap tanah-tanah jajahannya termasuk Malaysia (Malaya). Hendak merdeka dari penjajahan bentuk inilah yang paling sukar. Ia seperti musuh yang masuk dalam kelambu. Rakyat sudah menganggap Penjajah itu kawan dan sahabat. Penjajah diberi kepercayaan penuh. Ini adalah lebih merbahaya. Penjajahan bentuk ini di laksanakan seperti berikut:
1. Melalui ideologi.

Ideologi diasak ke dalam benak dan pemikiran umat Islam melalui psikologi dan pendidikan hingga ia menjadi satu amalan, pegangan dan aqidah umat Islam. Malahan ia sampai mengatasi agama. Ini termasuklah dalam hal demokrasi, perundangan, konsep kebangsaan, kapitalisme, sistem riba malahan dalam semua sistem hidup yang berlandaskan ideologi. Sistem Islam ditolak ke tepi. Malahan sistem hidup cara pemerintahan dan perundangan Islam dicemuh dan dihina. Rakyat mengaku Islam tetapi pemikiran dan cara hidup mereka tidak ada bezanya dari cara hidup kafir penjajah.
2. Melalui ilmu pengetahuan.

Ilmu pengetahuan dalam ideologi telah mengambil alih ilmu Islam. Semua ilmu semata-mata menghala ke dunia. Semua ilmu semata-mata untuk dunia. Tidak ada ilmu tentang Tuhan, tentang Akhirat, tentang Syurga dan Neraka, tentang syariat dan tentang akhlak. Akhirnya umat Islam hilang iman, hilang Tuhan dan hilang akhlak. Umat Islam terputus dengan Tuhan dan terputus hubungan dengan agama.

Orang Islam yang berjaya mendapat ilmu dunia dan ilmu ideologi disanjung, diberi jawatan dan gaji yang tinggi. Orang ini pula merasa bangga, megah, sombong dan tinggi diri. Kerana sudah tidak ada Tuhan dan tidak ada agama dalam hidup mereka, mereka terjebak dengan maksiat dan kemungkaran. Kehidupan seperti ini terus jadi budaya.

Kalau ada pun yang hendak belajar ilmu agama, diduniakan dan disekularkan ilmu agama itu hingga yang ada ilmu agama pun lebih cinta dunia dari cinta Tuhan. Ilmu agama itu disempitkan dan dijuruskan ke dalam jurusan-jurusan yang kecil kecil hingga ia tidak lagi berkesan untuk mendidik rakyat. Orang belajar agama pun untuk tujuan mendapat sijil dan jawatan. Ilmu agama diduniakan.

Bila ideologi dan ilmu dunia seperti ini diterima dan dijadikan amalan dan cara hidup umat Islam, maka umat Islam terhimpit dan tersepit dengan sistem ciptaan penjajah. Sistem Islam tidak dapat diamalkan lagi. Segala sistem hidup terpaksa mengikut sistem penjajah yang jelas adalah ciptaan Yahudi dan Nasrani yang tentunya bercanggah dengan syariat Tuhan. Ini tepat seperti amaran yang Allah SWT berikan dalam Al Quran yang berbunyi:

Maksudnya: "Dan sesungguhnya, tidak akan redha Yahudi dan Nasara kepada engkau (ya Muhammad), sehingga engkau mengikut cara hidup mereka." (Al Baqarah: 120)

Maka rosaklah kehidupan umat Islam. Rosak ekonomi, rosak kebudayaan, rosak pendidikan dan sebagainya. Sepatutnya umat Islam berekonomi dengan penuh kasih sayang, penuh pembelaan, penuh khidmat dan bertolong-bantu tetapi terpaksa berekonomi dengan sistem riba dan kapitalis yang hanya mementingkan untung, yang menekan dan menindas. Sepatutnya umat Islam berkebudayaan dan berhibur dengan kebenaran untuk mendapat hidayah dan ketenangan jiwa tetapi diajar oleh penjajah supaya berhibur dengan maksiat untuk memuaskan hawa nafsu. Sepatutnya umat Islam dididik mencintai Tuhan dan bekerja untuk mendapat redha Tuhan tetapi diajar oleh penjajah supaya umat Islam dididik untuk jadi pencinta dan pemburu dunia.

Tetapi umat Islam tidak sedar. Mereka terbuai dengan kegembiraan menyambut kemerdekaan tahun demi tahun dengan berbagai-bagai aktiviti yang tidak berfaedah. Hakikatnya, mereka masih dan tetap terjajah. Rohani dan pemikiran mereka, hatta kehidupan mereka sendiri terus terjajah. Mereka terus terikat dengan pemikiran dan sistem hidup penjajah. Mereka tetap jauh dari cara hidup Islam yang Tuhan mahu. Bagaimanakah umat Islam kini akan dapat keluar dan terlepas dari penjajahan rohani dan maknawi seperti ini? Penjajah telah lama pergi tetapi hakikatnya penjajahan terus berlaku. Kita pun sangsi, kemerdekaan apakah sebenarnya yang kita sambut tahun demi tahun itu?

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?