MALAYSIA BENTENG AHLI SUNNAH, DAN SELAMAT DENGANNYA.
Era politik akan berakhir tak lama lagi. Politik yang berkiblatkan barat atau politik cara barat akan jatuh dan lumpuh. Jatuhnya sistem ini bersama dengan isinya. Ertinya, sesiapa yang bersama politik ini juga akan jatuh sekali, ibarat pisang jatuh setandan.
Politik sedia ada kini bukan lagi relevan dan penyelesai masalah, malah ianya adalah punca masalah. Ianya tempat jatuh menjatuhkan, hina menghina, buruk memburukkan, dan 1001 lagi keburukan yang membawa mudarat kepada rakyat. Ini kerana politik yang ada bukanlah membawa manusia menuju Allah swt dan akhirat. Malah kerana politik manusia semakin jauh dengan Allah, semakin lupakan akhirat.
Malaysia juga tak berkecuali daripada senario politik yang busuk dan jijik. Politik menjadi tempat manusia berebut pangkat, mengumpul harta kekayaan, menjatuhkan, menghina, dan bermacam lagi kejahatan yang merosakkan iman manusia. Namun ramai tidak sedar bahawa politik adalah satu ajaran dan fahaman yang sesat dan menyesatkan. Kerana politik, agama dipermainkan, institusi keluarga runtuh, rosak sistem pendidikan dan bermacam lagi kerananya. Hatta sekalipun ada orang berkata dengan politik dia cuba menegakkan keadilan dan kebenaran, realitinya semakin jauh keadilan dapat ditegakkan, kebenaran semakin ditelan kebatilan.
Namun Malaysia tak dapat lari daripada gelombang dakwah atau kebangkitan dakwah. Islam di Malaysia semakin meriah. Dalam tidak sedar, Islam telah merubah sebahagian besar masyarakatnya menjadi manusia yang mahukan kesedaran beragama. Di mana-mana pun kesedaran terhadap agama semakin mendalam, dan ini menjadikan Malaysia imun atau kebal terhadap ancaman musuh luar dan dalamnya, tanpa disedari.
Malaysia adalah negara Islam, ini satu hakikat! Ramai bertanya kepada saya, apakah bukti Malaysia negara Islam yang kita perjuangkan? Terlalu banyak bukti menunjukkan negara kita tercinta ini adalah benteng bagi agama Islam khususnya Islam Ahli Sunnah Wal jamaah. Bertanya lagi, apakah bukti negara kita kuat pegangan sunnah sedangkan ketua negara kita iaitu PM dengan senangnya menerima Iran selaku negara Syiah sebagai rakan sekutunya.
Kita perlu tahu, dalam negara kita ketua bahagian agama adalah Yang di-Pertuan Agong dan beliaulah nadi kekuatan Ahli Sunnah wal Jamaah. Beliau bertanggungjawab terhadap institusi agama di negara kita. Manakala PM pula selaku ketua negara dan secara am-nya memang tanggungjawab beliau untuk memastikan negara kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara atau kuasa besar dunia. Dalam hal ini, ramai terkeliru.
Musuh mencipta huru hara di media massa dan media sosial untuk menjatuhkan imej dan wibawa negara Malaysia. Maka tidak hairan, PM dan barisan pimpinan negara menjadi sasaran kerana seperti yang kita bahaskan di atas, sistem yang berjalan atas nama politik menuju kehancuran! Tetapi sistem raja-raja adalah selamat dan menjadi kuat kerana Islam menjadi nadinya.
Alhamdulillah, raja-raja kita semakin sedar untuk menyatukan umat, hanya Islam sahaja boleh menyatupadukan kita. Bukan duit, bukan harta, bukan dunia. Islam semakin kuat dan mendapat laluan di negara kita. Seolah ada satu kuasa yang menjaga dan memastikan ia berjalan tanpa gangguan. Musuh tak duduk senang, setiap masa ada sahaja rancangan yang dibuat namun Allah swt jualah yang menjaga dan memelihara negara kita tercinta.
Politik hakikatnya telah berakhir. Turun dan jatuhnya Tun Mahathir adalah lambang berakhirnya era politik barat di Malaysia. Seorang yang lahirnya telah berjasa selama lebih 22 tahun pada tanah airnya kini semakin sepi, dibiarkan dan jauh daripada perjuangannya. Malah beliaulah yang sedang menjatuhkan sistem yang satu masa dulu dialah pejuangnya, pencintanya, hidup mati untuknya. Tun sepatutnya makin jelas melihat politik bukanlah penyelamat negara. Islam adalah penyelamatnya. Semoga dia diberi kekuatan untuk faham dan turut serta menjayakan kebangkitan Islam di Malaysia.
Bulan Disember akan datang menjadi satu bulan yang di tunggu. Malaysia akan mendapat seorang ketua negara atau raja yang baharu, yang terkenal kerana dekatnya beliau dengan Islam dan ajarannya. Namun raja atau sultan sekarang ini cukup berikan gambara bahawa negara kita adalah negara Islam Ahli Sunnah. Permaisuri yang menutup aurat adalah simbol kekuatan Islam raja kita. Inilah jawapan bagi soalan apakah negara kita sebuah negara Islam. Permaisuri juga boleh menjadi model muslimah bagi masyarakat kita. Sayang, kita tidak berikan perhatian kepadanya. Semoga Allah swt memelihara raja dan permaisuri serta rakyatnya.
Yakinlah kita bahawa inilah masanya Islam menjadi teraju di dunia. Kita mulakan Islam pada diri kita, keluarga dan masyarakat. Politik akan terbiar dan terkubur begitu sahaja. Orang-orang politik akan makan gaji buta, semakin lama semakin malu dengan sikap mereka. Akhirnya hilang dengan sendiri sistem ini tanpa siapa menjatuhkannya. Ia terkubur sendiri. Sesiapa yang tidak berubah, rakyat sendiri akan menghukumnya. Dia berdepan dengan satu kebangkitan, bukan berdepan dengan sesiapa atau mana-mana individu. Siapa kembali kepada Islam, nasibnya akan terbela dan menjadi pembela. Kita akan mulia kerana Islam, kita akan dimuliakan, dan kerana Islam kita akan pandai memuliakan.