Sifat Gopoh Hancurkan Islam Dari Dalam.

Salah satu tabiat semula jadi manusia adalah gopoh. Firman Allah dalam Al Qur’an: “Dijadikan manusia sangat gopoh”.

Biasanya yang gopoh itu kerana hati yang tidak tenang, gelisah, atau ada ujian. Ujian ini untuk mendidik dan mendisiplinkan diri agar menjadi manusia yang tenang. Ujian golongan bawahan misalnya miskin, orang benci, orang hina dan lain-lain. Manakala ujian golongan atas misalnya : tak dilantik menjadi menteri, rebutan jawatan, rugi dalam perniagaan dan lain-lain.

Bila sifat semula jadi ini (gopoh) tidak dididik, tidak dikikis dari manusia, maka akan berkembang, berbuah dan berakar umbi sehingga akhirnya mendarah daging dalam diri manusia itu. Bila sudah mendarah daging, maka akan sangat sulit membuangnya, walau orang itu sedar bahwa sifat itu menyusahkannya. 

Kita harus minta bantuan Allah untuk membuang sifat gopoh ini. Kita kena sungguh-sungguh berjuang menghapus sifat gopoh. Dari kecil sesungguhnya manusia perlu didikan oleh guru untuk mengikisnya. Bila dari kecil dah dikikis mudah untuk membuangnya. Ibarat mencabut sebatang pokok, tentu akan mudah mencabutnya sewaktu pokok itu masih kecil, dibanding dengan pokok yang sudah sangat besar dengan akar yang kukuh.

Bahaya-bahaya sifat gopoh :

1. Sifat gopoh akan mendorong manusia untuk mudah mengeluarkan kata-kata tanpa berfikir, sehingga sering tersalah. Dalam hadist disebutkan: "Barang siapa yang percaya pada Allah dan Rasulnya, hendaklah menjaga mulut atau diam."

2. Dalam perbualan, sifat gopoh ini mudah saja memotong cakap orang lain. Sehingga ramai orang tersinggung dan akhirnya menimbulkan perpecahan hati.

3. Gopoh dalam membuat keputusan tanpa berfikir dan berunding dengan orang yang dipercaya, akan banyak membuat keputusan salah yang akhirnya menimbulkan penyesalan.

4. Sifat gopoh membuat orang 
mudah menuduh/menghukum, sehingga ramai yang terfitnah, walhal fitnah lebih kejam dari membunuh. Teraniayalah orang itu.

5. Mudah memukul, menyerang dan membunuh orang, sehingga terjadilah kerosakan dalam masyarakat, dendam mendendam, mudah marah. Masing-masing dengan kumpulan sendiri. Sehingga terjadilah kerosakan yang lebih besar.

6. Sifat gopoh membuat manusia dimalukan. Malu menghilangkan maruah, wibawa dan keyakinan orang pada kita.

7. Sifat gopoh mudah membawa orang ke sifat cepat merajuk, cepat jemu, mudah putus asa. Padahal Allah berfirman : "Janganlah kamu berputus asa atas RahmatKu." Putus asa dapat membawa kepada kekafiran.

8. Dengan sifat gopoh makin tidak tenang hidupnya, sering tersalah, tersilap, selalu terlajak, tersasul.

9. Orang lain tidak suka berkawan dengannya, kerana ia cepat marah tanpa munasabah.

10. Sifat gopoh mendorong orang untuk buat kerja tanpa mengkaji. Mudah meninggalkan kerja, lebih-lebih kerja berat. Maka terbengkalailah pekerjaan itu.

11. Melulu dalam bertindak, mudah menjadikan musuh sebagai kawan atau kawan menjadi musuh. Tindakannya sembrono, tidak disiplin, tersusun dan teratur.

12. Mudah menukar prinsip, mudah berubah fikiran dan bertukar sikap, sehingga susah hendak berpegang dengan pendirian. Dalam perjuangan ia mudah memukul kawan

13. Sifat gopoh akan membawa pada penyesalan.

14. Sifat gopoh membawa kepada akhlak buruk yang dibenci Allah dan Rasul saw.

15. Sifat gopoh mendorong untuk menolak kebenaran yang dibawa tanpa dikaji dan dianalisa.

16. Sifat gopoh membawa orang menjadi tidak sabar bila diuji dengan nikmat atau ujian.

Orang yang memiliki sifat seperti di atas sebenarnya bukan menghambakan diri pada Allah, dan tidak bertuhankan Allah. Dia bertuhankan dan menghambakan diri untuk nafsu. Firman Allah yang bermaksud: "Tidakkah kamu melihat orang yang mengambil hawa nafsu sebagai Tuhan."
(Al Jasiyah: 23)

Mereka yang bersifat gopoh juga menganggap diri mereka bijaksana dan merdeka, tetapi sebenarnya merekalah orang yang lemah, bodoh dan terkurung dalam kesempitan nafsu mereka sendiri.
Kerana menurutkan hawa nafsulah manusia menjadi orang-orang yang derhaka pada Allah.

Sifat gopoh atau gelojoh ini adalah salah satu ciri atau sifat orang yang sombong. Merasakan diri tahu segalanya dan tidak boleh ada orang yang lebih darinya. Maka lahirlah sifat gopoh ini. Sabda Nabi saw yang bermaksud, Sombong adalah ibu segala kejahatan. Maka dari sombong inilah lahirnya sifat gopoh atau gelojoh ini.

Di dalam perjuangan Islam, sifat ini mesti dihindarkan. Orang yang gopoh sering terlajak dalam tindakan, dan ini membahayakan. Tindakannya sangat merugikan Islam dan menghancurkan Islam dari dalam. Jika seorang pemimpin bersifat gopoh, pimpinannya takkan kekal lama kerana antara ciri pemimpin yang berjaya ialah bersifat sabar; ianya sangat bertentang dengan sifat gopoh.

Sifat gopohlah yang merugikan agama, bangsa, dan negara. Dengan sifat ini tidak akan melahirkan bangsa atau meneruskan generasi yang cemerlang, gemilang, dan terbilang; dalam apa perjuangan pun tidak akan berjaya jika sifat gopoh tidak dibuang, lebih-lebih lagi dalam perjuangan Islam.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?