KHUTBAH AIDILADHA 2015: HIKMAH HAJI DALAM MEMBINA WADAH ISLAMIAH.



اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 2 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا . الحَمْدُ ِللهِ الَّذِى وَفَّقَنَا لِعِبَادَتِهِ . وَجَعَلَ هذَا اليَوْمَ فَرْحًا لِعِبَادِهِ الُمتَّقِيْنَ الَّذِيْنَ فَازُوْا بِصِيَامِ رَمَضَانَ وَقِيَامِهِ .وَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ . أَمَّا بَعْدُ …. فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ


"Aku datang memenuhi panggilan-Mu, Ya Allah! Daku datang memenuhi panggilan-Mu
Daku datang memenuhi panggilan-Mu, Tiada sekutu dan setanding dengan-Mu, aku datang memenuhi panggilan-Mu
Sesungguhnya segala pujian dan nikmat, serta kekuasaan adalah milikmu, dan tiada sekutu bagi-Mu Ya Allah!"

Wahai hadirin yang di rahmati Allah sekalian,

Ketahuilah, lafaz talbiyah yang dibaca tadi adalah lafaz yang sangat mulia dan istimewa. Ianya dilafazkan setahun sekali, dengan penghayatan dan kefahaman yang membawa kepada jiwa Tauhid yang tinggi. Dalam lafaz ini, Allah mengajar kepada kita hamba-Nya, supaya memiliki jiwa dan perasaan yang sangat tepat kepada Tuhannya. Allah jualah yang mengajar kepada kita lafaz yang mulia ini, hingga diucapkan ketika sedang mengerjakan haji. Tidaklah batal atau tidak sah haji jika tidak melafazkannya, namun menurut Imam Syafie, Imam Nawawi, dan beberapa Imam Muktabar yang lain, ia adalah sunat yang memberikan ganjaran kepada ibadah haji yang ditunaikan.

Allahukabar, Allahuakbar, Allahuakbar, walillahilhamd.

Semasa manusia bertalbiyah, alam sekelilingnya turut sama mengikuti bertalbiah, dan mereka menjadi saksi kepada talbiah yang dilakukan oleh manusia. Daripada Sahal bin Saad r.a., sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم  :

“Apabila setiap muslim bertalbiyah maka akan bertalbiyah bersama-samanya mereka yang berada di sebelah kanan dan kirinya samada batu atau pokok-pokok sepanjang perjalanan dari sini dan sana.”

(Riwayat Tarmizi dan Ibni Majah)


Ketika Allah SWT  memerintahkan Nabi Ibrahim AS untuk mengkhabarkan manusia agar berhaji, Nabi Ibrahim AS berkata:

يا أيها الناس إن ربكم اتحذ بيتًا و أمركم أن تحجوه فاستجاب له ما سمعه من حجر أو شجر أو أكمة أو تراب أو شيئ  فقالوا لبيك اللهم لبيك (رواه ابن جرير 17\106)

“Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah (Kaabah) dan memerintahkan kamu untuk berhaji kepadanya. Lalu menerima panggilan ini apa saja yang mendengarnya dari batu-batuan, pokok-pokok, bukit-bukit debu atau apa saja yang ada, lalu mereka berkata لبيك اللهم لبيك ……" (HR Ibnu Jarir 17/106)


Maha Suci Tuhan yang memuliakan hamba-hambaNya dengan kebesaran dan pujian terhadap-Nya.


Hadirin dan hadirat yang dikasihi Allah sekalian,

Bila disebut sahaja tentang ibadah haji, yang ianya rukun Islam ke lima, tidak dapat tidak ianya sangat berkaitan dan terhubung dengan sejarah Nabi Ibrahim Alaihi Salam. Nabi Ibrahim A.S. ialah seorang Nabi dan Rasul yang sangat taat kepada Allah taala. Hinggakan Allah memuji baginda didalam Quran dengan mengatakan baginda adalah seorang yang sangat baik dan menginginkan kebaikan kepada semua makhluk Tuhan. Maka tidak hairanlah baginda digelar oleh Allah sebagai 'Khalilullah' yang membawa erti Kekasih Allah.


وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. (Surah Al-Hajj : 27)


Allah taala memuliakan Nabi Ibrahim dan keluarganya hinggakan amalan-amalan atau rukun dalam haji dan umrah itu dilakukan bagi mengenang kehidupan Baginda dan keluarganya. Malah ada mukjizat yang kekal hingga kini seperti air zam-zam yang tak pernah kering dan keluar dengan izin Allah. Ini semua berkat Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, serta Ibunda Siti Hajar. Peristiwa Siti Hajar berlari mencari air di tengah-tengah terik mentari di padang pasir berbukit, tiada apa hakikatnya yang hendak diminum. Namun dengan izin Allah, berkat kaki anaknya bakal Nabi iaitu Nabi Ismail yang masih bayi, terpancarlah air dari bumi yang datang dari syurga, itulah dia zam-zam. Peristiwa ini Allah kekalkan malah dijadikan rukun dalam umrah, iaitu Saie dari Safa ke Marwa. Tak cukup ketika sekecil bayi, Allah mengangkat darjat mereka ketika Nabi Ismail membesar seperti budak biasa, namun Allah perintahkan agar Nabi Ibrahim sembelih pula anaknya. Hati bapa mana yang tidak remuk bila mendapat tahu anaknya bakal dikorbankan, oleh tangannya sendiri dan ini arahan dari Allah taala. Ketika semua persiapan sudah siap, datanglah syaitan mengganggu, dan ketika itu dilontarkan batu oleh mereka sebanyak tiga kali supaya tidak mengganggu perintah dari Allah taala. Masya Allah! Indahnya dan hebatnya pengorbanan mereka hingga Allah abadikan hingga kini. Kini para jemaah haji wajib melontar Jamrah Aqabah di Mina pada 10 Zulhijjah. Dan melontar jamrah sekurang-kurangnya tiga kali pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah. Allah kekalkan kisah Nabi Ibrahim dan keluarganya dalam Haji dan Umrah, malah dalam solat pun disebut namanya ketika selawat tahiyyat akhir. Begitu sekali Allah memuliakan Nabi Ibrahim dan keluarganya.


Intipatinya ialah Allah taala menginginkan dan mengajarkan kepada kita bahawa yang ingin dibawa daripada haji itu ialah isinya, perasaannya, kefahamannya, rohnya, jiwa tauhid yang lahir dan subur dari ibadah yang dilakukan dalam rukun atau wajib haji dan umrah tadi. Begitulah Allah taala memuliakan kekasih-Nya itu.


قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِىٓ إِبْرَٰهِيمَ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥٓ


"Sesungguhnya bagi kamu contoh ikutan yang baik pada Ibrahim dan mereka yang bersamanya (ahli keluarganya)," (Al-Mumtahinah : 4)


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar! Walillahilhamd.

Apakah pengajaran yang boleh kita ambil dari sejarah Bapa Agama, iaitu Nabi Ibarahim AS tadi? Daripada kisah Nabi Ibrahim dan keluarganya, kita diajar tentang sabar, taat, dan tawakal, bersatu dalam menegak kalimah Allah. Bukan mudah untuk seorang ayah untuk korbankan anaknya. Manakala anaknya tidak semudah itu untuk taat dan diperlakukan oleh bapanya, bukan hal kecil. Nyawa taruhannya. Isteri pula bersangka baik kepada suami dan mendorong serta mendokong suami walaupun dia sendiri tidak faham tindakan suaminya, namun kerana Allah dia tempuhi jua. Namun ini semua berlaku kepada keluarga Nabi Ibrahim A.S. Baginda taat dan patuh pada suruhan Allah, tanpa persoalan dan terus bersedia untuk melaksanakannya. Anaknya Iaitu Nabi Ismail, boleh taat dan akur kepada arahan bapanya sedangkan tahu nyawa bakal melayang, malah dengan berani baginda berkata kepada ayahnya buat apa ditangguhkan lagi kalau ini sudah perintah Allah taala!. Ini semua bukan kerja manusia biasa, ini kerja luarbiasa dan ianya berlaku dalam keluarga Nabi Ibrahim. Namun kerana masing-masing telah memberikan hati dan kepercayaan masing-masing kepada Nabi Ibrahim, senanglah baginda mengatur dan mencatur mengikut bayangan (mukjizat) yang diberikan.


Hadirin hadirat sekalian!

Inilah yang perlu dilakukan kepada diri kita, keluarga kita, dan kelompok kita. Mencontohi sikap Nabi Ibrahim, sikap keluarganya, hingga Allah abadikan amalan ini dalam haji dan umrah. Perlu kita lihat apa kaitannya dengan pembangunan institusi kekeluargaan, apatah lagi jika dikaitkan dengan badan-badan atau kelompok jemaah yang perjuangkan Islam. Sebagai seorang ayah atau pemimpin, mestilah mempunyai rancangan untuk keluarganya atau jemaahnya atau kelompoknya. Namun akan menjadi penghalang malah boleh menjadi penentang jika anak atau isteri serta pengikutnya tidak taat, tidak faham atau tidak mahu faham, malah bersaing pula satu sama lain. Kita boleh kaitkan dengan keluarga kita, tak perlu jauh-jauh. Apabila anak-anak sudah boleh mengikut rentak ketua keluarganya, maka Allah akan permudahkan dan bukakan jalan untuk mereka. Jika masih ragu-ragu atau tak yakin atau memandang rendah pada orang lain, akan menemui jalan buntu. Kerana Allah jualah yang merencanakan semua ini. Sebagai hamba dan selayaknya kita ikutilah apa yang Allah rencanakan pada kita. Berbuatlah kebajikan dan kebaikan, berkorban dan berjuang untuk Allah dan agamanya dalam institusi keluarga yang ada, dan ianya akan berkembang hingga ke tengah masyarakat.


Sebelum ini kita diberikan markah tak sampai 10% atau sekadar itu dalam membina keluarga besar yang menjadi penaung atau penyambung perjuangan ini. Namun bila kita memberikan hati kepada cita-cita dan perjuangan, saling menjaga satu sama lain, melebihkan urusan perjuangan daripada perjuangan diri, tengoklah apa jawapan Allah taala. Siapa sangka ibadah korban ini dapat dilaksanakan di sini. Allah perlihatkan kuasanya, diberikan jalan penyelesai masalah, jalan keluar dari kebuntuan yang ada, malah diberikan kekuatan hati maknawi yang luar biasa. Imej Islam nampak hebat dan gagah hasil kejayaan yang Allah berikan ini. Dulunya umat Islam disini ditindas, sekarang bila kita sama-sama lakukan perubahan, markah dalam membina keluarga contoh ini meningkat kepada 50%, dan ianya sangat besar nilainya kerana ia membawa imej Islam, membawa Izzah Islam, kemuliaan Islam. Kini bukan sahaja imej keluarga Islam itu terserlah dan bersinar, malah lebih besar dari itu Syiar Islam berdiri dengan megah! Bila sudah tiba masanya yang Allah kehendak, jika kita pandai meletakkan diri kita, perjuangan kita semakin laju dan laju. Bukan sahaja ikatan kekeluargaan bertambah kuat, malah ikatan orang Islam juga menjadi kuat dan hebat. Begitulah roh keluarga Nabi Ibrahim A.S. yang nak dibawa ke dalam institusi kekeluargaan kita, perjuangan kita. Inilah jalan para Nabi dan para Rasul. Mana mungkin Allah akan berdiam diri jika berbuat untuk-Nya, demi agama-Nya. Allah jualah yang melakukan semua ini.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


Khutbah ke 2.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر

اَلْحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَتُوْبُ إِلَيْهِ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَسَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ.

اَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ اِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ

فَيَاعِبَادَ اللهِ : اُوْصِيْكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَ اللهِ وَطَاعَتِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ.

Hadirin dan hadiran sekalian,
Sudah lama kita beribadah, namun ibadah kita tidak memberi hasil apa-apa kepada kita nampaknya.

Inilah kesilapan dan kecuaian kita dalam beribadah. Niat kita beribadah pun mungkin tidak ikhlas, apatah lagi perlaksanaan dan natijahnya. Dalam kitab ada disebut, orang-orang yang mengerjakan haji terbahagi kepada empat bahagian dan niat masing-masing, tapi saya tambahkan dua lagi sebagai renungan kita bersama.

1. Orang besar kerana melancung
2. Ahli perniagaan kerana berniaga
3. Orang miskin mencari rezeki
4. Orang yang ikhlas pergi kerana Allah
5. Orang yang pergi kerana tradisi dan adat, kerana trend semasa, orang pergi dia pun pergi
6. Orang yang escapism, iaitu mereka yang gagal dalam politik, frust dalam hidup, bangkrap, dan lain-lain lagi; pergi mengadu nasib di Mekah hakikatnya.

Inilah dia sebenarnya diri-diri kita wahai umat Islam semua! Ibadah kita, syahadah kita, solat, haji, zakat, itu tidak mendidik kita kepada Allah. Itu tidak memberi kesan kepada hati kita. Pergi haji balik haji perasaan sama dibawa. Tiada perubahan! Balik dari haji sampai sepuluh kali tapi tetap ibadah tunggang langgang, pecah ukhuwah, yang bertambah ialah gila pangkat, gila kuasa, gila pengaruh, gila kemahsyuran, gila dunia! Mulut kita, fizikal kita sembah Allah tapi hati kita tidak. Hati masih menyintai dan menyembah nafsu, harta benda, anak isteri, apa saja yang kita mahu. Kita tidak peduli langsung dengan Allah, kita membelakangkan Allah dalam kehidupan kita. Kita tak ambil pusing kata Allah, yang kita kisah kata kita, kita dengar cakap isteri kita, kata-kata Allah kita biar berlalu begitu saja, walaupun tengah baca Al-Quran namun di lidah sahaja. Hatinya ada cakap-cakap lain. Itukah cinta yang kita berikan kepada Allah yang menghidupkan kita?

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!

Saudara saudari, hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian,
Mulai hari ini, jangan kita biarkan diri kita dikuasai oleh nafsu lagi. Jangan kita dipermainkan dan diperbodohkan olehnya. Buktikan cinta kita kepada Allah dengan terus berkorban. Korbankanlah apa yang kita mampu, kambing atau lembu pada hari ini, atau tiga hari berikutnya.  Kemudian katakanlah, "Ya Allah, terimalah korbanku ini wahai Tuhan yang Maha Rahim. Terimalah sebagai tanda cintaku pada Mu ya Allah!"

Selepas itu jadikan hidup kita sentiasa berkorban dan berjuang. Korban harta, korban masa, tenaga, jiwa raga, dan lain-lain untuk Islam, untuk perjuangan di jalan Allah.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar! Walillahilhamd.

Rasulullah s.a.w. kencangnya pengorbanan baginda ibarat angin. Para sahabat menghabiskan harta mereka untuk perjuangan Islam, seperti Saidina Abu Bakar menghabiskan semua hartanya untuk Islam. Bertambah hartanya dia korbankan lagi hingga orang melihat para sahabat berhabisan untuk perjuangan Islam. Siti Khadijah habiskan semua hartanya walau sedikit pun tak ditinggalkannya untuk dirinya. Beliau menukar geran harta bendanya kepada suaminya untuk membantu perjuangan agama Allah dan Rasul. 

Kita? Apa yang kita korbankan? Wang ringgit kita banyak kita korbankan untuk anak isteri kita, untuk kereta kita, untuk basikal kita, untuk perut kita, untuk apa sahaja kemahuan dan apa yang nafsu suka. Kalau begitu cinta agung kita bukan pada Allah, tapi pada isteri, pada kereta, pada rumah, pada apa yang kita habiskan untuk dia, kalau perut kita banyak dihabiskan duit, dialah cinta agung kita. Memang aneh dengar bunyinya, cinta perut tapi itulah hakikatnya, realitinya. Masa kita habis korbankan di tempat-tempat hiburan, permainan, bual kosong, paling mudah sekali habiskan masa di tempat tidur.  Berfikir bukan untuk Allah, untuk diri. Itulah cinta kita, tidak cinta Allah tapi cinta diri sendiri.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar! Walillahilhamd.

Hadirin hadirat semua,
Dunia kini dalam kehancuran, sangat memerlukan keamanan dan kemakmuran. Masalah terjadi tak habis-habis, tapi penyelesaiannya tiada. Ianya hancur dengan kekejaman manusia, kezaliman di mana-mana. Umat Islam ditindas, dianaiya, dimalukan satu dunia. Satu dunia umat Islam melihatnya namun tak boleh buat apa-apa. Siapa yang memahami perkara ini sudah tentu akan risau dan sedih. Apa akan jadi pada dunia ini nanti? Kita semakin berusia, rumah kata pergi kubur tak berhenti-henti kata mari. Apakah selamat di dunia, selamat di akhirat? Anak cucu kita, zuriat kita, generasi kita berikutnya, siapa yang mahu membela nasib mereka?! Kalau begitu tentulah kita akan berdoa kepada Allah agar didatangkan pertolongan dan penyelamat untuk membersihkan dunia ini dan manusia seluruhnya.

Hanya Allah yang tahu caranya, apa cara terbaik untuk mencapai cita-cita suci ini. Allah ada cara untuk semua ini, kita kena dan mesti berdoa selalu. Bukan sahaja untuk kita tapi untuk anak cucu kita, generasi penyambung perjuangan kita. Tapi sebelum itu pejuang-pejuang Islam mestilah persiapkan jiwa yang kuat dan bertaqwa, dan tapak perjuangannya. Taraf pejuang Islam ialah singa di siang hari dan abid di malam hari. Kalau ini sudah ada, insha Allah kita akan kenal Allah, cintakan Allah dan akhirat, sanggup berjuang untuk Islam, sanggup korbankan apa yang ada untuk Islam. Segala sifat mazmumah akan bertukar kepada mahmudah, tiada lagi sombong, tiada lagi pemarah, bakhil dan lain-lain. Yang ada tawadhuk, pemurah, penyayang, dan segala seribu satu kebaikan lagi yang ada pada diri manusia.

Kalau kita ingin termasuk dalam golongan pejuang Islam, kita kena sediakan diri kita dengan Iman dan Taqwa. Hanya orang beriman dan bertaqwa yang akan benar-benar perjuangkan Allah dan agama-Nya. Hanya. Golongan yang bertaqwa sahaja yang akan mendapat pembelaan dan pertolongan serta bantuan daripada Allah taala.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?