NASIHAT BUAT PEJUANG GENERASI BARU.
وَقُلِ اعمَلوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُم وَرَسولُهُ وَالمُؤمِنونَ ۖ وَسَتُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan". (At-taubah: 105)
Kita berada di satu era baru, iaitu peralihan dunia kepada Islam. Mana-mana pergerakan atau perjuangan samada berbentuk jemaah thoifah, atau jemaah tariqat, atau jemaah pondok, atau kelompok-kelompok kecil yang perjuangkan Islam; kini sedang mengalami perubahan era dan corak kepimpinan atau pentadbiran. Mana-mana perjuangan yang disebut tadi kini sedang beralih kepimpinan kepada generasi baru mereka. Ini berlaku kepada perjuangan kebenaran mahupun kebatilan. Sebagai pejuang lebih-lebih lagi dalam memperjuangkan Kebenaran iaitu Islam, perjuangan antara generasi baru dan terdahulu mestilah berlaku kesinambungan. Perjuangan itu mestilah bersambung dari generasi ke generasi seterusnya. Tidak boleh generasi kemudian membawa prinsip dan dasar yang berbeza, kerana awal-awal lagi ianya sudah menolak perjuangan tersebut tanpa disedari.
Di setiap zaman sekalipun, apa-apa juga perjuangan, seringkali terjadi generasi baru akan menilai, melihat, dan memerhatikan tindak tanduk orang tua mereka. Samada sedar atau tidak, dirancang atau bersahaja, pelapis generasi baru ini akan memberikan 'markah' atau penilaian mengikut kacamata mereka. Ini adalah sunnatullah, sememangnya Allah yang menciptakan proses ini terjadi. Jika tidak terpimpin, tanpa panduan, apa yang berlaku ialah para pemerhati ini akan menilai dan hanya mencari kesalahan-kesalahan sahaja, tanpa disedari. Jika berlaku sesuatu kesulitan, maka dengan mudah, cepat, dan pantas, keputusan telah dibuat tanpa melihat pelbagai sudut. Hasilnya, dengan mudah segala kesalahan akan ditudingkan kepada orang lama atau generasi sebelum mereka. Inilah yang berlaku jika tidak terpimpin dan tanpa panduan dalam menilai dan melihat sesuatu keadaan.
Inilah yang terjadi dalam setiap jenis perjuangan, samada yang haq mahupun yang batil. Seringkali generasi baru tidak belajar dengan generasi terdahulu, yang mana generasi terdahulu pun sebenarnya melakukan perkara yang sama bila tidak belajar dengan generasi yang lebih tua dan lama. Hasilnya, segala kesalahan dan keburukanlah yang menjadi warisan dan ikutan. Jika ini tidak dibendung, ia akan menjadi warisan sampai bila-bila, pada siapa sahaja. Maka sebab itulah dalam Islam, Allah ingatkan kepada hamba-hambaNya bahawa jangan sekadar bercakap tanpa berbuat, cakap tanpa pembuktian. Mafhum dari ayat quran diatas ialah, kepada sesiapa pun Allah minta agar berbuat, laksanakan kebaikan, lahirkan kata-kata dalam bentuk amalan dan perbuatan, dan Allah taala jualah bersama para rasul dan orang mukmin yang sezaman akan menilai kerja-kerja kita, akan menilai segala usaha kita. Apakah cakap-cakap sahaja tanpa pembuktian atau bagaimana.
Kini bukan masanya lagi untuk kita menilai orang lain, apatah lagi menuding orang lain. Kini tiba masanya kita melakukan pembuktian, melahirkan ibadah, melaksanakan segala ucapan-ucapan yang dilontarkan, jika tidak berlaku maka takut-takut tergolong dalam golongan orang munafik; cakap tak serupa bikin! Inilah yang perlu dimuhasabahkan. Apakah masih bercakap-cakap tanpa amalan atau sudah terlaksana segala yang diungkapkan. Ingatlah, bukan sahaja manusia memerhati malah Allah menantikan pembuktian dari kita. Allah taala sendiri mengingatkan dalam Quran supaya manusia terus berbuat amal soleh, bukan sekadar cakap-cakap tinggal omong kosong sahaja.
Marilah segera melaksanakan ajaran Islam bersama-sama, saling berganding dan membahu dalam mengamalkan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Bersama-sama mencari keredhaan Allah dan meratakan kasih sayang sesama makhluk Tuhan di muka bumi ini. Generasi terdahulu samada baik mahupun buruk mereka telah berusaha menzahirkan kata-kata mereka, samada berjaya atau tidak mereka telah membina sejarah. Kini tibalah perjuangan ini diteruskan kepada generasi seterusnya, samada hendak diteruskan kebaikan atau besarkan dan kembangkan lagi kebaikan yang ada, kini tibalah masa untuk membuktikannya bukan hanya cakap-cakap sahaja, menyalahkan sana atau sini, menuding atau menuduh sesuka hati. Allah akan menjadi saksi, rasul akan menjadi saksi, orang mukmin yang hidup se zaman akan menjadi saksi, melihat pembuktian yang ingin dilakukan. Banyakkan merujuk dan belajar serta bertanya dengan mereka yang telah mencipta dan menjadi sejarah. Barulah perjuangan ini akan berlaku kesinambungan dan berterusan.