KHUTBAH AIDILFITRI 1437H.

الحمد لله الذي جعل هذا اليوم عيدا للمؤمنين، وجعلنا أمة سيد المرسلين. أشهد أن لا اله الا الله وأشهد ان محمدا رسول الله امام المتقين وقدوة الصالحين، اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين. اما بعد. يا أيها الحضرون أوصيكم واياي بتقوى الله، فقد فاز المتقون. قال الله تعالى في كتابه العزيز:
بسم الله الرحمن الرحيم. قد أفلح من زكاها وقد خاب من دساها.
وقال ايضا: قد افلح من تزكى وذكر اسم ربه فصلى.

Saudara saudari, tuan puan sidang hadirin yang diberkati Allah


Syukur kepada Allah SWT yang tidak terhingga kerana pada pagi yang penuh barakah ini, kita dapat bertemu dan berhimpun sesama kita, kita dapat bersama-sama bertakbir, bertahmid dan seterusnya bersembahyang sunat aidilfitri, di samping kita dapat bersilaturrahim di antara satu sama lain. Lebih lebih lagi kita wajib bersyukur pada Allah SWT pada pagi 1 syawal ini kita masih dihidupkan oleh Allah SWT, masih sempat kita bermuhasabah apakah yang telah kita lakukan selama ini. Adakah segala tanggungjawab yg di amanahkan kepada kita dapat kita laksanakan dengan sebaik baiknya? Atau apakah tanggungjawab yang Allah pikulkan selama ini telah kita cuaikan? Masih sempat kita memikirkan sejauh mana dosa dan kesalahan yang telah kita lakukan kepada Allah SWT untuk membolehkan kita taubat kepadaNya.


Yang sebenarnya pada hari ini, pada pagi ini yang kita sama-sama masih dihidupkan oleh Allah SWT, hari raya ini adalah hari kita bersyukur dan bertafakur muhasabah. Atau dengan kata-kata lain, hari berterima kasih kepada Allah dan hari berfikir. Hari bersyukur yang kita maksudkan ialah kerana kita telah dihadiahkan bulan Ramadhan yang agung. Bulan maghfirah, rahmat dan barakah. Di dalamnya pula kita direzekikan untuk berpuasa dengan tujuan mendapat redha dan kasih sayang Allah SWT. Pada malam hari pula, selain daripada solat fardhu kita dapat juga bersolat terawikh dan sedikit sebanyak dapat membaca Al-Quran Karim, Kalamullah dan Nur Allah untuk kita. Jadi patut sekali kita sama-sama menyambut hari ini dengan bersyukur kepada Allah. Sebab itu sebagai tanda kita bersyukur, kita sama-sama bertakbir dan bertahmid, kita sama-sama bersembahyang sunat aidil fitri, dengan kita panjatkan doa kepada Allah supaya kita direzekikan keselamatan dunia dan akhirat, dipandu dalam setiap tindakan kita semoga kita selamat berada dalam kebenaran. Seterusnya kita sambung pula dengan khutbah sebagai ingatan kepada kita semua, moga-moga ingatan demi ingatan memberi manfaat kepada kita semua. Firman Allah SWT:

فإن الذكر تنفع المؤمنين

Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang yang beriman. (Az-Zariat: 55)

Tuan, puan, saudara, saudari yang dirahmati Allah.

Tafakur dan muhasabah yang dimaksudkan di sini ialah kita berpuasa dan pada malamnya di samping melakukan sembahyang fardhu, kita tambahkan lagi dengan sembahyang sunat terawikh, dengan zikir dan wirid, selawat dan membaca Al-Quran serta ibadah ibadah lain. Pada pagi ini marilah kita semua berfikir, bermuhasabah, apakah puasa kita selama sebulan itu diterima atau sebaliknya?

Apakah ibadah yang kita lakukan siang malam selama sebulan Ramadhan telah menghasilkan redha Allah? Bertambah rasa cinta dan takut pada Zat Allah yang Maha Agung? Apakah kita telah mendapat maghfirah/keampunan dari Allah? Apakah ibadah selama sebulan ini, siang dan malam, kita telah dapat menundukkan hawa nafsu untuk taat dan tunduk kepada Allah dan Rasul? Apakah ibadah selama sebulan itu, benar-benar roh kita telah bersih dari mazmumah? Apakah ibadah yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan itu, dapat mengubah perangai kita? memperteguhkan jiwa dan iman kita? Meningkat iman dan taqwa atau sebaliknya?

Sebab itulah tuan, puan, saudara, saudari sekelian, hari raya pada hari ini, sama-sama kita laksanakan dengan tujuan untuk bersyukur kepada Allah SWT, dan dengan tujuan berfikir balik (muhasabah) tentang ibadah-ibadah yang telah kita lakukan. Apakah diterima ataupun sebaliknya? Apakah ibadah kita menambah kebaikan pada diri kita atau sebaliknya?

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Sidang hadhirin yang dikasihi Allah sekelian.
Sebulan Ramadhan yang telah kita lalui, kita telah melakukan mujahadatunnafsi. Selama satu bulan ini juga kita membaca Al-Quran sama ada secara tadarus atau berseorangan, sama ada khatam atau tidak, namun sedikit sebanyak kita telah membaca Al-Quran. Selama sebulan ini juga kita telah pun dapat menambah amalan kita lebih dari bulan-bulan yang lain, setidak-tidaknya kita dapat tambah dengan solat terawikh. Program-program yang Allah anjurkan untuk kita buat dalam bulan Ramadhan itu, sebenarnya mengandungi hikmah yang besar. Ada pengajaran dan kebaikan untuk keselamatan kita di dunia lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

Di bulan Ramadhan kita dilalukan dengan proses mujahadatun nafsi atau riadhatunnafsi. Setidak-tidaknya pada siang harinya kita berpuasa, menahan diri dari perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Ini dengan tujuan untuk membersihkan nafsu kita daripada sifat-sifat mazmumah yang rosak lagi merosakkan, seperti sombong, bersangka-sangka, tamak, bakhil, ego, mementingkan diri, cinta dunia dan takut mati, yang semuanya itu menjadikan kita bertelagah, bergeseran bahkan berpecah dan berperang antara satu sama lain.

Proses mujahadah ini, sekiranya kita lalui dengan bersunggguh-sungguh, dengan sabar, dan taat, hasilnya kita akan memiliki rasa cinta dan takut Allah serta sifat berkasih sayang sesama manusia, bertimbang rasa, pemurah, kita akan meletakkan kepentingan Allah dan Rasul melebihi segala kepentingan peribadi kita. 

Di bulan Ramadhan yang agung ini juga, kita diperintahkan untuk memperkemaskan lagi ibadah fardhu dan sunat kita. Bahkan ibadah yang dilakukan dalam bulan Ramadhan lebih dari bulan-bulan yang lain. Setidak-tidaknya kita tambah dengan solat terawikh. Kita beribadah kepadaNya siang dan malam, fardhu dan sunat, moga-moga dengan ibadah yg kita lakukan itu akan dapat melahirkan peribadi yang agung atau peribadi yang bertaqwa. Itulah dia peribadi yang bersih dari mazmumah. Peribadi yang agung akhlaknya dan beradab mulia. Peribadi yang kuat keyakinannya, peribadi yang kuat syariatnya, peribadi yang berdisiplin, yang rajin dan bertanggungjawab.

Jadi, Allah perintahkan kita beribadah fardhu dan sunat, moga-moga dengan ibadah itu, kalau dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya, dengan penuh penghayatan, dengan penuh khusyu', ia boleh mendidik jiwa dan peribadi kita, menjadi peribadi yang kita sebutkan tadi. Apakah ibadah kita siang malam, sebulan Ramadhan telah benar-benar mendidik jiwa dan peribadi kita? Apakah ia telah membentuk akhlak kita? Yang merupakan nilaian Allah dan manusia. Apakah selepas Ramadhan ini kita semakin berdisiplin? Apakah hasil ibadah dibulan Ramadhan ini kita bertambah rajin dan bermati-matian untuk Islam? Untuk Allah dan Rasul? Apakah bertambah kita peruntukkan masa kita untuk Allah dan Rasul? Atau apakah selepas Ramadhan ini, bertambah cinta kita terhadap dunia? Bertambah besar kepentingan peribadi kita? Atau bertambah layu jiwa Islam kita? Wallahu a'alam dan kita nilailah diri kita masing-masing.

Begitu juga sidang jamaah sekelian, Allah anjurkan kita membaca Al-Quran pada bulan Ramadhan, sama ada siang mahupun malam, sama ada secara tadarrus beramai-ramai, ataupun seorang diri adalah dengan tujuan bukan hanya untuk mengharapkan ganjaran pahala sahaja. Tetapi untuk menghasilkan akal dan jiwa yang bersih daripada ideologi-ideologi karut ciptaan manusia yang terlekat pada akal fikiran sama ada sedar atau tidak. Seperti sekularisma, sosialisma, kapitalisma, dan entah apa ism-ism lagi yang banyak. Walaupun tidak diamalkan orang tetapi menjadi bahan bacaan manusia sekarang, hingga menjadi fikiran mereka dan membentuk peribadi mereka. Ideologi dan ism-ism inilah yang meracuni pemikiran manusia. Meracuni masyarakat, merosakkan akhlak, menimbulkan krisis ekonomi, krisis rumahtangga dan lain lain lagi. Akhirnya berkrisislah sesama kita, hilang kesatuan dan perpaduan, hancur ukhuwah dan kasih sayang.

Al-Quran adalah petunjuk "Huda lil muttaqin" (petunjuk bagi orang bertaqwa), cahayanya adalah untuk membuang semua syirik khafi yang ada dalam otak kita, serta membetulkan cara berfikir yang rosak akibat fahaman-fahaman yang jauh menyimpang dari kebenaran. Maka roh Al-Quran itu hendak dimasukkan ke dalam fikiran sehingga fikiran kita adalah Al-Quran, hasilnya terbentuklah peribadi Al-Quran yang sanggup bermatian-matian memperjuangkan sistem Al-Quran di dalam kehidupan.

Al-Quran juga adalah Al-Furqan. Yang membezakan antara kebenaran dengan kebatilan. Sepatutnya apabila kita membaca dan mentadabbur Al-Quran, bertambah jelas kepada kita mana yang Haq dan mana yang batil. Sekularisma akan terkikis sedikit demi sedikit dari fikiran kita. Lambat laun kebatilan akan lenyap dari diri kita. Ertinya jika kita benar-benar menghayati Al-Quran, akan terbina hijaban mastura di antara AlHaq, sistem kebenaran dengan sistem-sistem yang membelakangkan Akhirat dalam diri kita. Firman Allah SWT

وإذا قرأت القرآن جعلنا بينك وبين الذين لا يؤمنون بالآخرة حجابا مستورا

Dan apabila kamu membaca AlQuran, akan terjadi di antara kamu dan mereka-mereka yang tidak beriman hijab yang ditutup. (Al-Isra: 45)

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah sekalian. 
Hari ini mari kita muhasabah dan koreksi diri tentang apa yang telah kita alami masa sebulan yang sudah. Kita telah pun melakukan riadhatur ruh, membaca Alquran, apakah hasil kita beribadah kepada Allah? Adakah hasilnya kita dapat membersihkan nafsu kita? Kita dapat membersihkan fikiran kita? Kita dapat membersihkan hati kita? Telah membersihkan akhlak kita? Dalam erti kata yg lain apakah kita direzekikan qalbun salim? Peribadi yang bersih lahir dan batin? Andai kata kita direzekikan itu semua, bersyukurlah kita banyak-banyak kepada Tuhan, hakikatnya itu semua bukan sebab kepandaian kita, bukan kerana cekapnya kita, atau kerana hebatnya kita, tetapi adalah kerana dibantu dalam bermujahadah. Kita tidak ada kekuatan apa-apa kecuali bersandar dengan keberkatan mursyid kita. Kalau tanpa pertolongan Allah dan para kekasihya kita akan gagal dalam melalui proses mujahadah yang menyakitkan. Walaupun kita boleh membaca Alquran dengan faham sekalipun, jangan sampai kita tertipu.

Sidang jamaah yang dikasihi sekalian. 

Sesungguhnya mereka yang berjaya melalui proses mujahadah ini sehingga terhasil kepadanya qalbun salim, hati yg bersih dari mazmumah, akal yang bersih dari minda-minda yang menyeleweng dari kebenaran, maka orang inilah yang mendapat jaminan dari Allah akan kemenangan di dunia dan akhirat. Firman Allah:

قد أفلح من زكاها (٩)
وقد خاب من دساها (١٠)

Sesungguhnya mendapat kemenangan lah orang yang membersihkan nafsunya, dan rugilah orang mengotorinya. (Asy-Syams:9-10)

الله اكبر، الله اكبر، الله اكبر ولله الحمد.
بارك الله لي ولكم في القرآن العظيم ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم، أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم فاستغفروه انه هو التواب الرحيم.


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد . أما بعد. 
أوصيكم وإياي بتقوى الله فقد فاز المتقون.


Sidang hadhirin yang dimuliakan.

Mujahadah adalah salah satu cara merawat roh atau merawat hati yang sakit (qalbu maridh). Proses rawatannya memang menyakitkan diri, kerana berperang dengan nafsu sendiri yang memang rosak dan jahat. Tidak ada jalan pintas dalam hal ini bahkan memerlukan masa yang lama, kadang-kadang menjemukan. Mujahadah yang dilakukan secara maksima dan bersungguh-sungguh serta berterusan, pasti akan dibantu, seperti firman Allah SWT:

والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا

Dan mereka yang berjuang/mujahadah pada jalan kami, pasti kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. (Al-Ankabut: 69)

Allah telah menegaskan, bahawa orang yang mendapat kemenangan dunia dan akhirat ialah orang yang dapat membersihkan nafsu, hatinya, akhlaknya, akal fikirannya serta tingkah laku lahir dan batinnya. Selagi seseorang itu, selagi puak itu, selagi sesuatu kaum itu, selagi golongan itu tidak dapat membersihkan hatinya, nafsunya, akhlaknya dan akal fikirannya, percayalah pentadbirannya tidak akan bersih, ekonominya tidak akan bersih, perjuangannya tidak akan bersih, pendidikannya tidak akan bersih, pergaulannya tidak akan bersih, akhirnya masyarakat tidak akan bersih, negara tidak akan bersih dan dunia seluruhnya tidak akan bersih. Sebab bersih kehidupan lahir manusia, bersihnya ekonomi, bersihnya pendidikan, masyarakat, pergaulan, perjuangan dan jihad, pentadbiran, bersihnya negara dan alam sejagat ini ada hubungan dengan bersihnya hati, ada hubungan dengan bersihnya nafsu dan akhlak, serta ada hubungan dengan bersihnya akal fikiran manusia.

Selagi hati manusia, nafsu manusia, dan akhlak manusia tidak bersih, belum mencapai qalbun salim, maka segala perbuatannya tidak akan bersih, segala apa yg diperjuangkan oleh manusia itu tidak bersih. Tidak bersihnya kehidupan dan tindak tanduk manusia, tidak bersihlah ekonomi, pendidikan, perjuangan, jihadnya, pentadbirannya, masyarakat, negara dan alam sejagat. Manusia akan terus dalam kerosakan, huru-hara, dalam durhaka dan kemurkaan Allah SWT.

Sesungguhnya Allah hanya menerima yang bersih dan Allah tidak menerima sesuatu yang kotor. Allah hanya menerima yang murni. Moga-moga kita semua menjadi manusia yang bersih lahir dan batin.

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar. 

Sidang pendengar yang diberkati..
Besar dan agungnya Ramadhan bukan kerana sekadar tidak makan dan tidak minum, tetapi di dalamnya mengandungi pakej latihan rohani. Ramadhan adalah sebuah institusi atau madrasah untuk memproses hati agar menjadi subur dan sejahtera dari segala selain Tuhan. Hati yang diserahkan kepada Tuhan secara total. Roh yang subur dengan Tuhan inilah yang hendak kita bawa bertemu dengan Tuhan nanti. Firman Allah SWT: 

يوم لا ينفع مال ولا بنون،
 الا من اتى الله بقلب سليم

Di hari tidak berguna harta dan anak pinak, kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera. ( Surah Asy-Syu'ara: 88-89)

Ramai orang yang tertipu dengan amalan atau ibadah lahiriah yang banyak, sibuk meriahkan amal ibadah yang lahir, terutamanya di bulan Ramadhan ini, kerana fadhilatnya yang banyak. Tapi lupa dengan amalan roh atau ibadah hati. Ramai yang boleh bangun malam, solat sunat, baca AlQuran, bersedekah dan sebagainya, tapi tak ramai orang yang boleh bersabar dengan ujian. Bersabar dalam mempertahankan kebenaran seperti mengenggam bara api. Mampu menerima dan menelan kata nesta orang kepadanya. Bersabar dengan kesusahan.Tak ramai yang boleh bersyukur dengan nikmat, apatah lagi bersyukur dengan ujian. Kita sering merungut dengan masalah yang Tuhan datangkan, tapi jarang kita merungut dengan dosa yang kita lakukan. Jarang kita boleh bersangka baik dengn makhluk begitu juga dengan Tuhan. Sesungguhnya penilaian Tuhan adalah kepada penghayatan terhadap ibadah. Rasulullah bersabda:

ان الله لا ينظر الى صوركم ولكن ينظر الى قلوبكم

Semoga dengan kita menghayati ibadah puasa selama sebulan ini akan melahirkan taqwa di alam diri kita. Sesuai dengan firman Allah di dalam ayat kewajiban berpuasa, "semoga kamu bertaqwa". 

Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. 

Tuhan terimalah ibadah kami yang tidak sempurna, ia serba kekurangan dan banyak cacat celanya, tapi apakan daya itulah yang mampu kami persembahkan kepada-Mu. Kasihanilah kami wahai Tuhan.

اللهم انك عفو كريم تحب العفو فاعف عنا 

Allahumma ya Allah, ya Tuhan kami. Berbagai macam ujian yang telah Engkau lalukan keatas kami, kami yakin itu bukan karena Engkau membenci kami, akan tetapi kerana kasih sayangMu, sebagai peringatan agar kami semua lebih dekat dan lebih cinta kepada-Mu. Agar kami semuanya lebih memiliki sikap sami'na wa atha'na akan segala ketentuan-Mu. Agar kami semua kembali kepadaMu dengan qalbun salim.

Ya Allah, terlalu banyak nikmat yang telah engkau kurniakan kepada kami, janganlah nikmat itu sebagai istidraj buat kami yang menjauhkan kami dari Mu ya Allah. Jangan tinggalkan kami Ya Allah, apalah erti nikmat dan kehidupan ini kalau Engkau tinggalkan kami Tuhan.


اَللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ يَا حَيُّ يَا قَيّوْمُ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ.
اللهم انصر جيوش المسلمين...
اللهم اغفر للمسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الاحياء منهم والاوات، ان الله يأمركم بالعدل والاحسان وايتاء ذي القربى واليتامى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي يعظكم لعلكم تذكرون والله يعلم ما تصنعون.


Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?