ZIKIR DAN TAHLIL MELAHIRKAN PENYELAMAT.

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ


"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. Ar-Ra'd, 28.

Hati yang mengingati Allah swt, diberikan anugerah dan nikmat yang besar, iaitu KETENANGAN. Tenang dan tenteram ini adalah satu perasaan yang bukan dibuat-buat atau direka-reka. Allah swt adalah Penjaga Hati (Muqallib Qulub), maka Dia jugalah yang merubah-rubah perasaan manusia mengikut amalan dan perjalanan hatinya.

Orang yang hatinya diberi ketenangan, fikirannya berjalan dengan baik, jauh pula pandangannya. Ini kerana hatinya tidak diberatkan dengan sesuatu yang mengganggu fikirannya. Bila hati tenang maka fikiran akan menjadi lapang. Subhanallah. Maha Hebat Allah swt menjadikan semua ini.

Daripada dalil Quran tadi, sudah cukup membuktikan bahawa mereka yang mengingati Allah swt, samada dalam majlis-majlis rasmi (program sembahyang berjemaah, majlis zikir, tahlil, maulid, berzanji dll) mahupun ketika bersendirian samada di tikar sembahyang, suluk, atau di mana-mana; takkan terjadi di kalangan mereka golongan ekstrimis atau pelampau agama, yakni golongan yang mudah marah-marah, emosional, mudah tercuit dengan isu semasa, lebih-lebih lagi pengganas atas nama agama. Ini kerana mereka yang mengingati Allah adalah mereka yang mendapat petunjuk daripada-Nya. Allah swt akan pimpin hati-hati mereka daripada melakukan sesuatu yang tidak disukai dan diredhai Allah swt. Orang yang melanggar perintah Allah, samada kecil ataupun besar sangat berpotensi menjadi pemecah belah ummat, dengan sedar dan sengaja mahupun tidak.

Orang yang membesarkan Allah tidak akan membuat kekacauan. Mereka tidak akan melakukan sesuatu yang menimbulkan fitnah di kalangan masyarakat. Melainkan mereka sendiri yang selalu difitnah dan dijadikan 'kambing hitam' oleh sesetengah pihak. Kerana sikap mereka yang sederhana dalam semua hal dan keadaan, orang-orang berkepentingan selalunya menjadikan mereka sebagai sasaran, samada untuk menutup kesalahan diri atau kepentingan dunia individu atau kelompok tertentu.


Orang yang mengingati dan membesarkan Allah, mereka akan mengajak orang lain menjadi sepertinya. Orang yang membesarkan duniawi, maka mereka akan mengajak orang lain pun membesarkan dunia juga, samada sedar mahupun tidak. Ia seperti mata rantai yang berkait satu sama lain. Kita akan tertarik atau mengikut dan tercorak kepada sesuatu yang kita ikut ataupun minat. Sama ada kita sedar atau sebaliknya, peribadi kita tercorak dengan sesuatu yang kita cenderung ke arahnya. 

Hakikatnya, kerana adanya golongan yang mengingati dan membesarkan Allah swt, maka Allah selamat dunia, pelihara dan menjaga tempat tinggal mereka, negara mereka. Keberkatan mereka mengalir dan merata, hingga berlaku perubahan kepada masyarakatnya. Dunia berubah kepada Islam kerana mereka. Kerana ahli zikir ini bekerja diam-diam, dakwahnya bersahaja. Tidak riuh, tidak bising, hasilnya mengejutkan. Berbanding ahli agama yang rasmi, lagi-lagi yang berpangkat dan berjawatan tinggi, riuhnya satu negara mendengarnya, namun untuk mengislamkan seorang pun susah dan payah. Melainkan jika kembali kepada kaedah Islam itu sendiri, bermula daripada diri sendiri, barulah Islam itu dapat dikongsikan dengan orang lain. Islam itu mestilah ditegakkan dari dalam diri, kalau tidak tertegak Islam dalam diri, Islam hanya tinggal cakap-cakap, kerana ada untuk cakap-cakap Islam.

Inilah anak kuncinya, iaitu dengan kembali kepada Allah, besarkan dan muliakan Allah, maka Dia akan muliakan hamba-Nya. Hati yang membesarkan Allah akan dipandu dalam tindakannya. Hati seperti inilah yang akan menyelamatkan dunia. Hati yang mendapat pandangan Allah swt.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?