ISLAM AGAMA YANG BERWIBAWA.
Perpaduan itu satu rahmat dari Allah. Ia merupakan satu nikmat bagi manusia. Tuhan datangkan Nabi Muhammad SAW adalah sebagai satu rahmat buat alam semesta. Hadirnya baginda s.a.w. untuk mengikat dan menyatukan hati-hati manusia yang telah dipisahkan oleh hawa nafsu dan syaitan; hati-hati yang diikatkan dengan tali Allah Taala, iaitu agama Islam.
Firman Tuhan:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu, maka terjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. (Ali Imran, 3:103).
Abuya Ashaari Muhammad At-Tamimi dikenali ribuan orang melalui pemikirannya yang bernas dalam menggambarkan Islam yang berwibawa, indah dan penuh kasih sayang. Kasih sayang anak kunci perpaduan. Berbagai-bagai kebaikan boleh tumbuh hasil dari perpaduan. Masyarakat bersatu padu, bertolong bantu, bela membela, berkasih sayang, bertolak ansur dan bertimbang rasa. Masyarakat menjadi kukuh dan kuat. Apa saja yang hendak dibuat atau dilaksanakan menjadi mudah kerana semua pihak bersetuju dan memberi kerjasama. Keamanan dan keselamatan masyarakat terjamin kerana tidak ramai yang berani menggugat masyarakat yang bersatu dan berpadu. Tambahan lagi tidak banyak perselisihan atau pertengkaran dalam masyarakat yang bersatu padu. Kalau pun ada, ianya boleh diselesaikan.
Perpaduan sebenarnya bukan sekadar ikatan fizikal atau material. Ikatan fizikal dan material akan terlerai kerana fizikal dan material tidak berkekalan hingga Akhirat. Malah di dunia lagi sudah musnah dan binasa.
Di samping itu apabila nafsu terdidik, terkawal dan terpimpin oleh pimpinan mursyid, suasana terbantu untuk kekalkan perpaduan. Perpaduan sebenarnya bukan fizikal atau material. Kalau tidak berlaku perpaduan di kalangan manusia dan masyarakat di dunia ini, kita tidak boleh buat rumusan hanya berdasarkan imbasan atau agak-agak dan andaian. Kita mesti mencari punca sebenar mengapa ia terjadi begitu.
Perpaduan manusia yang hakiki ialah perpaduan hati, perpaduan perasaan. Jika manusia diikatkan dengan perasaan mereka, ikatan ini sangat kuat dan menguatkan. Betapalah hati itu diikat dengan Islam. Ikatan Islam ini sangat kuat dan menguatkan. Bahkan, sesama bukan Islam pun akan berlaku keamanan dan kemakmuran, mereka boleh bernaung dan berteduh dengan ikatan Islam ini.
Perasaan manusia boleh ditajamkan dengan menyuburkan fitrah, dengan rasa kehambaan, rasa takut, rasa cinta, rasa bertuhan, rasa sayang, rasa bersama dan bekerjasama, pemaaf dan memberi maaf dan sebagainya. Perasaan ini adalah ikatan hamba dengan Allah, bila wujud hubungan antara hamba dengan Penciptanya, berlakulah keselamatan di dunia dan akhirat.
Demikianlah sebenarnya Islam itu Allah jelaskan, bukankah sangat hebat sehingga manusia rasa kagum. Malangnya hari ini kebanyakan manusia hanya bercakap berdasarkan nas atau hukum-hakam. Mereka tidak menghuraikannya sehingga benar-benar menyentuh fitrah manusia. Maka perasaan manusia tidak jadi tajam, hati pun tidak terdidik. Perpaduan tidak berlaku dan perpecahan berlaku di mana-mana. Jadi bagaimana manusia hendak melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah.
Inilah sebenarnya, kerana mereka sendiri tidak faham dan tidak nampak maksud perintah Tuhan itu. Contohnya, Tuhan suruh bersatu. Yang difahami ialah sekadar bersatu. Huraiannya dan maksud ayat tidak difahami. Hari ini orang berceramah hanya dengan menghafal ayat dan menghurai berdasarkan nas. Orang ini pun dianggap dialah yang paling beragama. Lebih-lebih lagi kini ramai orang yang hafal Quran dan Hadis kerana ingin menjadi hafiz.
Untuk menghafal sahaja sudah ambil masa hingga 10 tahun, bila pula masanya hendak memahami isi Al Quran, sedangkan yang pentingnya ialah memahami isi Al Quran itu dan melaksanakannya. Sebab itu ramai orang yang hafaz Al Quran tapi jumud, tidak berkembang pemikirannya. Sepatutnya mereka yang hafiz ini boleh jadi pemimpin kerana Al Quran ada dalam dada mereka. Sudah tentu mereka dengan mudah boleh menangani masalah masyarakat kerana Al Quran telah menjadi rujukan mereka.
Hari ini jika dilantik pemimpin di kalangan orang-orang yang hanya hafal Quran tetapi tidak memahami maksudnya, belum tentu mereka boleh memimpin manusia, ditakuti pula menjadi semakin rosak. Bila ulama mendidik dengan tidak memikirkan hati dan perasaan sebagai target atau sasaran dan matlamat, orang akan jadi jemu dan letih. Macam mana manusia hendak berubah, ulama kampung menghurai Al Quran secara kampung, ulama moden pula menghurai secara falsafah, kedua-duanya tidak menjadikan hati dan perasaan sebagai sasaran didikan.
Wajah Islam yang diperkenalkan Abuya ke seluruh dunia itu adalah Islam yang mampu menangani segala masalah masyarakat di semua peringkat termasuk dunia antarabangsa. Yakni yang mampu membangunkan tamadun hidup di dunia sebagai alat untuk kebahagiaan hidup di Akhirat. Bukan Islam yang telah dipersempitkan ruang lingkupnya pada soal-soal sembahyang, puasa, naik haji, wirid zikir semata-mata atau ‘Islam’ yang memisahkan urusan dunia dari urusan Akhirat.