KELUARGA MODEL: AKHIRAT ADALAH MATLAMAT, DUNIA SEBAGAI ALAT.

Sering Abuya menegaskan kepada kita, Islam seharusnya menjadi matlamat bukan alat. Peringatan ini sering disampaikan di dalam dewan kuliah atau ketika berekspedisi bersamanya. Tugas pemimpin untuk mengingatkan dan memandu kita sudah dilaksanakan, soal merubah pemikiran dan hati itu adalah urusan dan hak Allah. Manusia hanya ditugaskan menyampaikan. Hidayah hak Allah SWT. Ini mengingatkan kita kepada teguran Tuhan kepada Nabi Muhammad SAW ketika berdakwah kepada bapa saudara Baginda. Bapa saudara Nabi SAW iaitu Abu Talib yang sangat banyak membantu di awal perjuangan Nabi Muhammad SAW namun tetap tidak memeluk agama Islam. Baginda yang begitu sedih dengan kematian bapa saudaranya, sehingga Allah mengingatkan Baginda SAW, "Tidaklah engkau (wahai Muhammad) hanyalah menyampaikannya sahaja."


Jadikan keluarga atau rumah tangga sebagai wadah perjuangan. Kerana rumah tangga atau keluarga  adalah wadah perjuangan yang paling kecil. Keluarga adalah wadah kecil perjuangan, kerana ia adalah permulaan perjuangan, namun ia akan membesar dan menjadi contoh ikutan. Sesebuah keluarga yang besar pun menjadi kebanggaan, sehingga ada perhimpunan atas nama keluarga besar seseorang, begitu juga di Jazirah Arab, keluarga atau disebut sebagai Bani atau Kabilah adalah satu kekuatan terbesar bangsa tersebut. Malah sehingga kini, di negara-negara Arab setiap keputusan mestilah dipersetujui oleh ketua-ketua Kabilah atau Bani ini, yang kita panggil sebagai ketua keluarga. Begitu sekali pengaruhnya.


Kita dahulukan hak Allah. Ertinya kita tegakkan hukum hakam Allah dalam rumah tangga kita. Jamaah bani atau rumah tangga kita menjadi alat untuk menegakkan agama. Islam ditegakkan dalam keluarga kita, bukan Islam diperalatkan untuk dunia. Kita perjuangkan Islam, dunia datang kepada kita. Kita jadikan dunia sebagai matlamat, kita kehilangan keluarga. Kerana watak dunia memisahkan dan memecah-belahkan.


Mengejar kebahagian rumahtangga itu hanya alat. Yang menjadi matlamat atau tujuan ialah menegakkan hukum dan syariat Allah dalam sistem rumahtangga. Bila hukum Tuhan telah dapat dilaksanakan dalam keluarga itu sudah dianggap berjaya. Letaknya kejayaan bukan pada kepuasan seseorang, tetapi sejauhmana kita berjaya menegakkan hukum Allah dalam rumahtangga dan kehidupan.


Berkat kebangkitan Islam, kita dimudahkan untuk bangunkan keluarga Islam, produk-produk Islam dan aktiviti acara Islam mendapat tempat. Matlamat hanya ada satu, tetapi jalan untuk mencapainya banyak. Bangsa yang bijak tidak akan meletakkan hanya satu jalan untuk menuju matlamatnya. Contoh, berdakwah dengan mendekati masyarakat melalui pelbagai cara; dari media arus perdana hingga media sosial, mencipta dan memberi peluang perkhidmatan sesama umat Islam, melalui hiburan dan fesyen bersyariat Islam, sehingga dengan dakwah paling lemah iaitu dengan memberi salam. 

Maksud hadis:
"Kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, dan kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang, mahu Aku tunjukkan kepada kamu suatu perkara yang apabila kamu lakukan kamu dapat saling berkasih sayang? (Itulah) Sebarkan salam dalam kalangan kamu."
(Riwayat Muslim).


Kalau ada orang mengajak kita kepada Tuhan, yang mengajak kita mengenali Tuhan, yang mengajak kita untuk merasakan bahawa diri kita ini hamba, yang mengajar kita untuk supaya takut dan cinta kepada Tuhan, maka inilah jalan kebenaran iaitu jalan yang ditunjukkan oleh para rasul. Kedudukan seorang hamba di sisi Allah bukan diukur kepada berapa banyak beribadah dan fadhilat-fadhilat yang diamalkannya tetapi kepada apa yang ada di dalam hatinya, iaitu keimanan, keyakinannya dan ketaqwaannya. Kepada kebersihan hati dan jiwanya. Ibadah seorang hamba itu hanyalah natijah dari apa yang wujud dalam hatinya.


Memang didalam ibadah banyak ada fadhilat-fadhilat dan kelebihan-kelebihannya. Akan tetapi itu semua adalah anugerah Allah SWT kerana kasih dan sayang-Nya. Janganlah pula itu kita jadikan matlamat Ibadah kita. Seperti juga Syurga. Ia satu anugerah kepada hamba-hamba Tuhan yang beriman dan beramal soleh. Tapi janganlah pula syurga itu kita jadikan matlamat ibadah. Ibadah yang kita lakukan mesti tetap kerana Allah dan sebagai pengabdian kita kepada-Nya. Moga-moga dengan itu Allah redha dan sayang kepada kita. Moga-moga Allah mengampunkan kita dan menerima kita sebagai hamba-hanba-Nya.


Janganlah kita terlalu menghargai, menginginkan dan mengidamkan hadiah yang Allah akan beri tetapi lupa untuk memuja, menyanjung, menyayangi dan mengagungkan Allah yang memberi hadiah itu. Janganlah pula kita seperti kanak-kanak yang melompat, melonjak dan bersorak kegembiraan kerana mendapat gula-gula dari ayahnya hingga terlupa dia akan kehadiran ayahnya dan terlupa dia untuk berterima kasih padanya.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?