KEBANGKITAN ISLAM SECARA AMAN DAN DAMAI.
Maha Suci Allah, Tuhan yang Maha Baik, yang Maha Hebat, yang Maha Agung dan Maha Segalanya. Malaysia kini semakin meriah dengan amalan-amalan Islam yang menyuburkan hati dan jiwa manusia kepada kemakmuran dan perpaduan. Dimeriahkan dengan selawat, zikir, dan doa, yang dilakukan bertaraf nasional malah dianjurkan oleh kerajaan, sebagai satu bukti bahawa Islam menuju zaman kegemilangan Ummah kali ke dua. Abuya sudah berkali-kali berkata, Malaysia tak dapat lari daripada Islam. Alhamdulillah, kerajaan sudah nampak kebaikan masa depan negara bersama Islam.
Suasana politik, keadaan ekonomi, dan desakan hidup yang semakin dahsyat dan menekan membuatkan jiwa-jiwa manusia memerlukan kepada tempat mengadu, mengharap, bersandar, meluahkan perasaan dan menyelesaikan masalah manusia. Maka tak lain tak bukan, Allah jualah tempat kembalinya manusia, untuk mengadu, berharap, meluahkan nasib, meminta dan sebagainya. Allah yang mencatur semua ini, maka Allah membenarkan perjuangan para kekasihnya dalam memperjuangkan Allah dan agama-Nya.
Selawat Perdana, Zikir Perdana, Doa Untuk Malaysia, apa sahaja nama atau istilah digunakan semuanya berbalik atau pulang kepada Tuhan, Allah swt. Dalam hal ini, golongan yang merindukan kebenaran, para pejuang Islam, masyarakat yang cintakan Islam, inilah masanya untuk masing-masing memeriahkan Islam dan pengamalan Islam di tempat masing-masing.
Dahulu, Islam sangat asing dan dagang (aneh/pelik) kerana suasana masyarakat ketika itu yang mabuk dan berkiblatkan barat. Namun kini, setelah hidayah Allah melimpah kepada masyarakat, beralih kiblat daripada barat kepada Islam. Islam kini semakin mulia dan ditinggikan, malah dalam mencari sesuap nasi pun terpaksa menjual nama Islam, kalau tak guna Islam tak laku, tak boleh makan. Begitu sekali penangan dakwah dan kesedaran Islam.
Musuh yang sedar dengan kebangkitan ini cuba mencipta huru-hara, sepertimana yang telah berjaya dilakukan di tempat lain dan negara-negara lain. Tapi di Malaysia, seolah-olah setiap apa yang mereka kerjakan tidak berjaya atau tak menjadi seperti yang diharapkan, semuanya menguntungkan Islam! Malah, hasil daripada itu kini di seluruh dunia sekalipun, setiap yang musuh Islam lakukan, Islam akan mendapat tempat di hati manusia. Maha Suci Allah yang berbuat demikian. Allah jugalah yang melakukan semua ini. Kita hanya berusaha dan Allah yang menjayakannya.
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), -(An-Nasr 110:1)
Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, -(An-Nasr 110:2)
Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (An-Nasr 110:3)
Kini, kita mengutip dan menuai hasil perjuangan pejuang dan pendakwah terdahulu sebelum kita yang telah banyak berjasa kepada Agama Islam dan negara kita, Malaysia. Hasil perjuangan Abuya dan kawan-kawannya walaupun dalam berlainan wadah dan kumpulan, mereka yang ikhlas perjuangkan agama yang suci ini sangat besar jasa dan sangat mulia mereka disisi Allah swt. Perjuangan yang berjalan atas dakwah lisanul hal, dakwah secara praktikal bukan cakap-cakap sahaja, kini masyarakat terasa hasilnya.
Namun kita diingatkan, bahawa Allah jualah yang menjayakannya. Allah perintahkan untuk kita memuji dan membesarkannya, dalam zikir tau perbuatan kita kerana hakikatnya Allah yang buat semua ini terjadi. Jika bersandar kepada usaha kita, banyak mana jasa kita, ke mana sahaja telah kita berdakwah kepada manusia, apa kata-kata kita yang menyenangkan hati manusia kerana selalu dan sering keluar daripada mulut kita sesuatu yang menyakitkan hati bagi yang mendengarnya. Kerana itulah kita kena memohon ampun, bertaubat, membesarkan Allah dalam apa jua hal dan keadaan, kerana Allah yang mengizinkan segalanya terjadi. Kalau bukan kerana Allah, diri sendiri pun tak mampu kita uruskan.