SIKAP IKHWAN YANG TEGAS DENGAN PRINSIP.
Ikhwan adalah salinan sahabat. Sikap dan ciri mereka adalah sama. Bezanya sahabat hidup sezaman dan bertemu dengan Rasulullah SAW manakala ikhwan pula hidup di akhir zaman setelah kewafatan baginda SAW.
Bagaimanakah watak atau sikap tegas ikhwan terhadap orang kafir dan sifat kasih dan sayang mereka sesama? Maksud tegas disini walau dimana kita berada pun, walau dengan orang kafir pun kita tetap tegas dengan prinsip. Kita tak ubah prinsip kita. Walaupun pergaulan kita luas, kita tetap tegas walau dimana kita berada. Kalau tiba waktu solat maka solatlah. Yang patut jaga aurat, jaga aurat, kena jaga akhlak walau dimana jua, dalam suasana apapun. Tegas dan keras terhadap musuh bukanlah akhlak kasar dan keras yang ditonjolkan tetapi tegas dengan prinsip lebih-lebih lagi dengan syariat Islam.
Memang begitulah sikap dan tegas yang sepatutnya. Bukanlah tegas itu dengan cara kasar, demonstrasi dan membuat huru-hara, bertikam lidah dan bersuara tinggi dalam berurusan dan pergaulan. Berbeza antara kasar dan tegas. Kasar tidak semestinya tegas. Kalau bersuara lantang dan bila memegang jawatan, dalam melakukan perkara agar menjadi ikutan atau dilakukan pengikut atau anak buah kebanyakan dilakukan dengan kekerasan. Tak semestinya kekerasan dengan perbuatan malah dengan percakapan yang mengugut dan menakut-nakutkan hati manusia yang mendengar. Tegas pula adalah sebaliknya.
Cuba kita lihat kepada kehidupan Rasulullah, bagaimana baginda bergaul dengan orang jahat, orang kafir, fasik, macamana pergaulan baginda? Adakah baginda berkasar-kasar dengan orang itu? Adakah sampai menakutkan orang? Begitulah maksudnya.
Adakalanya wakil dari pelbagai bangsa dan agama datang, baginda minta duduk disebelahnya. Kadang-kadang Rasulullah sanggup bentangkan kain rida' baginda untuk diduduki tetamunya. Itu pun termasuk kepada orang kafir. Kadang-kadang Rasulullah hadir ke rumah dia, ke majlisnya, atau bertemu ketua-ketua kaum di kalangan orang kafir yang datang. Rasulullah lupakan sekejap sahabat, layan orang tetamunya sekalipun orang kafir. Sahabat pun dah sedia maklum bahkan sama-sama meraikan tetamu baginda. Bahkan Rasulullah ziarah pula musuh-musuhnya. Hebat akhlak Nabi kita. Yang kita tak larat lagi nak ziarah musuh. Kita bedal-bedal musuh. Yang bukan musuh pun kita layan macam musuh. Rasulullah sangat hebat!
Ketika Da'tsur mengangkat pedang di atas kepala Rasulullah. Da'tsur bertanya, sekarang siapa nak selamatkan engkau Muhammad? Rasulullah spontan menjawab, "Allah!". Tiba-tiba pedang terjatuh dari tangan Da'tsur. Rasulullah mengambil pedang yang jatuh itu dan bertanya, Sekarang siapa yang dapat selamatkan kamu? Da'tsur berkata, tiada seorang pun yang boleh aku harapkan. Ketika itu Rasulullah boleh sahaja bunuh dia dan jika baginda membunuhnya pun tak salah kerana nyawa baginda sedang diancam. Tapi Rasulullah maafkan dan ia menunjukkan baginda berlemah lembut. Maka islamlah musuhnya. Jadi erti asyaddu alal kuffar tu bagaimana? Berkeras dan tegas terhadap musuh atau orang kafir itu macamana?
Tegas dan keras terhadap orang kafir ialah dengan menunjukkan prinsip dan pegangan terhadap Islam. Contohnya, tidak boleh bersalaman lelaki dan perempuan. Ada yang menjadikan alasan nak menjaga hubungan erat samada perkauman atau perniagaan atau hubungan negara. Siapa yang menjaga perpaduan sebenarnya? Kita atau Allah? Kalau kita menjaga syariat Islam dan berpegang dengan prinsip Allah yang akan menjaga kita dan semuanya. Tapi bila kita melupakan Allah dan mengabaikan syariat dan prinsip sebagai umat Islam ketika itu Allah akan berlelas tangan. Jadilah umat Islam seperti hari ini. Dikeronyok musuh-musuhnya sesuka hati!
Contoh tegas sikap baginda terhadap orang kafir atau musuh Islam ialah ketika peristiwa baginda dan Abu Bakar menuju ke Madinah dan dikenar Syurakah. Siapa yang membunuh atau menangkap Nabi Muhammad akan mendapat ganjaran dan Syurakah tidak mahu mepaskan peluang ini. Kita sudah tahu sejarah ini. Ketika dia mengejar Nabi kaki kudanya terbenam dalam tanah. Dan ia berlaku berulang kali hingga Syurakah merayu agar dilepaskan. Nabi Muhammad menunjukkan mukjizatnya dan sikap tegasnya dalam membuat tawaran. Tawaran yang diberikan kepada Syurakah adalah satu mukjizat dan bukti sikap tegas Nabi dalam pergaulan; Nabi tidak berbohong walaupun untuk nyawanya sendiri. Setelah belasan tahun mukjizat Nabi terjadi, berlaku di zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Gelang Kisra yang menjadi tawaran kepada Syurakah menjadi kenyataan, berkat mukjizat Nabi SAW. Berceritalah Syurakah kepada sahabat dan tabiin bagaimana sikap Rasulullah dan janji baginda kepadanya.
Berdasarkan sejarah diatas jelas macamana kita difahamkan fakta bahawa asyidda alal kuffar itu ialah tegas memegang prinsip. Ertinya Rasulullah itu kerana dia seorang pemaaf, dia tetap memaafkan musuhnya walaupun dalam keadaan genting yang melibatkan urusan nyawa. Di manapun baginda akan memaafkan. Pemaaf itu adalah prinsip. Tak berlaku pada diri Rasulullah dengan orang ini maaf dan dalam suasana ini maaf, tapi dalam suasana lain berubah tak jadi pemaaf.
Berlaku pada Sayidina Ali, ketika sedang berperang dia diludah musuhnya. Setelah dia lap mukanya dia terus berpaling dari musuhnya dan ini menjadikan musuhnya hairan dan penuh tanda tanya. Lalu dia bertanya pada sayidina Ali, kenapa beliau tidak membunuhnya? Jawab sayidina Ali, dia berperang kerana Allah. Tapi jika dia membunuh musuhnya selepas diludah dia takut niatnya bukan kerana Allah tapi kerana marah bila diludah. Maka islamlah musuhnya ditangannya ditengah-tengah medan perang!
Itulah yang dimaksudkan pemaaf itu prinsip, itulah yang dikatakan tegas dengan prinsip. Dia boleh pertahan dengan prinsip dalam suasana apa pun. Sedangkan kalau Rasulullah atau sahabat ambil keputusan untuk bunuh saja orang-orang itu, bukan kesalahan. Rasulullah ini pemaafnya mengatasi segala-segala. Begitulah contoh tegasnya peribadi beliau.
Antara contoh lain sikap tegas dengan prinsip ini ialah berlaku pada Sultan Salahuddin Al-Ayyubi ketika menentang Richard berhati singa. Beliau terkenal kerana bukan mengalahkan musuhnya tetapi merawat musuhnya yang datang untuk menyerangnya. Malah ketika berdepan mahu berperang pedang Richard jatuh dan boleh saja Sultan Salahuddin membunuhnya tapi dia tidak berbuat demikian. Beliau ada prinsip dan berpegang dengan prinsipnya. Inilah contoh dan sikap yang mesti kita teladani. Bukan sikap hunus pedang tetapi ketika diancam kita masih berpegang dengan prinsip dan akhlak mulia. Itulah ajaran Islam sebenarnya. Berdepan dengan musuh bukan dengan dendam tapi dengan akhlaknya.