MENGAPA KITA PERLUKAN PEMIMPIN KEBENARAN?
Umat Islam kena bermuhasabah untuk mengharapkan sesuatu yang amat bermakna, bernilai sejarah, dalam konteks menuju kegemilangan Islam kali kedua. Merintih dan mengharap agar Tuhan datangkan pembela untuk menyelamatkan iman umat Islam. Setiap hari kita kena merintih kepada Tuhan yang sangat mendengar rintihan hamba-Nya. Bahawa ada janji dari Rasulullah SAW bahawa Islam sekali lagi akan bangkit dengan gemilangnya.
Kita bertanya, kenapa, dan mengapa kita perlukan pemimpin sebagai penyelamat?
Jawapannya kerana melalui pemimpin yang dijanjikan sebagai penyelamat akan dapat mengislamkan kembali dunia ini seperti yang berlaku di tangan Rasulullah dan para sahabat. Melalui pimpinannya kita terbantu dalam mujahadah terhadap musuh yang ada dalam diri kita sendiri iaitu nafsu dan bisikan syaitan.
Sebab kedua, bahawasanya kita dalam perjalanan, dan ke arah mana? Di sini Suara Haramain ingatkan bahawa keyakinan ini bukan keyakinan baru, tapi keyakinan kesinambungan kebangkitan Islam pertama. Sebab itu, kita bersama dengan tokoh-tokoh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang turut perjuangkan berlakunya kebangkitan Islam ke dua ini. Abuya yang banyak berjasa pada kita, dan pencetus model kehidupan Islam, pada kebangkitan gerakan dakwah di Malaysia.
Untuk itu, para pejuang kebenaran tidak pernah jemu dan putus asa dalam mujahadah dengan nafsu yang ada dalam dirinya sendiri. Maksud firman Tuhan: "Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Yusuf,12:53).
Perjuangan Islam atau perjuangan kebenaran itu sifatnya sama, dari dahulu hingga sekarang. Tempatnya berubah, orang atau bangsanya berubah, masa dan eranya juga berubah tetapi sifatnya tetap sama. Apa yang berlaku kepada pejuang-pejuang Islam atau pejuang-pejuang kebenaran pada setiap zaman juga sama. Ini kerana apa yang diperjuangkan ialah Tuhan yang sama, prinsip yang sama dan syariat yang sama. Bahkan pejuang kebenaranlah yang paling kuat berpegang dengan syariat Allah Taala.
Begitu jugalah di zaman-zaman seterusnya, kenalah kita melihat pada zaman apa kita berada. Agar kita dapat mengatur perjuangan kita tepat dengan zaman yang telah di tunjukkan oleh Al Quran dan Sunnah. Barulah perjuangan kita tepat dengan kehendak Allah. Barulah perjuangan itu dinilai oleh Allah sebagai jihad dijalan-Nya. Barulah perjuangan kita itu dikira ibadah kepada Allah justru ganjarannya adalah pahala di Akhirat nanti.
Perjuangan yang diatur mengikut Al Quran dan Sunnah adalah satu perjuangan mengikut jadual Allah atau janji Allah. Bagi umat di kurun ini, perjuangan yang tepat begini adalah begitu penting sekali kerana pelbagai penentuan Allah akan berlaku di kurun ini. Kita sangat beruntung kerana berada pada kebangkitan Islam sekali lagi.
Inilah kebesaran dan keistimewaan umat Islam. Sejarah yang berlaku dan yang akan berlaku serta yang akan dilaluinya. Semuanya sudah diceritakan di dalam Al Quran dan Sunnah. Kadangkala tidak terdapat secara jelas tetapi diperjelaskan oleh ulama atau pemimpin yang bertaqwa di setiap zaman itu, kerana keimanan dan ketaqwaan mereka. Allah anugerahkan kepada mereka mimpi-mimpi yang benar, hatif, dan kasyaf. Atas keistimewaan ini, umat Islam tidak akan bingung dan meraba-meraba untuk membuat pendirian dalam menentukan sikap dan tindakan mereka.
Mereka boleh berpandu kepada apa yang telah dinyatakan oleh Al Quran dan Sunnah tentang sejarah yang akan dilalui oleh mereka di zaman mereka atau mereka boleh mengikut pimpinan dan panduan yang di tunjukkan oleh pemimpin yang diberi Allah tanggungjawab menguasai zaman itu. Dengan jalan ini, umat Islam boleh menyelamatkan diri mereka dan yang lebih penting ialah menyelamatkan iman mereka.
Pemimpin yang bertaraf ummah, ertinya kepimpinannya lambang perpaduan sejagat. Kepimpinannya juga mampu membawa kasih sayang sejagat. Menjadi penyelamat kepada ummah sejagat. Juga pembela dan penghibur sejagat. Bukan sahaja manusia boleh bernaung tetapi makhluk Tuhan yang lain juga boleh terhibur dan terbela. Sebab itu dia berjuang sangat membawa manusia kepada Tuhan. Apabila manusia mendapat Tuhan ertinya dalam hidup mendapat segala-segalanya. Hidup bahagia dan sentiasa terhibur dengan Tuhan dalam apa situasi sekalipun.
Dia memiliki teknologi roh yang tinggi yang mana bukan mulutnya saja yang berkata-kata tetapi hati dan rohnya yang mengusik akal dan jiwa semua orang. Kata-katanya lahir dari firasatnya yang tembus sepertimana kata-kata Rasulullah SAW bersumberkan wahyu.
Umpamanya Rasulullah SAW, bila baginda berhadapan dengan seorang musuh bernama yang sedang meletakkan pedang ke leher Baginda SAW lalu berkata dengan sombong, "Siapakah yang boleh menyelamatkan kamu sekarang ini wahai Muhammad?" Lalu Baginda SAW menjawab, "Allah-lah!" Maka terjatuh pedang dari genggamannya kerana gentar dengan perkataan yang keluar daripada mulut baginda saw. Begitu juga ketika Gabenor Mesir lantikan Khalifah Umar Al-Khattab ketika membuka Mesir, dengan laungan Azan beserta ketaqwaan membuka kota itu ke tangan Islam.
Kekuatan rohaniah beginilah yang ada pada penyelamat yang Allah akan utuskan untuk menyelamatkan dunia ini. Sebab itulah, bagi mencari keadilan yang sebenar, kenalah kita suluh perjalanan perjuangan serta perjalanan sejarah ajaran Islam sepertimana yang telah disabdakan oleh Baginda SAW.
Bagi kita, semasa mengorakkan langkah langkah perjuangan kita, zaman-zaman itulah yang mesti kita suluh. Dan apabila kita tahu zaman apa kita berada, kita susun setiap langkah perjuangan kita menurut zaman itu berdasarkan Al Quran dan Sunnah. Kalau tepat, pastinya kejayaan yang diredhai Allah akan kita perolehi. Andainya kita tidak berjaya atau menang sedangkan kita telah mengatur langkah-langkah perjuangan yang tepat, kita tidak perlu risau kerana Allah tetap memberi ganjaran-Nya di Akhirat. Sesungguhnya Allah taala tidak memungkiri janji-Nya. Sepertilah Abu Ayub Al-Ansari yang menjadi pemangkin kepada kebangkitan empayar Usmaniah di Turki.