PERBANYAKKAN DOA DI BULAN RAMADHAN.
Di tengah kerancakan umat Islam membuat persiapan hari raya, dengan kuih-muih raya, menukar kain langsir baru dan menyediakan pakaian untuk menyambut hari raya. Kita jangan terlupa inikan puasa, bulan Ramadhan. Memahami dan menjiwai ramadhan bukan satu kerja yang kecil. Bahkan para salafussoleh pun cukup bimbang akan tanggungjawab ramadhan yang merupakan pusat latihan roh (hati) manusia. Apakah ramadhan yang kita lalui benar-benar dapat merubah diri kita menjadi orang baru?
Kita hidup di akhir zaman, di mana fitnah sangat berleluasa. Ianya menguji kepada semua golongan manusia, samada golongan yang soleh mahupun golongan yang tidak mentaati Allah. Maka disini doa sangat menjadi senjata rohani bagi umat Islam. Berdoa adalah suatu yang amat penting dalam kehidupan. Allah menyuruh kita berdoa seperti terdapat dalam Al Quran.
Maksud firman Tuhan:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Al Baqarah,2:186).
Allah yang Maha Baik sangat berlaku adil kepada manusia. Allah tidak pernah melakukan kezaliman, namun manusialah yang berlaku zalim sesama mereka. Setiap perbuatan manusia tidak sedikit pun memberi mudharat dan manfaat kepada Tuhan, namun pada setiap tindakan manusia itu sangat memberi kesan kepada satu sama lain. Maka ketika ini kita tidak ada senjata lain yang lebih berkesan selain doa.
Ada beberapa situasi berdoa yang tidak ditolak oleh Allah dan ada doa yang dijanjikan akan dimakbulkan. Berikut ini ialah beberapa keadaan iaitu doa tidak ditolak. "Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Tiga orang yang tidak ditolak doa-doa mereka. Seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka, seorang pemimpin (pemerintah) yang adil dan doa daripada seorang yang dizalimi. Allah s.w.t. akan mengangkatnya ke atas awan dan terbuka pintu-pintu langit dan Allah s.w.t. akan berkata, “Demi kemuliaanKu, pasti Aku akan menolong kamu walaupun selepas beberapa ketika” (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tarmizi).
Ramai orang tahu tentang lahir ibadah puasa dan doa, misalnya syarat sah batal puasa dan disiplin berdoa. Akan tetapi tidak ramai orang tahu akan tujuan, matlamat atau natijah rohani sesuatu ibadah itu. Di antaranya, sewaktu berdoa itu mesti rasa merendah diri dengan Tuhan. Ibarat kita hendak minta sesuatu daripada menteri, jangan-lah bercekak-cekak pinggang di hadapannya, sebaliknya mesti dengan bahasa yang lembut dan merendah diri. Jadi waktu kita berdoa itu mesti rasa merendah diri dan mengharap kepada Tuhan. Ini temasuk juga roh berdoa, waktu berdoa itu kita yakin Allah terima doa kita. Jangan pula sewaktu berdoa hati kecil kita berkata, "Entahlah, Allah kabulkan atau tidak". Ertinya dalam meminta itu kita sudah jahat sangka dengan Allah.
“Aku mengikuti sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Dan Aku selalu menyertainya sepanjang ia ingat kepada-Ku.” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah pernah bersabda: “Tiadalah yang lebih dihargai oleh Allah selain daripada doa.”.
Doa yang sempurna yang lengkap penghayatan lahir batinnya akan menjadikan kita orang yang kuat bergantung dengan Tuhan. Kalau semua ahli masyarakat dapat memahami dan menghayati roh doa yang dikatakan otak ibadah akan menjadikan otak manusia sangat berfikir kebesaran Tuhan. Apa saja yang dilihat otak terus merakamkan kebesaran Tuhan. Maka natijahnya bangsa itu akan menjadi bangsa yang agung. Semua bangsa lain akan suka bernaung di bawah bangsa yang agung ini.
Natijah rohaniah berdoa ialah mempertajamkan rasa kehambaan kita kepada Tuhan. Inilah nilai sebenar bagi sesuatu ibadah. Ia menghampirkan kita kepada Tuhan. Ia meningkatkan sifat kehambaan kita. Ia membina peribadi dan akhlak yang mulia. Ia membina insaniah kita. Roh semakin subur dan hidup. Oleh itu perbanyakkan doa di bulan yang mulia ini supaya hati semakin dekat dengan Allah taala.