MANUSIA SUDAH KEHILANGAN TUHAN.
Kalau kita dapatkan Tuhan (memiliki-Nya di dalam hati dan jiwa), miskin pun masih rasa bahagia, di dalam kesusahan pun masih ada ketenangan. Betapalah di waktu kita di dalam kesenangan dan kemewahan. Tuhan sebenarnya adalah segala-galanya. Di dunia hari ini walaupun manusia percaya dengan TUHAN tapi sudah kehilangan TUHAN. Baik umat Islam mahupun bukan Islam, sudah kehilangan TUHAN. Sekalipun percaya TUHAN tapi sudah hilang di hatinya. Padahal kehilangan TUHAN adalah satu musibah yang besar. Tidak ada musibah yang paling besar pada manusia melainkan musibah kehilangan TUHAN-nya iaitu Allah SWT.
Kalau kehilangan wang, kuasa dan lain-lain itu masalah yang kecil. Tapi bila manusia sudah kehilangan TUHAN, cinta Allah sudah tiada, maka itu adalah musibah yang besar. Sedangkan cinta TUHAN itu cinta yang agung. TUHAN itu sangat memberi kasih dan sayang pada hamba-Nya. Bukti cinta TUHAN pada kita, bila satu pemberian TUHAN tidak ada maka yang lain tidak ada erti. Kalau TUHAN tidak memberi nafas, ertinya kita akan mati. Waktu itu, rumah dan kekayaan sudah tiada erti.
Kehilangan TUHAN, manusia akan kehilangan kasih sayang. Apabila manusia sudah tidak cinta dan kehilangan TUHAN, Allah SWT, padahal Allah itu patut dicintai, maka automatik tidak akan cinta dan kasih sesama manusia. Kenapa? Atas alasan apa kita dapat mencintai dan menghasihi orang lain, sedangkan TUHAN yang sangat berjasa kepada kita, tidak kita cintai. Kerana itu bila sudah tidak cinta TUHAN, automatik cinta pada sesama manusia sudah tidak murni, cinta dan kasih yang ada hanya palsu, buatan dan rekaan, malah terpaksa. Akibatnya, kesan negatif terlalu banyak. Tidak berkasih sayang, tidak pemurah, tidak amanah, tidak ada timbang rasa, tidak ada perikemanusiaan, keadilan dan kerjasama. Kalaupun ada kerjasama bukan kerana cinta, tidak ikhlas dan ada kepentingan, mungkin kerana ingin keuntungan ataupun untuk menjaga harga diri. Kerana itu ikatannya terlalu tipis dan dapat berpecah bila masa sahaja.
Jangan dibiarkan kehilangan Tuhan dan iman. Kehilangan Tuhan dan iman bererti diri kita telah kehilangan segala-galanya. Tuhan dan iman sesuatu yang paling berharga. Hilangnya Tuhan dan iman, pangkat dan harta kekayaan sudah tidak berguna apa-apa. Engkau akan rugi di dunia dan Akhirat. Orang yang kehilangan TUHAN bukan sahaja di kalangan orang yang tidak ikut syariat, bahkan orang yang solat pun sudah kehilangan TUHAN. Walaupun mereka banyak masanya di masjid, tapi sebenarnya tidak mencintai Allah. Sebab itulah tidak lahir kasih sayang, tidak lahir pemurah, kerja sama, bermaaf-maafan. Akibatnya di dalam masjid pun dapat terjadi pertengkaran dan perkelahian. Kalau orang yang tidak sayang TUHAN itu orang yang tidak ikut syariat, masih dapat diterima. Tapi apa yang terjadi, yang menjadi pembohong, memfitnah, menipu adalah dikalangan mereka yang solat, naik haji, umrah dan lain-lain. Ibadahnya tidak berbuah. Itulah tandanya ikut Islam tapi tidak kenal TUHAN. Bukan saja orang politik, bahkan orang yang solat pun sudah terpisah dengan TUHAN.
Ibarat seorang anak yang berbuat baik dengan ibu-bapanya bukan kerana ingin berkhidmat, tapi kerana ingin memanfaatkan ibunya untuk tujuan dapat harta. Sebab itu dunia hari ini sudah sangat kronik. Bila cinta tidak ada, maka kasih sayang tidak ada. Sedangkan kasih sayang makanan jiwa. Bila jiwa tidak diberi makan, maka orang kaya akan gila kuasa, sakit jiwa dan tidak ada kebahagiaan. Masalah masyarakat hari ini banyak melanda orang yang bertaraf tinggi, ada kuasa, pemimpin. Antara masalah yang sering dihadapi ialah anak-anak terlibat dadah, isteri lari, isteri tidak taat, masing-masing tidak sehaluan. Perpecahan dalam rumah tangga begitu terlihat nyata. Walaupun ada wang, rumah besar, kedudukan tinggi, tapi anak-anak berkelahi satu sama lain.
Inilah akibatnya bila TUHAN sudah hilang, bila Allah bukan lagi matlamat hatinya. Bila cinta pada TUHAN sudah tidak ada, maka hilanglah cinta sesama manusia. Bila kehilangan kasih sayang, terjadi gangsterisme di kalangan anak-anak di sekolah. Akibat tidak ada kasih sayang, perpecahan di antara parti politik dan sesama anggota parti makin ketara. Adakah ini dapat diubati dengan dengan kekayaan, nama dan glamour?
Maknanya masalah kasih sayang ini tidak dapat diubati dengan kekayaan. Kalau kekayaan dapat mengubati manusia, tidak akan terjadi isteri lari, anak terlibat dadah dan lain-lain. Kalaulah kekuasaan dapat menjalinkan kasih sayang, maka tidak akan terjadi kerajaan yang paling banyak berjasa, tapi rakyat benci. Inilah akibat masing-masing sudah kehilangan TUHAN. Allah Taala telah berlepas tangan dalam urusan dan kehidupan mereka, kerana masing-masing tidak lagi mempedulikan Allah SWT, meringan-ringankan dan mengabaikan syariat dan suruhan-Nya.