RAMADHAN ADALAH BULAN RAHMAT.

Ramadhan menjelang tiba lagi. Ada banyak nikmat di dunia ini yang kita rasakan, sangat banyak dan terkadang kita lupa untuk mensyukurinya. Tidak kurang di antara kita lupa bahwa nikmat ini hanyalah dari-Nya dan semua ini akan kembali kepada-Nya termasuk nyawa dan semua yang kita miliki. Mana milik kita semua yang ada Tuhan yang punya. Kedudukan seorang hamba di sisi Allah bukan diukur berapa banyak ibadah dan fadhilat-fadhilat yang diamalkannya tetapi apa yang ada didalam hatinya. Iaitu keimanannya, keyakinannya dan ketaqwaannya.

Maksud firman Tuhan: "Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al Qur'an) pada malam kemulian. Dan tahukan kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikan dan malaikan Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar." (Al-Qadr, 97:1-5).


Maksud firman Allah: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
(Al-Baqarah, 2:185).

Ibadah bagi seorang hamba seperti berpuasa di bulan Ramadhan, sembahyang, zakat dan mengerjakan haji bagi yang mampu dan lain-lain lagi. Ibadah seorang hamba itu hanyalah manifestasi dari apa yang wujud dalam hatinya. Ibadah seorang hamba adalah dari rasa cinta dan takutnya kepada Tuhan. Dari rasa kehambaannya yang begitu mendalam dan sifat-sifat hamba yang mendalam dan sifat-sifat hamba yang tajam di hatinya seperti rasa hina, berdosa, dhaif, lemah, malu dan sebagainya di sisi Tuhan. Lagi kuat iman dan lagi tinggi taqwa seseorang hamba itu maka lagi kuatlah dan tekunlah ibadahnya. Lagi kemaslah syariat dan lebih mulia akhlaknya.

Manusia apabila dilahirkan ke dunia fitrahnya dirosakan oleh manusia, dunia nafsunya sendiri dan syaitan, Fitrah manusia yang sudah rosak ini ikatannya dengan Tuhan sangat lemah. Allah, Akhirat, Syurga dan Neraka tidak merangsang dan tidak menakutkannya lagi. Nafsunya sudah ambil alih tempat fitrahnya. Dia hanya terangsang hal-hal dunia, berfoya-foya dan dengan apa saja yang boleh memuaskan keinginan hawa nafsunya. Dunia jadi buruannya.


Kita ambil peluang bulan rahmat yang Tuhan tawarkan ini untuk memperoses menjadi orang yang bertambah yakin dengan bantuan Allah. Untuk menjadi seorang mukmin dengan menjadi seorang Islam tidak sama. Untuk menjadi orang mukmin, susah tetapi menjadi orang Islam senang. Oleh sebab itu dalam Al Quran tidak ada suatu ayat pun yang Tuhan memberitahu hendak bela, tolong, jamin memberi kemenangan, memberkati dan untuk memberi rezeki yang tidak terduga kepada orang Islam. Yang selalu dan diulang-ulang Tuhan ialah hendak memberi pertolongan, memberi bantuan, memberi rahmat, berkat dan kemenangan kepada orang mukmin dan bertaqwa. Di sinilah kadang-kadang kita terkeliru. Apabila menjadi orang Islam, kita sudah berpuas hati. Menjadi seorang Islam itu soal lahir atau sikap lahir.

Bulan Ramadhan adalah pusat latihan roh. Bulan Ramadhan adalah bulan rahmat, bulan subsidi dan bulan maghfirah. Universiti roh adalah tempat yang sempurna dan lengkap untuk menerima panduan. Penghayatan lahir batinnya akan menjadikan umat Islam yang kuat bergantung dengan Tuhan. Masyarakat yang lahir dari universiti roh melahirkan manusia sangat berfikir kebesaran Tuhan. Universiti roh melahirkan bangsa yang agung. Iaitu bangsa yang cinta dan takut Tuhan. Semua bangsa lain akan suka bernaung di bawah bangsa yang agung ini. Universiti roh silibusnya mempertajamkan rasa kehambaan kita kepada Tuhan. Inilah tujuan sebenar manusia diciptakan. Kita diberikan sesuatu yang menghampirkan kita kepada Tuhan. Panduan yang diberikan dapat bantu meningkatkan sifat kehambaan kita. Ia membina peribadi dan akhlak yang mulia. Ia membina insaniah kita. Roh semakin subur dan hidup bila mengikuti latihan roh selama sebulan.

Oleh itu, Ramadhan kali ini marilah kita bersama-sama memanfaatkannya dengan semaksima mungkin. Ramadhan akan datang belum tentu kita jumpa, maka kali ini berusahalah memenuhi hasrat dan kehendaknya dengan bersungguh-sungguh. Semoga Ramadhan kali ini dapat menjadikan kita manusia yang bersih hati dan fikirannya, seperti kereta yang baru dibaik-pulih, di-overhaul dan menjadi seperti baru. Mudah-mudahan kita menjadi hamba yang bertaqwa, yang layak untuk diberikan nikmat oleh Allah SWT.



Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?