MALAYSIA SEDANG PROMOSI ISLAM ABUYA.
Bacalah dengan nama Allah, Tuhan yang Maha Pemurah dan Penyayang. Membaca dengan nama Tuhan ini akan membuahkan iman dan amal yang membawa kesejahteraan kepada alam ini. Hari demi hari, kita semakin dekat dengan Jadual Tuhan ini; kebangkitan Islam kedua buat umat akhir zaman. Inilah hasil keberkatan perjuangan Abuya sejak puluhan tahun lalu. Samalah seperti perjuangan para mujaddid yang lain, mereka diterima setelah ketiadaan mereka. Begitu jugalah dengan Abuya.
Pernah Imam Ghazali difitnah di mimbar-mimbar masjid dan setiap khutbah jumaat, dituduh sesat dan membawa ajaran karut. Namun setelah ketiadaan beliau namanya disanjung tinggi dan ilmunya dijadikan rujukan seluruh dunia Islam kini. Malah orang yang menabur fitnah kepadanya itu jugalah yang membersihkan nama Imam Ghazali. Sejarah islam akan berulang dan sentiasa berulang, kata Abuya.
Kini perjuangan Abuya telah diterima masyarakat dan negara Malaysia. Pengamalan islam di negara ini boleh kita katakan terbaik dari mana-mana negara islam yang lain. Ini dibenarkan sendiri oleh masyarakat timur tengah yang ditemui anak murid Abuya mahupun rakyat Malaysia. Negara Malaysia dipuji kerana pengamalan Islam-nya dan kemajuannya lahiriahnya. Hiburan cara Islam, kebudayaan, fesyen, majalah, makanan, dan lain-lain bermula dari Abuya. Di awal perjuangannya, Abuya difitnah kerana membawa pembaharuan dalam pengamalan Islam. Kini ianya ditiru dan diamalkan setelah hampir 40 tahun lamanya. Memang sifat manusia akan memusuhi sesuatu yang mereka tidak tahu. Lebih-lebih lagi dunia tidak bersedia lagi di masa itu.
Dikaca televisyen, drama-drama tutup aurat tidak lagi asing. Malah menjadi trend dan ikutan para artis untuk menutup aurat. Ianya juga membawa kemakmuran kerana ia dijadikan perniagaan. Begitu sekali penerimaan masyarakat kini. Jual tudung sahaja boleh jadi jutawan. Malah setiap rekaan tudung dipatenkan, takut ditiru kerana begitu laju dan laku permintaannya! Cuba bayangkan puluhan tahun yang lepas. Menutup aurat dikatanya hantu kum-kum!
Lebih menghiburkan pejuang kebenaran, bilamana cara hidup Islam seperti poligami tidak asing. Dulu memang biasa kawin ramai tapi senyap-senyap. Tahu-tahu bila mati dalam wasiat ada banyak nama. Kalau berjumpa pun tak pernah kenal walhal sudah bermadu. Tapi itu dulu. Kini masyarakat sedang belajar menerimanya malah mengamalkannya. Lebih menggembirakan lagi bila buka televisyen drama-drama poligami tidak asing lagi. Bagaimana skripnya disunting itu bukan persoalan. Jelasnya matlamat cita-cita Abuya itu sudah semakin tidak asing lagi. Malaysia dah boleh terima Islam yang Abuya bawa.
Begitu juga perjuangan Rasulullah SAW pada awalnya. Asing dan tidak diterima bahkan ditentang. Selepas 23 tahun baginda berjuang, Islam berkembang. Tiga tahun selepas itu pula di zaman Khalifah Umar Al-Khattab, Islam berkembang hingga tiga perempat dunia! Setiap kata-kata Abuya menjadi kenyataan. Cakap-cakap Abuya tidak lain tidak bukan melainkan untuk Islam. Kata Abuya lagi, golongan terakhir menerima dakwah sebelum kemeriahan Islam gilang gemilang ialah golongan artis. Kini golongan artis meriah dengan kesedaran Islam. Merekalah yang meriahkan Islam hingga menjadi ikutan. Islam menggunakan mereka sebahai ikon masyarakat. Dari kecintaan kepada dunia membawa ke akhirat.
Peristiwa seperti ini tidak berlaku di negara lain. Tidak di Thailand, Indonesia, Brunei, tetapi di Malaysia. Ini kerana disinilah tempat yang dijanjikan. Walaupun musuh cuba gagalkan tetapi Allah punya rencana dan jadualnya tersendiri. Musuh sudah cuba dan sedang rosakkan tapi bila ianya sudah janji dari Allah pasti akan terjadi.
Bila kita merujuk kitab feqah, hampir semua tajuk telah menjadi pengamalan Malaysia. Disudut ibadah tak dinafikan lagi, Malaysia diiktiraf kerana pengamalan Islam yang syumul berbanding negara lain. Malah jemaah haji dan umrah sentiasa dan selalu dipuji kerana disiplin dan penuh sifat mahmudah. Begitu juga dalam muamalah dan munakahat. Bank-bank tidak segan mengetengahkan atau menggunakan istilah-istilah islamik. Poligami sudah diterima. Tinggal satu lagi tajuk yang belum selesai. Bab Jinayah (jenayah). Ianya sedang berlaku. Bila sudah terjadi maka berlakulah Daulah Islamiyah di Malaysia.
Marilah sama-sama kita merebut tawaran ini. Membela Allah dan Rasul dalam kehidupan kita. Bermula dengan membina iman diri dan keluarga, seterusnya akan melahirkan buah yang manis dan indah kepada masyarakatnya. Zaman kegemilangan Islam Rasul dan sahabat akan berulang lagi di akhir zaman ini. Marilah sama kita menagih janji Tuhan ini.