MENCEGAH DAN MENGUBATI PENYAKIT MANUSIA.

Pepatah Melayu ada berbunyi, mencegah lebih baik dari mengubati. Jika ditafsirkan menurut bidang perubatan, menghalang dan menghindar diri daripada mendapat jangkitan penyakit adalah lebih baik dari mengubatinya setelah dijangkiti atau terkena sesuatu penyakit. Menjaga kesihatan diri adalah dituntut dalam Islam. Jika badan tidak kuat dan tidak sihat, ianya menyukarkan dan menyulitkan kerja-kerja kebajikan yang mahu dilaksanakan. Payahlah hendak berkhidmat dengan manusia kerana masalah kesihatan. Begitu besar sekali nikmat kesihatan pada manusia yng Allah Taala berikan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Rasulullah SAW bersabda lagi, “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman). “ (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Begitulah Allah Taala yang sangat kasihkan hamba-Nya. Soal kesihatan lahir pun diingatkan dan diminta untuk menghargainya. Kerana orang yang beriman bukan mereka yang selekeh, pengotor, selebet, dan mengabaikan kesihatan. Islam suka pada keindahan, kerana ia fitrah. Dan Allah Taala itu indah dan sukakan pada keindahan. Kecantikan dan keindahan sangat berkait rapat dengan hati manusia.

Begitulah juga pada nikmat kesihatan yang Allah minta hamba-Nya menjaga dan mensyukurinya. Malah selepas nikmat terbesar iaitu Iman, ialah nikmat kesihatan. Nikmat kesihatan ini sangat perlu dijaga, seperti menjaga nikmat iman. Nikmat Iman berbentuk maknawi, manakala nikmat kesihatan berbentuk zohiri.


Mencegah dari mendapat sakit agar kesihatan terjaga dan terjamin adalah dituntut di dalam Islam. Allah berfirman bermaksud: “Makanlah dan minumlah serta jangan berlebih-lebihan.” (Surah al-Araf, ayat 31). Nabi Muhammad saw pernah bersabda yang mafhumnya, punca penyakit adalah dari sini (Nabi menunjukkan ke arah perut), yang bermaksud punca penykit ialah dari makan dan minum berlebihan. Nabi Muhammad saw juga mengajar cara mencegahnya ialah dengan berhenti sebelum kenyang! Kunyah makanan sebanyak 40 kali baru ditelan kedalam perut, bagi membantu proses pencernaan dan tidak membebankan perut. Nabi saw juga menegah minum dalam keadaan berdiri. Para saintis juga mengkaji minum berdiri sangat tidak baik untuk badan manusia. Kita lebih ikut cakap doktor dari ikut pesan Nabi saw. Nabi Muhammad saw dah pesan lebih dari 1400 tahun tentang kesihatan.

Sebenarnya, Islam sendiri mengakui akan peri pentingnya menjaga kebersihan dan kesihatan diri. Elakkan daripada berdepan dengan mereka yang mengidap penyakit bertujuan menghindarinya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Jika kalian mendengar ada wabak ta’un di sebuah negeri, maka janganlah kalian memasuki negeri tersebut. Dan jika ta’un itu mewabak di negeri kalian, janganlah kalian keluar dari negeri kalian untuk menghindari penyakit itu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam erti kata lain, Islam memerintahkan umatnya supaya berwaspada dan mengawal diri dari tempat penyakit berjangkit menular. Apatah lagi orang yang sedang sakit itu mendedahkan dirinya kepada masayarakat umum. Sehubungan itu, Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya

“Tidak sepatutnya orang yang sakit mengunjungi (bergaul dengan) orang yang sihat ” (Hadis Riwayat Bukhari)

Begitu sekali keprihatinan Islam terhadap kesihatan. Orang yang sakit diminta menjaga dirinya dan dilarang bergaul supaya penyakitnya tidak merebak dan segera sembuh. Ini kerana badannya tidak cukup kuat berdepan persekitaran yang ada.

Sebenarnya, keselamatan Iman manusia ada hubungannya dengan tahap penjagaan kebersihan diri dan persekitaran, Pemakanan yang seimbang, perlakuan dan aktiviti fizikal termasuk senamam dan sukan yang bersesuaian, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah dalam aspek kerohanian. Firman Allah SWT “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri.” ( Surah Al-Baqarah, Ayat 222)

Kebersihan juga memainkan peranan yang begitu penting dalam mengelakkan seseorang ditimpa penyakit. Persekitaran yang kotor akan mengundang pelbagai jenis kuman pembawa penyakit ke kawasan tersebut. Sebab itu aspek kebersihan merupakan cabang keimanan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”. ( Hadis Riwayat Muslim)

Kesihatan lahiriah sangat diambil berat oleh Islam, betapalah kesihatan Iman yang menentukan kehidupan kita di akhirat kelak! Jika Rasulullah saw pun menunjukkan kaedah makan dan minum yang betul, betapalah baginda saw diutuskan untuk menunjukkan kaedah penjagaan Iman manusia. Jika soal kecantikan lahir pun Islam sangat mengambil berat, betapalah soal kecantikan Iman manusia.

Dunia sedang dilanda penyakit dan wabak masyarakat, dilanda wabak mazmumah, penyakit sombong, riak, takabbur, dan lain-lain yang semuanya membawa kepada kematian Iman! Sedangkan Islam telah pun mengajar cara-cara mencegahnya, merawatinya, dan mengubatnya. Namun manusia buat tidak peduli sahaja. Kerana itulah Allah menghukum manusia dengan pelbagai bala dan bencana, supaya manusia kembali pada-Nya.

Penyakit-penyakit bala ini adalah hasil ciptaan manusia sendiri. Penzinaan, pergaulan bebas, arak, riba, rasuah, zalim, bunuh, dan 1001 lagi kerosakan hasil ciptaan manusia yang mengabaikan perintah Allah Taala. Malah yang lebih terhina lagi ialah umat Islam itu sendiri, dihina dan menghina diri di mana-mana sahaja.

Setiap penyakit ada ubatnya, kecuali tua dan mati. Begitu juga penyakit hati atau penyakit masyarakat ini, pun ada ubatnya dan penyelesaiannya. Kepada Allah jua-lah tempat kembali, tempat rujukan, tempat kita berserah, mengadu masalah, dan mengubati penyakit jiwa ini.

Popular posts from this blog

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?

APA ITU JIHAD FISABILILLAH?