PEJUANG KEBENARAN SENTIASA BERSIAP UNTUK KEMATIAN.
Firman Tuhan:
وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?
(Al-An'aam: 32).
Kehidupan yang kita lalui di dunia ini Allah Taalah ibaratkan seperti hiburan dan permainan.
Kembali kita renungkan betapa hidup ini berjalan dengan begitu cepat dan pantas. Tahun 2014 telah pun meninggalkan kita, dalam sedar atau tidak kita berada di awal suku tahun 2015. Masa berlalu begitu saja tanpa terasa, ibarat kita hanya mengambil seteguk air dan dalam masa itulah kehidupan kita. Bila manusia dilahirkan dilaungkan azan dan iqamah. Bila manusia meninggal dunia akan disolatkan. Itulah juga gambaran hidup kita yang Allah Taala tunjukkan; jarak kehidupan manusia ialah di antara azan dan solat, begitu pendek sekali. Malah semua yang ada adalah pinjaman sementara.
Kita disunatkan mengingati kematian, menziarahi orang mati, perkuburan, supaya dapat mematikan angan-angan dunia dan mengingatkan pada Allah dan akhirat. Di awal 2015, berlaku kematian individu yang kita kenal, samada dari kaum kerabat kita atau dari kalangan figur masyarakat. Bagi mereka yang telah bertemu Allah urusan mereka di dunia telah selesai. Mereka sedang menuju ke dunia baru, alam baru yang kita pun akan ke sana.
Maksud firman Tuhan:
Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-Asr :1-3).
Allah Taala bersumpah dengan masa bahawa kita semua berada di dalam kerugian, kecuali bagi mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan Allah Taala menyambung lagi, selain orang beriman dan orang soleh, mereka yang saling nasihat-menasihati dan mengajak manusia kepada kebenaran dan juga mereka yang berdakwah dengan penuh kesabaran. Inilah golongan yang beruntung di dalam kehidupan. Namun realitinya, golongan ini seolah-olah tidak menikmati kehidupan kerana dalam sangkaan manusia biasa, hidup ialah mengejar kemahuan nafsu dan kehendak dunia. Berbezanya pandangan dan penilaian manusia yang mengejar akhirat dan mereka yang semata mencari dunia.
Allah menguji hamba-Nya dengan susah dan senang. Maka ada yang tersaring dalam kesusahan. Ada yang mampu susah namun diuji dengan kesenangan mudah sahaja lupakan Allah dan segala nikmat yang diberikan. Ingatlah! Apalah sangat kehidupan di dunia sekiranya matlamat yang diimpikan dicapai dengan dosa dan noda. Kita mengejar nikmat dunia dalam keadaan durhaka pada Tuhan.
Maksud Firman Tuhan:
Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui. (Al-Ankabut: 64).
Kita bekerja seharian, bertungkus lumus mencari sesuap rezeki, bermatian menyiapkan assignment yang diberikan, namun disisi Allah Taala ianya ibarat hiburan atau permainan, sesuatu yang tidak serius. Mengapa? Kerana kehidupan yang dipisahkan daripada akhirat, yang terpisah dari Allah, itu semua sia-sia. Kerana di akhirat kelak neraka kesudahannya. Bayangkan, betapa susah kita mengerjakan sesuatu atau mengusahakan sesuatu tetapi jika tidak disertakan dengan niat untuk Islam, untuk Allah, sia-sia sahaja. Kerana yang dikerjakan itu hanyalah untuk hasil di dunia semata. Sedangkan Allah telah ingatkan kepada kita ada kehidupan yang lebih kekal selamanya, itulah kehidupan di akhirat. Namun ramai yang masih mengabaikannya, kerana asyiknya dengan dunia yang mempesona di mata mereka.
Ada juga golongan yang menyangka alan selamat di akhirat kerana telah mengerjakan kehendak-kehendak yang Allah Taala minta. Namun hakikatnya ramai yang tertipu dengan amalan dan ibadah mereka. Rupa-rupanya amal ibadah yang dibuat hanya akan dicampakkan kembali ke wajah mereka kerana disertakan dengan niat-niat dan tujuan tertentu, yang terselit duniawi padanya. Ini sangat halus dan seni. Malah malaikat di langit ketujuh pun terkejut bila Allah perintahkan amal yang dibuat dicampak kembali kepada tuannnya.
Begitu juga dalam mengejar tuntutan Allah Taala, syariat jangan dipisahkan. Syariat ialah panduan agar kita tidak tersesat. Dalam bersyariat kita diminta perhalusi dan perindahkan amalan-amalan syariat kita dengan amalan-amalan hati. Supaya kita tidak tertipu pula dengan amalan syariat yang kita lakukan. Pada masa yang sama syariat ini menjaga, membentengi kita daripada tersesat dari landasan. Golongan yang mengejar amalan-amalan hati juga sering tersesat kerana menolak amalan-amalan lahir (syariat). Ini pun tertolak amal dan ibadah mereka. Jangan beramal sesuka hati kita. Allah telah persiapkan panduan dalam kehidupan.
Kita sepatutnya sibuk melakukan persiapan untuk hari akhirat. Saya menasihati diri saya dan tuan/puan agar sentiasa bersiap sedia ke arahnya. Kita tidak tahu bila giliran kita. Andai kita dipanggil apakah bekalan kita? Apa yang mahu kita bawa? Sedangkan kata Rasulullah saw, sebaik-baik bekalan ialah 'taqwa'. Taqwa ialah himpunan seluruh sifat-sifat mahmudah, iaitu segala amal soleh itulah taqwa. Berbuat baik dengan ibu ayah, kaum kerabat, itulah taqwa. Segala tuntutan Allah kepada kita, itulah taqwa. Jika kita meninggalkan dosa dan maksiat itu juga sifat taqwa.
DARIPADA Abu Hurairah, Rasulullah ada bersabda, bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.” – (Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad. Mustika Hadis 3:312
Rasulullah saw memberi harapan dan nafas kepada kita, bahawa tiga inilah yang akan memberi manfaat kepada kita setelah matinya kita. Jika mati tak sempat kahwin, mungkin ada jariahnya yang dapat membantunya, atau dia menyampaikan ilmu yang bermanfaat lalu ilmu itu berkembang pula. Maka itulah amalan-amalan yang takkan terputus dengan kita walaupun jasad di dalam tanah. Begitu sekali Allah taala ingin meringankan beban hamba-Nya. Begitu sekali baiknya Tuhan walaupun setelah terpisah nyawa dari jasadnya.
Di dalam syurga, seseorang diangkat darjatnya oleh Allah lalu dia bertanya kepada Allah: “Ya Tuhanku, bagaimana saya mendapat darjat kebesaran ini?”. Firman Allah bermaksud: “Ini disebabkan doa anakmu yang memohonkan keampunan bagimu.” – (Riwayat Imam Ahmad - Mustika Hadis).
Betapa besarnya rahmat dan kasih sayang Allah pada hamba-Nya. Kerana itulah kita diminta melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan kebajikan. Kita juga diminta persiapkan ahli keluarga kita, darah daging kita. Apalah erti kita berdakwah hingga dikenali, masyarakat berubah kerana dakwah kita namun dengan keluarga dan darah daging kita buat tak endah sahaja. Dakwah kita kerana apa? Kerana dunia? Jika lillahitaala keluarga kita dahulu yang kita dakwahkan. Nabi saw setelah mendapat wahyu, golongan pertama menerima dakwahnya ialah keluarga baginda. Rupanya disitulah nilai keikhlasan kita, disana juga terdapat bantuan keselamatan bila kita tidak dapat lagi berbuat apa-apa setelah kematian kita. Oleh itu persiapkanlah diri kita dengan iman dan taqwa. Persiapkan keluarga kita dengan iman dan islam. Dari situ akan berlakulah masyarakat islam yang diharapkan dan diimpikan.