PEJUANG ADALAH PENGHIBUR HATI MANUSIA.

Firman Tuhan:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Al-Anbiya: 107).

Kedatangan Islam di dunia adalah untuk menghiburkan manusia. Di situ indahnya Islam, sebab Islam itu menghibur. Penghibur yang paling besar ialah Tuhan Yang Maha Agung. Kalau Tuhan itu dikenali, kalau kita tahu kerja-kerja Tuhan, maka Tuhan sangat menghiburkan. Tuhan penghibur agung. Bila membaca Basmalah (Bismillahirrahmanirrahim) itu sudah cukup menghiburkan manusia jikalau manusia benar-benar berfikir.

Dalam banyak-banyak sifat dan nama Allah yang Maha Hebat, Allah minta kita sebut Ar-Rahman dan Ar-Rahim dalam apa jua urusan. Ini menunjukkan bahawa sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim mengatasi segalanya. Jika kita mengetahui maknanya kita akan malu dan tunduk setunduknya kerana Allah itu sangat terlalu baik dan pemurahnya kepada hamba-hambaNya. Ini sudah cukup menghiburkan namun hanya dapat dikesan oleh manusia yang memiliki hati yang hidup (ulul Albab).


Pada kebangkitan pertama, para pejuang berjaya menjadi penghibur dan penyelamat kepada manusia. Maka pada kebangkitan Islam yang kedua ini juga sepatutnya para pejuang dan pendakwah menyalin watak yang sama seperti pejuang pada kebangkitan pertama. Para sahabat terkenal dengan akhlak yang luar biasa, dan ini adalah hiburan buat hati manusia yang inginkan pengisian dan keselamatan. Hati yang sedih dan takut dengan urusan dunia pasti akan terhibur dengan cahaya Islam, rupanya ada kehidupan dan urusan yang lebih baik dari kehidupan dan urusan dunia. Inilah hiburan bagi manusia. Mengetahui adanya kehidupan yang kekal abadi selamanya di akhirat kelak adalah satu hiburan bagi manusia yang letih dengan penipuan nafsu dan dunia.

Terlalu banyak hiburan yang Allah berikan kepada manusia. Kejadiaan malam dan siang adalah satu hiburan buat manusia. Setelah manusia letih bekerja atau berjuang di waktu siang, Allah datangkan malam sebagai kerehatan. Bukankah ini satu hiburan? Setelah kita letih dengan cuaca dan persekitaran siang hari, suasana terus berubah di waktu malam. Watak-watak alam juga berubah dengan izin Tuhan, dan ini adalah satu hiburan buat makhluk ciptaan-Nya. Bukan sahaja manusia malah haiwan dan tumbuhan juga dapat manfaat daripadanya. Bukankah ini hiburan?

Firman Allah:
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (Ali Imran: 190-191).

Allah Taala meminta hamba-Nya melihat alam ciptaan-Nya ini lalu merenung sejenak, apakah hikmah dan pengajaran disebalik semua ini. Terlalu banyak pengajaran dan hiburan namun berapa ramaikah manusia yang menyedari hakikat ini? Bila melihat alam yang indah, dalam tak sedar hati kita terpegun melihatnya. Melihat langit biru yang luas sudah cukup membuatkan hati dan perasaan lapang. Otak yang serabut bila melihat alam akan tenang dan senang. Malah melihat tumbuhan yang hijau juga satu hiburan dan rawatan yang baik untuk manusia. Bukankah ini hiburan?

Kita tak sedar dalam udara yang kita hirup seharian, cukup Allah Taala uji dengan pencemaran asap kita sudah sesak. Cukuplah asap rokok membuatkan kita tidak senang. Bila menghirup udara yang nyaman terasa senang dan tenang. Ini adalah hiburan yang Allah berikan namun kita tidak menyedarinya. Bila kita bekerja, banyak gunakan tenaga, Allah ciptakan 'letih' sebagai satu kerehatan. Tuhan bagi kita mengantuk itupun ada hiburan. Bayangkan kalau kita tidak mengantuk tapi paksa untuk tidur ini sudah cukup menyiksakan. Mengantuk pun menghiburkan. Bila tidur menyegarkan badan dan segar kembali. Itu hiburan dari Tuhan.

Bertemu manusia, kita meluahkan perasaan, dapat berkongsi rasa. Dia pun meluahkan perasaannya kepada kita. Lega rasanya, itu hiburan dari Tuhan. Tuhan adalah Penghibur Agung. Didatangkan syariat itu sebagai hiburan kedua. Syariat mengajarkan kita, kalau orang bersalah kita maafkan. Tak terhiburkah? Padahal kalau tidak dimaafkan sakitnya perasaan. Jiran kena jaga walaupun bukan Islam, perlu dibuat macam keluarga sendiri. Tak terhiburkah? Bila berkawan, Tuhan kata kena setia. Tak terhiburkah? Bila ada orang menentang kita dalam berdakwah, kita doakan dia. Inilah hiburan untuk mukmin.

Tuhan datangkan Rasulullah untuk menghiburkan manusia. Dengan musuh, kalau mereka tak masuk Islam, Rasulullah biarkan, dengan harapan suatu hari nanti anak cucunya masuk Islam. Kenapa orang Islam hari ini bila berkata tentang jihad, mahu bunuh orang? Dari mana mereka dapat? Dari mana mereka belajar? Para Rasul tiada yang berbuat begitu. Orang bukan Islam jadi takut, orang Islam pun takut.
Allah Taala minta hamba-Nya untuk menghiburkan orang lain. Memaafkan manusia juga adalah hiburan. Orang bersalah bagaimana perasaannya bila kesalahannya dimaafkan dan diampunkan? Tentulah terhibur dengan pengampunan dan kemaafan yang diberikan. Allah berikan anak dan isteri sebagai hiburan, Allah datangkan masalah pun boleh jadi hiburan. Kerana dengan masalah itu mengajar manusia erti kehidupan dan manusia mendapat ilmu dan pengalaman daripadanya, dan itulah hiburan. Pada kebangkitan Islam pertama Rasulullah dan para sahabat adalah pejuang, ertinya mereka adalah penghibur manusia. Selain beri Iman kepada manusia, menyelamatkan manusia daripada Neraka adalah hiburan yang paling besar.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?