PENTADBIRAN ORANG BERTAQWA.

Firman Allah:
   يُدَبِّرُ ٱلْأَمْرَ يُفَصِّلُ ٱلْءَايَٰتِ لَعَلَّكُم بِلِقَآءِ رَبِّكُمْ تُوقِنُونَ

Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).
(Ar-Ra'd (13:2).

Pandangan dan pemerhatian orang-orang bertaqwa terhadap masalah pentadbiran adalah berlainan sama sekali dengan pandangan orang awam biasa. Pendekatan mereka tentang soal pentadbiran bermula dari soal mentadbir diri sehingga membawa kepada persoalan mentadbir alam sejagat ini, yang mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Pemahaman dan pendekatan yang cuba didedahkan dan diperkenalkan oleh orang-orang roh ialah melalui menjiwai Al Quran dan As Sunnah. Perjuangan yang dilagangkan oleh mereka ialah kaedah Rasulullah SAW.

Orang-orang roh (orang bertaqwa), walaupun mereka mungkin dipisahkan oleh batasan masa, suasana ataupun negara, namun corak pemikiran yang diwarisi dari Rasulullah SAW tetap sama. Khulafaur Rasyidin berjaya meneruskan apa yang mereka warisi dari Rasulullah SAW. Zaman khalifah Umar Abdul Aziz dapat mewarisi kepimpinan kebenaran. Kemudian berlaku lagi di zaman Muhammad Al Fateh. Kepimpinan kebenaran yang berlaku pada kebangkitan pertama akan dapat disalin pada kebangkitan Islam kedua. Bagi siapa yang mendekati sejarah Islam akan dapat melihat keseragaman sejak daripada abad pertama Islam hinggalah kebangkitan Islam kedua ini.

Di dalam Al Quran, Allah SWT telah menegakkan bahawa dunia ini hendak diwariskan kepada orang-orang yang soleh. Orang-orang yang beriman akan diserahkan pemerintahan sepertimana Allah pernah menyerahkannya kepada orang-orang mukmin daripada umat Rasul-rasul yang terdahulu. Pentadbiran alam ini dan segala isinya, Allah SWT janjikan untuk orang-orang soleh bukannya untuk orang selain daripada mereka. Sekiranya alam ini ditadbir oleh orang kafir, ini menandakan sesuatu fenomena yang bercanggah dengan Sunnah Allah, maka akibatnya akan lahirlah kerosakan dan kebinasaan di atas muka bumi akibat tindakan manusia yang tidak layak mentadbirnya.


Ketika Rasulullah SAW mentadbir Madinah, kesemua penduduknya hidup dalam aman dan sentosa, baik yang muslim mahupun yang bukan Islam. Malah pentadbiran yang diatur oleh Rasulullah sanggup memberi perlindungan bukan sahaja kepada manusia bahkan kepada selain mereka. Pernah Rasulullah SAW menegur seorang daripada sahabat yang memetik sehelai daun hijau dengan sabdanya, "Mengapa kamu membinasakan makhluk yang berzikir kepada Allah?" Bukan sahaja manusia yang aman daripada dizalimi malah daunpun dapat menikmati hak tersebut.

Pada zaman para sahabat, pernah Sayidina Umar r.a menarik balik arahannya setelah ditegur oleh seorang wanita tua. Malah beliau masih boleh bersyukur apabila seorang sahabat mengatakan bahawa jika Umar tidak berlaku adil maka pedangnya akan membetulkan Umar.

Begitu juga halnya dengan Sayidina Ali k.w. Walaupun beliau merupakan Khalifah, namun beliau telah mematuhi arahan Qadhi yang dilantiknya agar beliau menyerahkan baju besi beliau kepada seorang Yahudi, setelah tidak dapat mendatangkan buktinya; bahawa baju besi kepunyaan beliau. Tindakannya ini menyebabkan Yahudi itu memeluk Islam. Begitulah peribadi kepimpinan Islam.

Begitu murni sekali sikap orang-orang roh bila mereka berada di atas tampuk pemerintahan. Mereka yang menjadi pentadbir di tahap yang paling atas sekali, sanggup menerima teguran dan arahan walaupun teguran dan arahan itu datang daripada rakyatnya sendiri. Ini antara perkara yang sukar didapati pada masa kini.

Dalam soal mentadbir soal-soal ekonomi, seperti Sayidina Abdul Rahman bin Auf telah berjaya melunaskan hutang-hutang saudara seagamanya di kedai-kedai tanpa si berhutang itu mengetahui siapa yang melunaskannya. Mereka berjuang ketika senang dan juga di kala susah. Mereka berjuang tanpa mengira orang puji atau orang keji. Mereka berjuang walaupun diberi gaji atau tidak. Mereka berjuang kerana Tuhan bukan kerana selainNya. Dengan didikan rohani dari seorang guru Mursyid sahajalah, akan depat dibangunkan kembali syariat Islam, syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw.

Popular posts from this blog

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?

APA ITU JIHAD FISABILILLAH?