UMAT ISLAM AKAN MEMASUKI UNIVERSITI ROH (RAMADAN).
"Bulan ramadan bulan bertuah, bulan ramadan bulan Al Quran, bulan ramadan juga bulan maghfirah dan rahmat. Bulan ramadan bulan mujahadah dan bulan Lailatul Qadar. Banyakkan iktikaf 10 malam yang terakhir. Bulan ramadan tambahkan ibadah di malamnya dengan tarawih dan tadarus Al-Quran. Jangan lupa dan jangan lalaikan kerana ia hanya datang setahun sekali. Bulan ramadan bayarlah fitrah untuk membersihkan diri dan harta. "
Lazimnya manusia sangat memberikan perhatian kepada akal dan fikiran, serta menajamkannya dengan ilmu. Dari peringkat awal pra-sekolah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi, supaya menjadi manusia yang pandai dan berilmu. Peluang diberi dengan seribu satu macam cara. Anehnya, tidak begitu sikap manusia dalam menyuburkan roh atau hati rohani. Padahal kesan dan akibat daripada hati atau roh yang tidak dipeduli roh tersebut bukan sahaja mencetuskan berbagai kejahatan dan kemungkaran malah akan diseksa di Neraka Allah SWT kelak.
Firman Allah:
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٍ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا۟ ٱلْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
(Al Baqarah: 185).
Masa telah berjalan begitu cepat. Masa terus membawa kita untuk menyambut ramadan 1436 Hijriah bersamaan 2015 Masihi. Sudah cukup jauh perjalanannya. Sudah banyak kisah yang berakhir tapi masa belum lagi mahu berhenti. Bilakah masa akan berakhir yang akan mengakhiri segala perjalanan makhluk? Hanya Allah sahaja yang tahu, kerana Dialah Pencipta masa dan mengawal perjalanannya. Sedangkan Allah tidak terikat oleh masa. Kita perlu ingat masa di sisi manusia tidak sama. Masa yang beredar menurut ukuran jin tidak juga sama dengan ukuran masa oleh malaikat. Lain alam lain ukuran masanya. Masa yang dipakai di dunia tidak sama dengan jarak masa yang di pakai di akhirat. Satu hari di akhirat sama dengan seribu tahun ukuran dunia.
Maksud firman Tuhan dalam Al Quran, (surah Al Haj : 47)
"Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjiNya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung."
Ambil perhatian dengan masa. Dia adalah suatu kejadian yang cukup besar dan luar biasa. Menjadi pengukur dan penentu kayu ukur perjalanan hidup kita. Allah sendiri bersumpah dengan masa!
Maksud firman Tuhan: "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-Asr : 1-3).
Kini bulan ramadan tahun 2015 bakal datang bertemu kita. Moga ramadan kali ini kita tidak mensia-siakannya lagi. Moga ramadan menjadikan diri kita manusia baru. Ramadan yang benar-benar memproses diri kita menjadi orang baru. Ramadan yang memproses diri kita menjadi pembela Islam. Ramadan yang memberikan azam baru. Ramadan yang membersihkan fikiran kita dari bersangka jahat dengan Tuhan. Ramadan yang menjadikan kita sentiasa positif. Ramadan menjadikan kita pandai mengambil hikmah apa yang berlaku. Ramadan yang benar-benar memberikan kekuatan untuk kebangkitan Islam kali kedua.
Kita sangat beruntung berada di Era kebangkitan Islam kali kedua. Kebangkitan Islam yang akan mengulangi kebangkitan Islam pertama. Kita berada di zaman subsidi dari Tuhan. Buat sedikit hasilnya banyak. Masa ini memberitahu kita bahawa suatu hari nanti, seperti yang sudah ditetapkan oleh Allah, masa untuk kita sudah habis. Hidup ini ada hujungnya. Perjalanan pasti sampai ke distinasi. Masa-lah yang jadi penentunya.
Kalau begitu ramadan tahun ini kita lihat kebelakang dan ke depan, masa ramadan yang sudah kita lalui dan yang akan kita sambut kedatangannya apakah sudah memenuhi maksud serta tujuan latihan kita akan lalui lagi nanti. Mari kita lakukan muhasabah atau postmortem yang sebenar-benarnya agar kita menemukan kebenaran dan kesabaran yang Allah maksudkan itu. Kita teruskan tanam cita-cita untuk membela Islam. Kita perbaharui azam cita-cita tersebut iaitu untuk membela Allah dan Rasul. Kita buat koreksi secara Islam. Bila dapati ada kejayaannya, teruskan lagi. Tapi jika nasib masih malang, jangan diulang. Yang cacat ditampal, yang baik diteruskan, yang belum wujud difikirkan untuk tindakan.
Jika semua warga negara berfikiran begini, setiap kedatangan ramadan benar-benar kita jadikan pusat latihan. Bulan ramadan dijadikan bulan muhasabah, bulan ibadah dan bulan mujahadah. Bangsa dan negara akan jadi maju atas nama Islam. Masyarakatnya mempunyai moral yang tinggi, kerana Tuhan disembah, saling berkasih sayang, bekerjasama, berakhlak mulia, dan berbudi tinggi. Orang yang bukan Islam pun jatuh hati kerana layanan yang menarik hati. Maka akan berlakulah tamadun jasmani, maknawi dan rohani pada bangsa kita.
Inilah natijah bulan ramadan yang telah Abuya tanamkan dan suburkan pada kita. Semangat muhasabah diri dan membaiki diri, keluarga, masyarakat, negeri dan negara. Bangsa yang ada masa depan dan cemerlang, ialah bangsa yang senantiasa memperbaharui azam mereka. Kita yakin kini adalah giliran Islam untuk menerajui empayar dunia sekali lagi.
Institusi Ramadan melatih manusia untuk menyuburkan sifat-sifat malaikat dan melemahkan sifat-sifat kebinatangan. Sifat malaikat dia tidak tahu perkara lain selain hanya taat sahaja pada Tuhan. Bila faham kerja Tuhan manusia akan terhibur dengan apa pun yang Tuhan lakukan keatasnya. Contohnya, orang yang dizalimi manusia yang lain, kerana Allah taala sayang padanya-lah dia dizalimi oleh orang, supaya dia bersabar dan sekaligus menghapuskan dosanya. Bila dia bertaubat maka bertambahlah pahala dan kasih sayang Allah padanya. Lihatlah sejarah para Anbiya dan Mursalin, serta para Auliya dan Solihin.
Kalau kita benar-benar berjaya menerima latihan sepanjang bulan ramadan, kita akan menjadi orang baru iaitu orang roh (bertaqwa). Orang yang sebenar-benar kaya hati bila telah menjadi orang bertaqwa. Bila menjadi orang roh imannya kuat. Keyakinannya kental. Akhirat adalah matlamatnya. Dengan dunia ini, ada atau tidak ada, sama sahaja baginya. Dia tidak merasa bangga dan tidak pula berkecil hati atau cacat hatinya.
Ya Allah, berikanlah kami kekuatan untuk memasuki universiti roh (Ramadan). Tuhan Yang Memberi dan Mencabut kekuasaan dari siapa yang Dia suka, muliakanlah bangsa ini dengan Iman dan Islam. Lepaskan kami dari kehinaan yang menimpa. Wariskanlah kekuasaan kepada orang orang yang bertaqwa yang mereka itu sanggup jadikan hidup mati untuk menyembahMu dan motivasikan manusia untuk mencintaiMu! Amin.