TAWASUL SEBAHAGIAN DARI AHLI SUNNAH WAL JAMAAH.
Konsep tawasul, tabarruk, dan berhubung dengan orang-orang Tuhan adalah teknologi roh termaju untuk insaniah manusia. Ia membantu diri kita untuk berterusan mujahadah terhadap nafsu dan bisikan iblis. Disamping kita berusaha bermujahadah, bertawasul dengan orang-orang Tuhan juga sama seperti doa-doa dan ilmu mereka. Dengan bimbingan dan pimpinan mereka juga dapat membantu meringankan usaha mujahadah kita.
Dalam dunia Islam, ulama-ulama yang menggali dalam bidang akidah atau usuluddin daripada Al Quran dan Sunnah terkenal dengan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Abu Hassan Al Asyaari dan Abu Mansur Al Maturidi, mereka inilah tokoh Ahli Sunnah Wal Jamaah. Perlu juga kita ingat di sini bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah juga kadang-kadang disebut oleh orang Mazhab Sunni. Pegangan ini mula dibukukan oleh seorang ulama besar yang ahli dalam bidang ilmu usuluddin iaitu Syeikh Abu Hassan Al Asyaari. Lahir di Basrah pada tahun 260 Hijrah, dan wafat di Basrah pada tahun 324 Hijrah.
Sezaman dengan Syeikh Abu Hassan tersebut terdapat seorang ulama besar yang juga ahli dalam bidang usuluddin yang bernama Abu Mansur Al Maturidi. Beliau wafat di sebuah daerah di Asia Timur bernama Maturidi dalam wilayah Samarkhan di Rusia. Sekarang telah merdeka dengan nama Uzbekistan.
Pengertian Tawasul secara perkataan:
"Berbuat kebaikan yang mendekatkan dia kepada Allah". - (kamus Arab-Melayu: Prof. Dr. Hj. Mahmud Yunus) Penerbit Klang Book Centre.2006.
“Bertawasul ia kepadanya dengan suatu wasilah (perantara), sama dengan mendekatkan diri ia kepadanya dengan suatu amal”. (Lisanul ‘Arab, Juz XIV: 250)
Dalam Al-Quran ada beberapa tempat yang menyebutkan ‘Wasilah’, salah satunya dari Surat Al-Isra' ayat 5: “Mereka mencari perantara untuk mendekatkan diri kepada Tuhan”.
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah swt dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya". (Al Maidah :35)
Pengertian menurut istilah:
Tawassul atau wasilah ertinya adalah mengerjakan sesuatu amal yang dapat mendekatkan diri kita pada Tuhan. Tawassul juga diperbolehkan dalam berdoa, malah hal ini akan lebih membuat doa tersebut makbul.
Contoh berdoa dengan wasilah (perantara) atau tawassul:
Kita mendatangi seorang ulama yang mulia dan dikasihi Tuhan, lalu kita berkata: "Saya akan berdoa memohon ini dan itu kepada Tuhan, tetapi saya harap pula tuan Guru mendoakan kepada Allah bersama saya, supaya permintaan saya dikabulkannya". Kita berziarah kepada Nabi di Madinah, ketika beliau masih hidup ataupun pada ketika beliau telah wafat, maka kita berdoa di situ dan kitaharapkan agar Nabi Muhammad s.a.w mendoakan kita pula kepada Allah. Ini namanya berdoa dengan tawassul, dengan orang yang masih hidup atau yang telah wafat.
Bertawasul ialah berdoa atau meminta dan berhajat dengan Allah taala dengan menyebut nama para kekasih-Nya. Doa atau amalan itu disandarkan dengan keberkatan orang-orang soleh dan bertaqwa, lebih lagilah berdoa dengan nama baginda Nabi Muhammad saw. Malah dalam sembahyang kita, berselawat itu ialah bertawasul. Iaitu Allah mensyariatkan menyebut nama kekasih-Nya dalam solat. Tidak sah solat tanpa menyebut nama Nabi Muhammad dan Nabi Ibrahim serta keluarga mereka.
Sejak kewafatan Rasulullah SAW hingga kesaat ini, telah lahir dan berkembang di tengah-tengah masyarakat Islam berbagai-bagai aliran aqidah dan pegangan serta pecahan-pecahan nya. Sehingga kalau dihitung aliran-aliran aqidah itu, akan terjumlah ia kepada 73 pecahan yang kesemuanya terkeluar daripada aqidah yang sebenar, kecuali satu-Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini menepati maksud hadis:
"Disebutkan di dalam hadis perpecahan ummat Nabi Muhammad SAW yang terbahagi kepada 73 golongan/kelompok.Semuanya itu akan masuk neraka kecuali satu.Sahabat bertanya "Siapakah golongan yang selamat itu Ya Rasulullah."Nabi kita menjawab."Golongan yang selamat nanti di hari kiamat itu adalah berpegang teguh dengan cara kehidupanku dan juga para sahabat-sahabatku, sebagaimana aku dan juga para sahabat-sahabatku.
Tawasul adalah amalan sunat yang disukai oleh Allah. Buktinya adalah bahwa amalan tawasul ini disebutkan dalam Al Quran dan hadis, serta menjadi amalan para sahabat, tabiin, dan tabiut tabiin. Do'a/permintaan melalui tawasul insya Allah lebih mudah dikabulkan.
Usaha manusia tidak memberi bekas. Hanya Tuhan yang memberi bekas. Oleh itu kita perlu banyakkan berdoa, meminta dan berharap sungguh-sungguh kepada Tuhan agar usaha kita dibantu. Hati-hati manusia di dalam genggaman Tuhan. Hanya Tuhan yang boleh mengubah hati-hati manusia.
Dalam kita berusaha, hati tidak boleh putus dengan Tuhan. Kita tidak boleh terlalu yakin dengan usaha kita walaupun kita dituntut berusaha bersungguh-sungguh. Usaha kita itu syariat dan ia disuruh. Tetapi berjaya atau tidak usaha kita itu adalah ketentuan Tuhan.
Setakat mana kita dapat bersandar dan bergantung harap dengan Tuhan, setakat mana kita betulkan hubungan kita dengan Tuhan, memohon dan merintih kepada-Nya maka setakat itulah nilai sebenar usaha kita di sisi Tuhan.
Di akhir zaman, hanya ada dua pasukan yang diberikan kelebihan iaitu hak dan batil. Pasukan hak merujuk kepada Imam mahdi dan pasukan batil merujuk kepada dajal. Pasukan hak Tuhan mengurniakan kepadanya karamah dan barakah, yang mulanya dialirkan kepada pasukan hak menurut keperluan semasa dan yang ada hubungkaitnya dengan kebangkitan Islam yang di terajui Imam mahdi.
Tawasul (wasilah) adalah salah satu cara untuk menjadi orang bertaqwa. Sejarah menunjukkan bahwa generasi salafussoleh adalah orang-orang yang sangat kuat mengamalkan tawasul.
Perlu kita fahami di sini bahawa pegangan atau keyakinan ini sudah terdapat dalam Al Quran dan Hadis. Sejak Islam mula berkembang hinggalah ke hari ini, umat Islam tidak pernah rehat daripada menghadapi cabaran berbentuk aqidah. Muncul satu demi satu fahaman atau aqidah yang menyelewang dari aqidah yang sebenar, sama ada timbul akibat kejahilan umat Islam sendiri atau yang diasak oleh musuh-musuh Islam secara halus.
Dalam situasi ini, Abuya At-Tamimi telah berjaya mendidik kita dengan membawa aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang jelas dan mampu diimplementasikan dalam segenap bidang kehidupan termasuk dalam ekonomi, siasah, pendidikan, dan sebagainya. Dengan kata lain, beliau membawa fikrah Islamiah yang jelas bersandarkan aqidah yang tepat. Abuya juga memberi ilmu kepada kita tentang tawassul. Melalui bertawasul sebagai penghubung rohani atau teknologi roh dapat menghubungkan kita dengan Rasulullah SAW. Masa dan jarak tidak menjadi penghalang peranan tawassul.
Melalui pegangan dan keyakinan yang jitu, menjadikan kita berjiwa kental dan besar. Seorang yang yakin dan optimistik berjiwa besar dan memiliki cita-cita sangat membantunya menjadi pejuang Islam. Melakukan perjuangan yang akan mengulangi perjuangan kebangkitan Islam pertama. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita berubah minda ke arah yang lebih positif tentang masa depan perjuangan Islam.
Kita telah berpeluang bersama dengan Abuya, dan beliau telah mendidik kita dengan ilmu keyakinan dan mendidik kita untuk berjuang membela Islam. Lebih-lebih lagi dijanjikan melalui lidah Rasulullah SAW bahawa Islam akan gemilang sekali lagi. Kegemilangan Islam pertama telah berlaku dan kebangkitan Islam kali kedua ini akan mengulangi kegemilangan kali kedua. Kini kita akan bersama dengan pimpinan yang bertaraf sejagat. Abuya adalah salah seorang guru tarikat yang perjuangkan tawasul, seterusnya perjuangkan seorang pemimpin kebangkitan akhir zaman yang bakal tiba tidak lama lagi.