PERSIAPAN IKHWAN DAN ASOIB DALAM MENUNGGU JANJI ALLAH.

Kita diminta untuk persiapkan diri dan keluarga dalam menantikan kehadiran pemimpin penyelamat yang ditunggu. Bila kita sibuk membaiki diri, persiapkan diri ke arah kebaikan dan kemajuan akhlak, secara automatik akan melahirkan suasana dan persekitaran yang baik. Ertinya, bila kita sibuk membaiki diri, membaiki keluarga, yang lain akan mengikuti sahaja. Ianya seperti aliran air yang mengalir, yang seterusnya nikmat air itu akan dirasa oleh umat manusia.

Dunia memang sudah rosak, kerana dirosakkan oleh manusia bernafsu rakus, dirosakkan oleh kejahatan manusia itu sendiri. Sebagai umat Islam yang beriman, kita mesti meyakini kebenaran kata-kata Sodiqul Masduq, Rasulullah saw bahawa akhir zaman ini Allah taala akan menghantar seorang penyelamat kepada manusia. 

Dan telah mengeluarkan Abu Daud dan Tabrani dari Abdullah bin Mas'ud daripada Nabi SAW sabdanya - “Kalau tidak tinggal dari dunia kecuali sehari, nescaya Allah panjangkan hari itu sampai diutuskan kepadanya seorang lelaki (Al Mahdi) dari keluargaku sama namanya dengan namaku dan nama ayahnya dengan ayahku dan dia memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman”.

Kita sedang menantikan seorang penyelamat yang akan memerintah dengan adil, yang akan membawa dunia kepada kemakmuran dan keamanan. Sudah seringkali kita diperingatkan akan hal ini. Apakah persediaan kita? Membina gedung-gedung perniagaan yang besar, mengumpul sebanyak mungkin aset atau harta, atau persiapkan diri kita agar layak bersamanya?

Kita semua tahu, bahawa yang akan diserahkan kepada Imam Mahdi nanti bukanlah wang atau harta, yang sedang dipersiapkan untuk penyelamat itu ialah MANUSIA, insaniah manusia itu yang sedang dipersiapkan. Semua kita sangat maklum bahawa Allah taala telah persiapkan harta perbendaharaan yang sangat cukup untuknya. Bila tiba masanya bumi akan keluarkan seluruh khazanahnya untuk beliau, ini tak perlu kita risau. Yang amat dirisaukan sekarang apakah kita benar-benar bersedia? Adakah kita telah persiapkan diri kita? Dan adakah kita benar-benar orangnya yang akan berjuang bersamanya? Kita bukan mahu kembali ke belakang. Di depan kita seorang pemimpin ummah sedang menantikan persiapan diri kita.

Kali ini, penulis ingin berkongsi sedikit mengenai persiapan yang perlu kita lakukan. Antara yang sering dilakukan oleh mursyid kita, Abuya ialah SUJUD. Sujud ketika sembahyang itu maklumlah. Kita sering melihat Abuya itu sujud setelah wiridnya, sujud setelah selesai solatnya, sujud ketika dalam bilik sebelum berekspidisi (ketika masih sihat). Apa erti sujud Abuya ini?


Sujud Abuya ini adalah salah satu bentuk persiapan. Persiapan sebagai pejuang Islam. Persiapan apa? Namun sebagai umat Islam, ilmu tentang sujud ini kita mesti tahu. Ilmu itu penting, ianya membezakan orang alim dan jahil. Kata Nabi saw, orang alim yang melakukan kesalahan lalu bertaubat lebih Allah cintai daripada abid yang jahil (bodoh/tiada ilmu). Lahirlah Barsisa yang matinya sujud pada syaitan kerana kejahilannya walau ibadahnya banyak.

Dalam Islam, selain dalam solat sujud juga boleh dilakukan diluar solat. Ada tiga jenis sujud iaitu,
1. Sujud Tilawah
2. Sujud Syukur
3. Sujud Sahwi.

Apa itu SUJUD TILAWAH? Tilawah ertinya bacaan. Ianya dilakukan kerana membaca atau mendengar ayat-ayat Al-Quran yang tertentu. Iaitu ayat yang mengandungi perkataan sajadah, iaitu sujud. Maka kita digalakkan untuk sujud bila mendengar atau membaca ayat-ayat ini. Kini, setiap Al-Quran, ayat-ayat sajadah ini akan digariskan perkataannya sebagai memudahkan. Hukum sujud tilawah pula ialah Sunat Muakkad, iaitu sunat yang dituntut. Sujud Tilawah juga dikenali dengan Sujud Sajadah.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah saw telah bersabda, "Apabila anak Adam membaca ayat sajadah lalu dia sujud, maka syaitan jatuh lalu menangis. Katanya, "Celaka Aku! Anak Adam disuruh sujud lalu dia sujud, maka mendapat syurga. Aku disuruh sujud dan aku menolak maka aku mendapat neraka." - (HR Bukhari dan Muslim)

Daripada Umar RA, "Pada satu hari Jumaat, Rasulullah saw me,baca surah An-Nahl di atas mimbar. Maka ketika pada ayat sajadah baginda turun daripada mimbar lalu bersujud, para hadirin pun melakukan hal yang sama. Pada jumaat berikutnya baginda saw membaca surah yang sama dan berkata, "Wahai manusia! Sebenarnya kita tidak diperintahkan (diwajibkan)  sujud tilawah.  Tetapi sesiapa bersujud dia melakukan yang benar dan siapa yang tidak buat dia tidak melakukan dosa." - (HR BUKHARI) 

SUJUD SAHWI pula ialah sujud yang dilakukan kerana tertinggal rukun dalam solat atau sunat Ab'ad, seperti Tahiyyat Awal dan Qunut. Adapun erti SAHWI itu ialah lupa atau lalai. Jika sujud tidak dilakukan solat tidaklah batal, kerana ia tidak termasuk dalam syariat yang diwajibkan. Sujud Sahwi dilakukan sebelum salam, iaitu ketika selesai bacaan tahiyat dan selawat dalam tahiyat akhir. Adapun mereka yang lupa dan teringat ketika selesai solat, maka cepat-cepatlah sujud sahwi.

Adapun dalil disyariatkannya sujud sahwi ini ialah sebuah hadis riwayat Al-Bukhari (1169), dari Abu Hurairah RA, dia berkata:

 صَلَّى بِنَاا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَاَوِالْعَصْرِ، فَسَلَّمَ، فَقَالَ لَهُ ذُوْالْيَدَيْنِ: الصَّلاَةُ يَارَسُوْلُاللهِ، اَنَقَصَتْ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اَحَقُّ مَايَقُوْلُ؟ قَلُوا نَعَم، فَصَلَّى رَكَعَتَيْنِِ اُخْرَيَتَيْنِ، ثُمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ 

Nabi SAW melakukan solat Zuhur dan ‘Ahar bersama kami, lalu memberi salam. Maka berkatalah Dzul Yadain kepada baginda: “Solat ini, ya Rasulullah, apakah berkurang? Nabi SAW bertanya: “Benarkah apa yang dia katakan?” Para sahabat menjawab: “Ya”. Maka baginda melanjutkan solat dua rakaat lagi, kemudian bersujud dua kali.


Imam Muslim telah meriwayatkan dari Abu Sa’id RA, dia berkata: Sabda Rasulullah SAW:

 اِذَاشَكَّ اَحَدُكُمْ فِى صَلاَتِهِ، فَلَمْ يَدْرِكَمْ صَلَّى، ثَلاََثًا اَمْ اَرْبَعًا، فَلْيَطْرَحِ اشَكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَااسْتَيْقَنَ، ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ اَنْ يُسَلِّمَ، فَاِنْ كَانَ صَلَّى خَمْسًا شَفَعْنَ لَهُ صَلاَتُهُ، وَاِنْ كَانَ صَلَّى اِتْمَامًا ِلاَرْبَعٍ كَانَتَا تَرْغِيمًا لِلشَّيْطَانِ 

Apabila seorang dari kamu ragu-ragu dalam sembahyangnya, yakni tidak pasti sudah berapa rakaat solatnya, tiga atau empat, maka hendaklah dia membuang keraguan itu, dan peganglah apa yang dia yakini, kemudian bersujudlah dua kali sebelum salam. Jika ternyata dia solat sudah lima rakaat, maka rakaat-rakaat itu menggenapkan baginya pahala sembahyangnya. Dan jika ternyata dia solat sempurna seperti empat rakaat, maka dua sujud itu merupakan penghinaan terhadap syaitan. 

Jika keraguan itu datang selepas selesai solat, ia tidaklah mempengaruhi sembahyangnya melainkan keraguan itu tentang niat dan takbiratul ihram, maka dia kena mengulangi sembahyangnya.

Adapun kelalaian makmum semasa dia mengikuti imam – umpamanya, terlupa atau tidak sempat tasyahud (tahiyyat) awal- ini adalah menjadi tanggungan imam. Makmum tidak perlu sujud sahwi sesudah imam mengucapkan salam. Dalilnya ialah sabda Nabi SAW:

 اْلاِمَامُ ضَامِنٌ (رواه ابن حبان وصححه 362) 

"Imam itu penjamin." (Hadits diriwayatkan dan disahkan oleh Ibnu Hibban: 362).

SUJUD SYUKUR pula ialah sujud yang dilakukan tanda kesyukuran dan berterima kasihnya seorang hamba kepada Allah taala. 


 عن ابى بكرة انّ النّبيّ صلّى الله عليه وسلّم كان إذاأتاه أمر يسرّه أوبشرى خرّ ساجدا شكرالله .

Ertinya: "Dari Abu Bakrah: Bahwa Nabi Muhammad saw. apabila datang kepada baginda sesuatu yang menggembirakan, atau khabar gembira, baginda terus sujud semata-mata berterima kasih kepada Allah." (HR. Abu Daud)

Sujud ini dilakukan melambangkan atau simbol seorang hamba. Orang yang sombong tidak akan sujud, tidak akan merendah diri sekalipun di hadapan Tuhan, Allah taala. Sujud Syukur dilakukan dalam keadaan suci, iaitu suci dari keadaan hadas kecil dan besar. Ia membuktikan kita berterima kasih kepada Allah samada diberikan sesuatu yang menghiburkan atau terlepas daripada bala dan bencana. 

Sujud ini tak perlu disuruh, ianya spontan dilakukan, bila-bila dan dimana sahaja. Kerana itulah dinamakan sujud syukur, iaitu tanda kesyukuran selaku hamba. Bila melakukan sujud ini, menandakan kita merasakan bahawa kita adalah hamba, yang sangat-sangat patut berterima kasih kepada Tuhan.

Maksud firman Tuhan, "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (An-Nahl :18).

Melalui sujud juga seorang hamba lahirkan rasa syukur, kerana Allah beri panduan bagaimana menjalankan tugas KHALIFAH ALLAH ke atas muka bumi ini. Hal ini dinyatakan di dalam Quran dan Sunnah, dibenarkan juga oleh akal dan hati manusia. Dengan menyembah dan beribadah kepada Allah, iaitu taat setaat taatnya kepada Allah dan kita berusaha mendapatkan dari Allah keselamatan dunia dan akhirat.

Ketika melakukan sujud syukur, hendaklah membaca doa berikut ini.

 رَبِّ اَوْزِعْنِي اَنْ اَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِيْ اَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَلِدَيَّ وَاَنْ اَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَهُ وَاَصْلِح لِيْ فِى ذُرِّيَّتِيْ اِنِّ تُبْتُ اِلَيْكَ وَاِنِّيْ مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ 

Ertinya: "Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat- Mu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku, dan agar aku dapat berbuat kebaikan yang Engkau redhai, dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada zuriatku (anak cucuku dan keturunanku). Sungguh aku bertaubat kepada Engkau dan sungguh aku termasuk orang muslim." (Q.S. Al-Ahqaf: 15)

Jadi, inilah ilmu mengenai sujud dan falsafahnya, iaitu melahirkan manusia berwatak hamba. Watak yang sebenar yang perlu ada pada diri seorang hamba. Kerana inilah Abuya yang kita lihat sering sujud jika berpeluang. Inilah persiapannya, iaitu melahirkan sifat hamba dalam diri manusia. Inilah yang perlu kita buat, bukan sekadar sujud tanpa ilmunya dan perasaanya.

Tujuan ilmu untuk melahirkan perasaan yang terpimpin, perasaan yang benar, bukan yang direka-reka akal dan nafsu. Jika dari akal yang dipimpin nafsu, natijahnya berlawanan dengan syariat Allah walau mulut memuji dan memuja Allah. Sebab itu palsu, dusta, dibuat-buat untuk menarik manusia pada diri bukan pada Tuhan. Inilah yang berlaku pada pendakwah dan mereka yang merasakan diri pejuang. Hakikatnya memuja diri bukan memuja Allah. Tertipu dengan amalan. Kerana itulah kita diminta melahirkan rasa hamba dari ibadah kita, agar kasih sayang terbina dan bertaut kembali antara kita sesama kita. Kasih dan sayang akan lahir di kalangan mereka yang punyai rasa hamba. Ia bukan dibuat-buat tapi hasil ibadah.

Sujud adalah simbol kehambaan. Rasa kehambaan di dalam hati kita pula, termasuklah rasa malu, berdosa, bersalah, lemah, dhaif, bergantung harap dan sebagainya kepada Allah. Kita diminta merasa kerdil dan Tuhan suka kita merasa takut kepada-Nya. Tuhan suka kita merasa cinta kepada-Nya. Rasa bertuhan termasuklah rasa Allah Maha Hebat, Agung, Perkasa, Maha berkuasa, Maha Pemurah, Maha Penyayang, dan sebagainya. Itulah rasa-rasa yang sepatutnya ada di dalam hati kita. Mengekalkan rasa hamba itu adalah kewajipan kita sebagai hamba Allah. Orang yang tidak dapat mengekalkan rasa-rasa kehambaan ertinya dia telah lalai, sombong dengan Tuhan. 

Inilah falsafah sujud. Inilah salah satu daripada persiapan menunggu pemimpian yang Allah janjikan di akhir zaman. Andai kita tidak berpeluang menemuinya, bukan bererti kita gagal atau tidak berjaya. Apa yang penting kita sedang melakukan usaha taqwa, usaha menjadi mereka yang dicintai Allah taala. Kita sangat perlukan penyelamat, kita sangat perlukan Imam Mahdi. Dunia sudah tidak selamat lagi. Hadis-hadis Nabi didhaifkan sesuka hati, hingga satu masa nanti Al-Quran sendiri akan ternafi. Sebab itu kita sangat perlukan pemimpin bertaraf ummah, yang pernah Rasul saw sabdakan.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?