MALAYSIA REBUTAN ANTARA KEBENARAN & KEBATILAN.

Malaysia kini menjadi rebutan antara kebatilan yang diterajui oleh Dajjal dan kuncu-kuncunya dan kebenaran pula diterajui oleh Fata At Tamimi, di ikuti dengan Imam Mahdi dan disempurnakan oleh Nabi Isa AS. Sejarah telah membuktikan bahawa Timur Tengah pernah menjadi pusat empayar Islam. Sejarah juga menjadi saksi Benua Afrika pernah menjadi pusat empayar Islam. Sejarah juga telah merakamkan Eropah pernah menjadi pusat pentadbiran empayar Islam. Di era kebangkitan ini, Bumi Timur khususnya Malaysia mendapat perhatian dunia.


Apa yang berlaku pada Etnik Rohingya sekarang, dan kelemahan umat Islam sedunia menyentak hati Kita untuk berfikir – Bilakah Penyelamat akan muncul? Sebagai seorang yang mengaku beragama Islam, sepatutnya kita menyedari dan mengakui sungguh-sungguh bahawa kemunculan Imam Mahdi tetap akan berlaku apabila masanya tiba.

Bagaimanapun, berita mengenai kedatangan Imam Mahdi ini tidak sepatutnya menghalang kita sebagai seorang Islam daripada menunaikan tanggungjawab kita kepada Allah SWT, yang lazim kita sebut sebagai Hablumminallah. Amal ibadat kita hendaklah terus-menerus diperkemas dan diperindahkan zahir dan batinnya, termasuk seni-seninya yang halus-halus itu. Juga tidak patut menjadi penghalang kepada kita daripada menegakkan keadilan, menentang kezaliman dan mendidik umat tentang Islam. Juga tidak boleh menjadi penyebab yang menghalang kita daripada terus mencari kehidupan yang lebih baik. Mustahil semasa menanti Imam Mahdi, semua kegiatan kita diberhentikan begitu sahaja. Kita hendaklah terus-menerus berusaha memperbaiki hubungan kita sesama manusia, menurut apa yang dituntut dalam Hablumminannas.

Hanya golongan yang sesat sahaja yang bersikap pasif, mundur dan tidak berbuat apa-apa semasa mereka menanti kedatangan Imam Mahdi mereka.

Golongan yang benar dan dibantu oleh Allah, tidak akan duduk diam sepanjang penantian mereka. Merekalah orang yang paling maju pada zamannya, orang yang paling cerdik pada zamannya dan orang yang paling bertaqwa pada zamannya. Ini dikeranakan, menanti Imam Mahdi muncul bererti mereka terpaksa bekerja lebih masa untuk membangunkan tapak daulah untuk kedatangannya, paling cerdik dalam menyusun strategi perjuangan kerana Imam Mahdi akan zahir dan berjuang menentang kuasa Barat dan paling bertakwa kerana Imam Mahdi mereka adalah orang yang paling bertaqwa kepada Allah, di samping merupakan syarat utama untuk mendapat bantuan terus dari Allah.

Merekalah orang yang paling maju dunianya, paling maju akhiratnya, paling maju agamanya, paling maju fikiran dan akalnya, paling maju rohaniahnya dan paling berjaya hidupnya. Roh Islam itu ada pada mereka, dan merekalah penghidup sebenar bagi roh Islam pada zaman itu. Merekalah golongan yang paling kenal Tuhannya dan paling sensitif hatinya terhadap Tuhan. Roh merekalah yang paling akrab, cinta dan takut dengan Tuhan.

Maksud hadis:
Daripada Sa’ad bin Abi Waqash r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak akan terjadi kiamat, sebelum muncul suatu golongan yang mencari makan melalui lidah-lidah mereka, seperti lembu yang makan dengan lidah-lidahnya"- (Riwayat Ahmad).

Tidak akan berlaku pada satu-satu kurun itu dua kumpulan kerohanian yang boleh menghidupkan roh Islam secara serentak. Hanya salah satu sahaja daripadanya yang akan benar-benar mampu dan diberi keupayaan untuk menghidupkan roh Islam. Yang satu lagi hanyalah bersifat pengekor, atau menumpang rahmat roh Islam pihak yang satu lagi itu.

Abad demi abad terus berlalu, sejak dari Zaman Kenabian hinggalah ke hari ini. Banyak peristiwa yang disebutkan telah pun berlaku dan terjadi, satu demi satu. Dan adalah berkemungkinan bahawa banyak lagi peristiwa lain yang akan terus berlaku sebelum Imam Mahdi itu muncul.

Kemunculan tiga orang tokoh pemimpin Islam secara berturut-turut yang didahului oleh Putra Bani Tamim, diikuti tidak lama kemudiannya oleh Imam Mahdi dan seterusnya diikuti pula oleh Nabi Isa AS adalah sebagai pelengkap kepada kecemerlangan umat Islam seperti yang pernah dihayati oleh umat Islam pada peringkat awalnya dahulu.

Ketiga-tiganya saling kait-mengait dan saling perlu memerlukan. Nabi Isa AS misalnya tidak akan muncul melainkan setelah munculnya Dajjal. Dajjal pula tidak akan muncul melainkan setelah munculnya Imam Mahdi dan Imam Mahdi pula memerlukan Putra Bani Tamim sebelum beliau boleh muncul.

Mana-mana orang Islam yang sampai tergendala tugasan hariannya hanya semata-mata kerana menantikan ketibaan si penyelamat, sebenarnya telah melakukan satu kesilapan yang amat besar. Yang demikian adalah suatu salah faham yang sangat besar terhadap konsep Imam Mahdi itu sendiri. Mereka telah meninggalkan kewajipan-kewajipan yang dituntut oleh al-Quran dan hadis.

Semata-mata mengharapkan kedatangan Imam Mahdi ke hadapan kita dan seterusnya beliaulah pula berseorangan mahu membetulkan seluruh keadaan dunia hari ini adalah silap besar, melainkan jika Imam Mahdi sudah benar-benar wujud di depan mata kita dan sedang memerintah dunia. Apa peranan kita sebagai pembantu atau pengikut Imam Mahdi? Sayang seribu kali sayang, itulah fenomena yang berlaku kepada kita pada hari ini.

Selagi peribadi unggul yang bergelar Imam Mahdi itu belum benar-benar muncul, kitalah yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap keadaan hidup kita pada hari ini. Baik atau buruknya, kitalah yang menanggungnya. Tidak boleh meletakkan kesalahan itu kepada mana-mana individu. Oleh itu, kenalah kita yang berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki diri, mengamalkan ajaran Islam dalam diri sendiri, keluarga, jiran tetangga, masyarakat dan negara. Itulah sebenarnya sumbangan kita kepada Islam dan sumbangan itu, walaupun kecil pada pandangan kita, amat besar nilainya pada sisi Allah SWT.

Namun, menafikan terus kedatangan Imam Mahdi juga adalah pandangan yang menampakkan keegoan kita dan cuba menutup kelemahan dan kekurangan diri sendiri. Langsung tidak percaya kedatangan Imam Mahdi adalah sifat orang yang ego dan tidak berilmu yang mendalam. Menyuruh umat Islam bekerja sendirian tanpa perlu mengharapkan ketibaan si-penyelamat adalah pendapat palsu. Pendapat ini adalah ‘diimport masuk’ dari pendapat Zionis terhadap orang-orang Yahudi. Sekuat mana pun kita berusaha dan bertawakal, tidak akan berjaya juga. Hanya orang pilihan Allah sahaja yang mampu membawa seluruh umat Islam ini ke mercu kejayaan, sebab dia dibantu secara langsung oleh Allah.

Menuduh konsep Imam Mahdi berasal daripada Syiah adalah menampakkan kedangkalan ilmu orang yang berkata demikian kerana yang sebenarnya Syiahlah yang meniru konsep Imam Mahdi Ahlus Sunnah dengan cara mereka-reka hadis palsu, membuat-buat cerita khayalan dan memasukkan juga unsur-unsur Majusi di dalamnya. Ini mungkin sahaja berlaku kerana mereka ingin mendapatkan pengaruh yang cepat daripada orang-orang Parsi yang baru dikalahkan oleh Islam itu, agar dendam mereka terhadap orang-orang Arab yang menjatuhkan kerajaan Majusi Sasanid Parsi itu dapat dikurangkan.

Yang menuduh ini juga adalah orang yang keliru antara konsep Imam Mahdi Ahlus Sunnah dengan konsep Imam Mahdi Syiah sehingga tidak dapat membezakan antara kedua-dua jenis Imam Mahdi itu. Orang yang sebegini sepatutnya memperdalamkan lagi ilmunya terhadap persoalan yang dihadapinya sebelum boleh mengeluarkan kata-kata, agar tidak digelakkan orang pada kemudian hari.

Ketiga-tiga pemimpin besar pada akhir zaman iaitu Putra Bani Tamim, Imam Mahdi dan Nabi Isa AS adalah orang-orang yang sudah Allah SWT tunjukkan kepada kita untuk kita ikuti sebagai pemimpin kita. Mereka yang akan diberikan kemampuan oleh Allah untuk membawa seluruh umat Islam ke mercu kejayaan seperti yang pernah berlaku pada zaman Nabi SAW dan Khulafau-Rasyidin dahulu. Maka beruntunglah orang-orang yang dengan segera dapat menangkap dan memahami hal tersirat ini.

Mereka bertiga inilah yang kelak akan membangunkan semula Islam sehingga seluruh umat Islam akan menjadi tuan kepada seluruh dunia, seperti yang pernah dikecapi oleh para Sahabat RA dan tabiin RH dahulu. Bukan sebarang orang dapat membawa Islam ke kemuncak kejayaan, rohani dan lahiriah, seperti yang benar-benar dituntut oleh agama kita ini. Orang-orang yang telah ditunjuk dan diturunkan oleh Allah untuk tugas itu sahaja yang akan Dia berikan kejayaan dalam tugas maha besar mereka itu. Merekalah dalam Firman Allah:

وَٱلسَّٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَٰنٍ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّٰتٍ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. (At-Taubah,9:100).

Malaysia adalah kawasan strategik ini semakin menarik perhatian dunia, baik dalam aspek politik, ekonomi, kebudayaan, akademik terutamanya kebangkitan Islam sekali lagi. Kesempatan ini Suara Haramain memetik maksud firman Allah:

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
(Ali -Imran'3:140).

Suara Haramain mengajak bicara ilmu, giliran bumi Timur yang di terajui Melayu menerajui empayar dunia. Malaysia dari aspek perkembangan agama khususnya Islam pada kurun moden. Diakui ramai pengkaji, Asia Tenggara moden khususnya Malaysia adalah sebuah kawasan dimana pengamalan Islamnya menunjukkan dynamik bertenaga dan berkekuatan serta mampu membuat penyesuaian serta mencetuskan pembaharuan dan kemajuan: pembangunan masyarakat yang sangat menarik. Menurut salah seorang tokoh pemikir berpengaruh dari Saudi, Syaikh Fahad Assyammari "Apa yang ada di Amerika, ada di Malaysia. Tetapi apa yang ada di Malaysia tiada di Amerika". Maksudnya kemajuan yang ada di Amerika berlaku di Malaysia, namun perkembangan dan kemajuan Islam di Malaysia tiada di Amerika.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?