MINDA PEJUANG ISLAM MESTI KEHADAPAN.
Firman Allah:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
Secara bahasa kata “dakwah” berasal dari bahasa Arab yang mempunyai erti panggilan, ajakan, dan seruan. Sedangkan dalam ilmu tata bahasa Arab, kata dakwah adalah bentuk dari isim masdar yang berasal dari kata kerja (دعا, يدعو, دعوة) yang membawa ertinya menyeru, memanggil, dan mengajak.
Laluan dakwah di Malaysia bermula dari bawah, iaitu dengan wujudnya badan-badan dakwah, jemaah-jemaah tarikat kecil di kalangan masyarakat. Kemuncaknya sekarang dakwah sudah tidak asing lagi bahkan menjadi program yang dianjurkan oleh pihak pemerintah. Kemudahan yang ada pada kerajaan merancakkan lagi kebangkitan dakwah. Program dakwah kini menggunakan pelbagai saluran, seperti media masa arus perdana dan media sosial. Kerajaan sendiri sering menjadi penganjur program dakwah di peringkat antarabangsa. Kini aktiviti dakwah menjadi viral dalam masyarakat.
Angin dakwah telah mula bertiup di Nusantara ini pada tahun 1970-an, kira-kira 40 tahun yang lalu. Kemudian angin dakwah yang berhembus lembut itu telah mencetuskan ombak dakwah yang kian lama kian ketara. Kian lama kian dirasakan. Makin ramai memperkatakan Islam dan rela dikaitkan dengan kebangkitan Islam. Ombak dakwah terus juga berkembang. Makin hari makin tinggi ombaknya. Makin disekat badan dakwah makin banyak bercambah bagaikan cendawan tumbuh. Boleh dikatakan ombak dakwah kini menjadi tsunami dakwah Islamiah.
Laluan dakwah di Indonesia pula bermula dari pihak atasan. Bilamana Bapa Presiden Indonesia sendiri iaitu Suharto pada ketika itu mendapat hidayah dengan azam baru bila pulang dari mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah. Titik perubahan mula berlaku dalam kehidupan Suharto sebagai Presiden Indonesia. Abuya mendapat laluan mudah berdakwah ke Indonesia. Seluruh pelusuk Indonesia telah Abuya terokai untuk berdakwah pada ketika itu, sekitar awal 80an hingga awal 90an.
Cuba kita kaji perjuangan kita hari ini. Selama kita berjuang, berapa ramai yang telah masuk Islam di tangan kita. Jika makin lama kita berjuang makin ramai yang bermusuh dengan Islam dan benci dengan sikap para pejuang Islam, maka kita kena kaji semula uslub perjuangan kita. Mungkin ada yang tidak kena. Takut-takut sudah tidak selari dengan prinsip perjuangan Rasulullah saw. Janganlah sampai kita yang menjadi pejuang yang tertipu dan menipu. Marilah kita kembalikan kegemilangan perjuangan Rasulullah dan para Sahabat agar ramai yang tunduk dan tertawan dengan akhlak para pejuang bukannya makin benci dan lari dari Islam melihat kelaku pejuangnya!
Apa yang terjadi di Malaysia iaitu pesatnya perkembangan dakwah. Inilah bukti kebangkitan Islam sekali lagi untuk akhir zaman. Ia merupakan berita gembira untuk umat Islam dan juga bukan Islam. Kegemilangan Islam yang akan berlaku ini membawa keamanan, kedamaian dan kemakmuran kepada seluruh dunia. Bukan sahaja umat Islam bertuah dengan kedatangannya bahkan orang bukan Islam pun dapat menerimanya kerana fitrah manusia suka kepada kebaikan, kasih sayang, keamanan dan keharmonian.
Sepanjang zaman, generasi demi generasi telah mencuba agar setiap apa yang Rasul janjikan untuk akhir zaman itu berlaku kepada mereka. Namun hingga sekarang ia belum jadi kenyataan. Walau apa pun, tanda-tanda berlakunya janji tersebut di zaman ini nampaknya semakin terserlah. Maka bagi Abuya, ini adalah peluang yang Allah rezekikan kepada orang Islam Malaysia, yakni orang Melayu, untuk menagih janji Tuhan itu. Bagi orang bukan Islam, mereka tidak perlu takut dan bimbang bahkan sebenarnya mereka nanti akan turut gembira dan menerimanya dengan senang hati kerana kebangkitan itu membawa kepada keamanan, kedamaian dan kemakmuran. Mereka juga turut terbela dan selamat berada di bawah naungannya.
Hadis menyatakan bahawa kebangkitan semula Islam akan bermula dari sebelah Timur. Kita dididik oleh Abuya ingin membuktikan kebenaran itu. Kini setelah 47 tahun perjuangan, pengaruh perjuangan Abuya telah berpengaruh hampir keseluruh dunia dengan pembangunan rohani dan tamadun materialnya yang semakin mantap. Sesungguhnya, prestasi ini menjanjikan era yang lebih gemilang untuk Islam masa akan datang.