MUHASABAH AWAL RAMADHAN 1436H.
Maha Suci Allah yang mengetahui segala isi hati manusia. Yang tidak melihat akan amalan-amalan lahir tapi apa yang ada di dalam hati. Yang menilai hamba-Nya mengikut apa yang termampu oleh hamba-Nya dan tidak lebih dari itu. Yang menguji manusia dengan kesusahan dan nikmat untuk mengetahui siapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang benar-benar berjiwa hamba dan merasakan bahawa Allah itu Tuhannya.
Jangan rasakan ibadah yang dilakukan akan dapat membeli Syurga. Seolah-olah bila setiap kali beribadah, hati merasa lebih baik dan lebih mulia hingga rasa diri tidak layak bergaul atau berjalan bersama orang yang hina dan berdosa. Lebih-lebih lagi kita berada di bulan Ramadhan ini, janganlah hanya memandang pada amalan lahir semata. Sesungguhnya amalan lahir ialah hasil atau buah dan natijah daripada amalan hati hati kita. Ibadah yang berkesan itu melahirkan jiwa dan peribadi yang mulia. Semakin beramal ibadah semakin rasa diri baik dari manusia lain, rasa diri hebat dengan amalan yang ada, itu ertinya ibadah kita tidak berkesan malah melahirkan perasaan ujub dan riak yang Allah tidak suka.
Maksud Hadis Nabi saw,:
ألا إن فالجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد جسد كله ألا وهي القلب.
"Ingatlah sesungguhnya di dalam tubuh ada segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya dana apabila ia buruk maka buruklah seluruh tubuhnya, ingatlah ia adalah hati" ( Bukhari dan Muslim.)
Hati adalah panglima, yang mengatur tentara-tentaranya (fizikal manusia). Ia memerintah anggota tubuh lainnya untuk berbuat atau tak berbuat sesuatu. Iblis dan syaitan yang dirantai oleh malaikat atas perintah Allah taala kerana mereka menyerang hati-hati manusia. Iblis dan syaitan tidak menyerang jasad lahir manusia tetapi menyerang nadi manusia itu sendiri iaitu hatinya. Iblis dan syaitan yang bersifat ghaib ini menyerang jiwa manusia (hati) yang ghaib itu. Itulah sasaran mereka. Tidak pernah kita dengar manusia mati diperangi syaitan, tapi hasilnya kita maklum bahawa ramai manusia tewas dan akur dengan asakan dan bisikan syaitan, dibantu pula hawa nafsu yang selaku penjahat dalam diri manusia itu sendiri. Berjaya syaitan menguasai hati manusia, maka fizikal-fizikal yang lain hanya menurut perintah sahaja.
Maksud firman Allah : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung dengan (Allah) TUHAN sekalian manusia. "Yang Menguasai sekalian manusia, "Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, "Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, "Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, - "(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia". (An-Naas,114:1-6).
Dan pada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi saw. menjawab, "Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, (6) hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalim". (Riwayat Hakim)
Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah saw. tadi telah banyak kita lihat di kalangan kaum muslimin di hari ini. Di sana sini kita melihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat dengan ganasnya. Dunia Islam dilanda krisis rohani yang sangat tajam dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari dan menimbun harta benda sebanyak-banyaknya untuk memuaskan hawa nafsu. Maka apabila hawa nafsu diperturutkan tentunya mereka terpaksa menggunakan segala macam cara dan tipu helah. Di saat itu, hilanglah nilai-nilai akhlak dan yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, hasud-menghasud dan sebagainya. Marilah kita merenung maksud hadis ini, dan marilah kita bermuhasabah!
Inilah yang melanda negara tercinta kita Malaysia. Semakin hari semakin terserlah kebusukan dan kejijikan hasil daripada tangan-tangan manusia yang dikuasai nafsu. Yang lemah pula kerana hati-hatinya pun dikuasai nafsu dan syaitan, mengamuk tidak tentu hala - haru birulah di media sosial menghentam sesiapa yang mereka tidak suka. Inilah hasil serangan dan bisikan syaitan dan iblis, yang bekerjasaman dengan nafsu yang sememangnya ada dalam diri manusia.
Di bulan Ramadhan ini, Allah taala membongkar diri-diri manusia. Andai 11 bulan yang lain kita menyalahkan syaitan kerana kejahatan dan maksiat yang dilakukan, di bulan ini Allah serlahkan kejahatan itu hakikatnya datang dari siapa. Ini yang menakutkan kita! Rupanya kejahatan itu hasil dari kehendak hati manusia itu sendiri!
Sempena bulan yang mulia ini, bulan pengampunan dan bulan yang Allah terima doa-doa hamba-Nya, marilah kita perbanyakkan amalan-amalan kebaikan dan kebajikan. Perbanyakkan amalan lahir dan batin. Banyakkan membaca Al-Quran, walaupun tidak difahami sudah diberikan pahala, apatah lagi membaca dengan kefahaman dan penghayatan, tentulah melahirkan manusia yang berbeza. Membaca ayat-ayat suci Al-Quran dalam bahasa arab dapat melembutkan hati kita, kerana bahasa Arab itu sendiri bahasa syurga, bahasa Nabi kita, Nabi Muhammad saw. Memang kita tidak sedar, namun hasilnya memberi kesan yang besar buat diri manusia.
Saintis yang mengkaji Quran sendiri mengakui kehebatan Quran, walaupun hanya rakaman suara apabila dipasangkan pada air berubah molekulnya, menjadikan tindak balas tenaga positif yang sihat, yang diperlukan manusia. Inikan pula diperdengarkan pada manusia malah manusia itu sendiri membacanya, sudah tentu memberikan hasil yang positif. Itulah kelebihan Al-Quran, membaca dalam bahasa Arab pun mendapat pahala walau tanpa faham maksudnya, apatah lagi membacanya dengan kefahaman dan memberi penghayatan.
Baca Quran yang dijiwai sesungguhnya akan menemukan khabar gembira, ada amaran, suri teladan, kesedaran dan keinsafan. Pemikiran yang agung, global dan praktikal hanya oleh Al Quran. Membacanya di bulan Ramadhan, ertinya membangunkan suatu pemangkin yang cukup kuat untuk mengalahkan nafsu dan pengaruh syaitan dalam diri manusia. Bila nafsu kehaiwanan dapat dikalahkan, manusia akan mendapatkan kemanusiaannya semula. Masyarakat kita akan berwibawa semula! Ibadah tambahan lainnya akan jadi ringan untuk dilaksanakan dan akan membuahkan akhlak yang luar biasa. Allah SWT memerintahkan puasa Ramadhan adalah semata-mata untuk bertaqwa kepadaNya. Yakni dengan melakukan overhaul dan baik pulih kepada jiwa, fikiran dan fizikal.
Kita sebagai penghuni bumi, khususnya rakyat Malaysia sudah tentu mahukan keamanan dan kemakmuran, hidup yang senang, damai dan tenteram. Ini bukan setakat memerlukan usaha lahiri tetapi sangat bergantung kepada usaha batin, usaha dan kerja hati. Jika berharap pada usaha lahiri atau pembangunan lahiriah sudah sepatutnya Amerika adalah negara teraman, terdamai, selamat, namun realitinya tidak! Setiap hari berlaku kejahatan, pembunuhan bersenjata tidak dapat dikawal, di sekolah, di rumah, di mana-mana manusia ketakutan, andai tidak dibunuh akan dirompak, dirogol, diculik dan 1001 macam lagi kejahatan. Sedangkan di sanalah berlaku kemajuan lahiriah yang paling maju di atas muka bumi. Rupanya itu bukan jaminan.
Kita tidak mahu negara kita tercinta menjadi seperti itu. Nampaknya Allah sedang melakukan pembersihan, kejahatan ahli politik, orang-orang zalim semakin hari semakin terbongkar! Bagaimana mahu menutup bangkai gajah dengan sehelai daun pisang dan potongan timun? Kebodohan ahli politik semakin terserlah, hidup memuaskan nafsu dari hasil titil peluh rakyat menderita. Inilah yang Allah lakukan, Malaysia hendak dibersihkan disemua lapisan. Kita mengharapkan Ramadhan ini dapat membersihkan hati-hati kita sekaligus membersihkan negara kita tercinta.
Ramadhan kali ini kita penuhi dengan amal kebaikan, diisi dengan sifat-sifat mahmudah dan meninggalkan sifat-sifat mazmumah. Semoga di bulan ini hati kita dihubungkan dengan para auliya dan solihin, menyalin peribadi sahabat, menyalin akhlak nabi-nabi. Semoga Ramadhan ini menjadikan kita manusia yang baru.