IMAN ADALAH SESUATU YANG SANGAT BERHARGA DAN UTAMA.

Sesuatu yang berharga dan istimewa sudah tentu akan dikongsikan dengan mereka yang rapat dan terdekat. Ianya sebagai bukti dan tanda kasih kepada seseorang, juga fitrah yang Allah taala bekalkan sejak azali lagi dan perasaan itu bukan dibuat-buat atau direka. Seperti emas dan permata, sudah tentu kita kongsikan dengan keluarga terdekat kita atau orang yang kita sayang. Umumnya begitulah.

Sudah tentu sesuatu yang berharga daripada emas dan permata, bernilai di dunia dan di akhirat, sudah pasti kita akan berikan kepada kerabat terdekat kita. Itu pun fitrah yang Allah taala bekalkan kepada manusia. Nabi Ibrahim berdakwah kepada bapanya sebelum baginda sendiri bertindak menghancurkan berhala-berhala. Begitu juga kisah-kisah Rasul-rasul yang lain, sudah pastinya keselamatan Iman manusia diambil berat terutama keluarganya, kerana disitulah terletak kesungguhan dan keikhlasan dalam berjuang dan berdakwah. Sebelum menasihati orang lain, keluarga dan kerabat terdekat akan dinasihati terlebih dahulu tanda kasih kepada manusia dan bukti ikhlas kepada Tuhannya, Allah taala.

Begitu juga yang berlaku kepada Nabi Muhammad s.a.w. ketika menerima wahyu di peringkat awal perjuangan baginda s.a.w. Golongan terawal yang memeluk Islam adalah kerabat atau yang terdekat dengan baginda s.a.w. Manusia pertama memeluk Islam ialah isteri baginda, Siti Khadijah dan beliau juga adalah wanita pertama memeluk Islam. Seterusnya manusia kedua memeluk Islam ialah Saiyyidina Abu Bakar, sekaligus lelaki pertama dalam sejarah memeluk Islam, kemudian diikuti Sayyidina Ali sebagai kanak-kanak atau remaja pertama memeluk Islam, dan lain-lain. Jika kita kaji dan perhatikan, mereka yang tergolong dalam golongan awal memeluk Islam adalah golongan yang akrab, rapat dan terdekat dengan Nabi s.a.w.

Sudah tentu mereka yang dikasihi mempunyai tempat yang istimewa dalam hati kita. Begitulah umumnya manusia akan berkongsikan kegembiraan atau kesedihan dengan mereka yang rapat dan terdekat dengannya, seperti ibu bapanya, kerabat atau kawan karibnya. Inilah fitrah yang Allah taala jadikan. Manusia tidak mereka-rekanya, ia sudah ada sejak kita dilahirkan ke dunia.

Sebagai contoh lagi, bukti atau tanda kasih atau sayangnya manusia terhadap iman kerabatnya ialah, seperti kasihnya Nabi Nuh a.s. terhadap anaknya. Diajak anaknya naik ke kapal namun dengan ingkar dan sombong si anak tidak mengendahkannya. Sudah tentu kita inginkan sesuatu yang bernilai di dunia dan akhirat diberikan kepada mereka yang terdekat dengan kita. Begitu juga ketika Nabi Muhammad s.a.w. bersedih ketika kematian pakcik baginda iaitu Abu Talib. Maka Allah peringatkan baginda dengan firman yang bermaksud, "tugas mu (wahai Muhammad) hanyalah menyampaikan (dakwah dan seruan Islam)". Hakikatnya Allah yang berikan hidayah dan taufik. Kesedihan baginda itu sudah tentulah kerana sesuatu yang berharga itu terlalu tinggi dan mahal nilainya dan tiada pun tukar ganti untuknya.

Begitu juga Abuya yang sangat kasihkan kerabatnya, sudah tentu menginginkan keselamatan di dunia lebih lagilah di akhirat buat kita semua. Abuya sejak awal perjuangannya, telah pun dibukukan sejarah hidupnya melalui tulisan atau buku2 atau sajak-sajaknya, pernah membawa anaknya seawal usia dua tahun lagi berdakwah bersamanya. Seorang diletakkan di raga depan motor, seorang dibelakangnya. Pernah dua-dua orang diletakkan dalam raga sekaligus sambil beliau meneruskan dakwahnya diperingkat awal dakwah beliau, ketika itu jemaah Arqam pun masih tiada. Pernah ketika keluar berdakwah bersama Abuya, ketika itu masih kanak-kanak dan menaiki motor honda lama bersama Abuya, dalam gelap kami sama-sama terjatuh. Seorang dalam parit seorang lagi anaknya di tengah jalan. Sambil meraba Abuya mencari anak-anaknya di gelap malam yang dibawa dan dianggap sebagai teman seperjuangannya sekalipun diusia yang begitu muda. Mata ini juga pernah menyaksikan Abuya cuba menghidupkan motor hondanya yang dibubuh garam kadangkala pasir ke dalam tangki minyak kerana hasad dan iri dengan usaha dakwah Abuya.

Mengapa fitrahnya begitu Allah ciptakan? Antara sebabnya lagi ialah sesuatu yang berharga adalag sesuatu yang mesti dilindungi. Untuk melindungi dan pertahankan sesuatu kepercayaan adalah perkara utama dalam menjaganya. Itulah yang dinamakan amanah. Sesuatu yang berharga mesti dijaga supaya tidak dikhianat atau dirosakkan. Sudah pasti tugas itu akan diberikan atau digalas bersama dengan mereka yang memiliki kepercayaan atau amanah dalam dirinya.

Begitulah dalam menilai sesuatu yang berharga, sudah tentu akan dikongsikan dengan yang terdekat terlebih dahulu. Sebagai bukti ikhlas dan bertanggungjawab. Jika berdakwah dengan masyarakat awam, lebih mudah dapat nama dan glamor, popular dan mashur, mendapat tempat di hati masyarakat seterusnya mudah mendapat kemudahan dan kesenangan yang diberikan. Namun dakwah terhadap keluarga ujiannya lebih berat, tidak glamor, dan yang bertambah hanya penat dan derita. Di tengah masyarakat kita mudah diterima, ditengah keluarga adakalanya dibiarkan sahaja, kerana beranggapan bukan orang lain, dia ayah saya, abang saya, datuk saya, suami kita, adik bersama, dan lain-lain ujian yang berbentuk perasaan dan pemikiran. Sebab itulah bila pendakwah dan pejuang mengabaikan keluarganya sedangkan lantang di khalayak umum, perjuangannya penuh tanda tanya. Kata Abuya, pejuang ini boleh dipersoalkan tujuan dia berjuang dan berdakwah. Tanyalah dan persoalkan diri kita. Tepuk dada tanya Iman kita.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?