MULUT MENZAHIRKAN HATI DAN IMAN.
Daripada Sufyan bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu dia berkata, Aku berkata: “Ya Rasulullah, beritahulah aku sesuatu yang dapat aku jadikan pegangan.” Baginda bersabda, “Katakanlah: Allah adalah Tuhanku, kemudian istiqamahlah.” Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang paling engkau takutkan atasku? Maka Rasulullah memegang lidahnya kemudian berkata: “Ini.” (Riwayat Al-Tirmizi)
Daripada Abu Musa Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu dia berkata, aku berkata, “Wahai Rasulullah, orang Islam yang bagaimanakah yang paling utama? Baginda menjawab, “Orang yang kaum Muslimin selamat dari lisannya dan tangannya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Alhamdulillah. Sekian banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, tidak satu pun Allah meminta bayaran untuknya melainkan meminta kita untuk bersyukur dan menggunakannya di jalan yang diredhai Allah taala.
Lidah adalah anggota penting buat manusia. Tanpa lidah manusia tak boleh bertutur dan berbicara hinggakan boleh menyukarkan proses pertukaran maklumat dan penyampaian mesej yang hendak disampaikan.
Namun lidah juga adalah anggota yang sangat seni dan kompleks, juga sangat memberi kesan kepada hidup manusia. Lidah adalah anggota yang tidak bertulang, sifatnya lembut dan tidak keras seperti otot yang lain. Namun sifat maknawinya berlainan dan memberikan kesan kepada hati manusia.
Pancaran lidah atau ucapan lidah datangnya daripada hati. Apa yang terungkap olehnya lahir daripada hati. Samada maksud atau bahasanya, lidahlah yang menggambarkan hatinya.
Kesan baik dan buruk lidah sangat besar kepada manusia. Sebab itulah dalam Quran Allah berfirman yang maksudnya "fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan". Sesungguhnya kesan daripada lidah itu boleh memberikan hasil yang besar daripada hilangnya nyawa manusia. Kesan lidah, manusia boleh hilang maruah diri, manusia boleh berbunuhan, manusia berpecah belah, hilang kasih sayang dan ukhuwah, manusia berburuk sangka, manusia hasad sesama sendiri, dan seribu satu macam hal yang buruk kerana kerja jahat lidah ini.
Lidah adalah cermin atau lambang seseorang. Sehinggakan Saiyidina Ali r.a. ada berkata, seseorang itu banyak berkata apa yang dia sukai. Yakni lidah akan menzahirkan kesukaan hati. Lidah dan hati tak boleh dipisahkan. Sebab itulah Nabi pernah bersabda agar perbanyakkan amalan lidah dengan berzikir dan berselawat, untuk mengharumkan hati.
Pepatah melayu ada berbunyi, bahasa jiwa bangsa. Bahasa ialah ungkapan atau bicara lidah, ia menggambarkan jiwa atau hati seseorang atau sesuatu bangsa. Jika bahasa kasar maka bererti kasarlah jiwanya. Kata-kata kesat dan kotor adalah daripada hati yang kelam dan kotor. Jiwa yang suram dan gelap, terkeluar daripada mulutnya perkataan-perkataan yang melemahkan hati dan iman.
Maka nasihat orang-orang soleh yang diwariskan hingga kini antaranya ialah, basahkan lidah dengan zikrullah. Memang nasihat ini sangat relevan dengam kita.
Masakini, umumnya kita pandai mengata pemimpin kita, orang-orang terdahulu yang berjasa pada kita atau pada agama dan negara, namun kata-kata itu tidak digambarkan pun oleh akhlak dan perlaksanaan kita. Lebih pandai komen orang lain sedangkan dalam amalan dan praktikal tidak lebih tidak kurang, sama sahaja atau lebih teruk lagi cakap tak serupa bikin. Selemah-lemah orang lain ada pembuktian dan jasa, itu lebih baik dari tiada apa-apa sekadar cakap besar sahaja.
Sebab itulah diingatkan selalu, berfikir dahulu sebelum berkata-kata. Sememangnya kata-kata daripada lidah itu terpancar daripada hati. Jika tidak berhati-hati, akan menyusahkan diri. Malah ada pepatah berbunyi, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Ini kerana lidah itu dikuasai oleh nafsu, yang nafsu itu telah menguasai hatinya.
Berkata-katalah yang baik, kerana setiap perkataan itu adalah doa. Terutama kepada orang yang lebih tua daripada kita, ucapkanlah sesuatu yang baik dengan perkataan dan ayat yang baik. Hiasilah diri dengan ucapan yang mulia. Kerana mulut akan menentukan nasib manusia di sana.
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya dia mendengar Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan suatu perkataan yang tidak dia fikir, sehingga dengannya dia terjerumus ke dalam Neraka yang jaraknya lebih jauh daripada timur dan barat.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)