ABUYA PENCETUS KELUARGA BESAR.
Abuya adalah pejuang Islam yang memperjuangkan keluarga besar. Tidak semua pejuang-pejuang Islam melakukan apa yang Abuya lakukan. Abuya memulakan perjuangan bersama keluarganya, ketika anak-anaknya seawal 2 tahun lagi sudah dibawa keluar bersama-samanya dalam perjuangannya.
Sejarah perjuangan Abuya mencatatkan, Abuya mendidik anak-anaknya untuk hidup mati demi Islam. Bahkan ada anak-anak yang masih kecil, yang tidak faham cita-cita Abuya mengganggap Abuya tidak sayang mereka kerana Abuya bukan ayah seperti ayah-ayah yang biasa. Cita-citanya hanyalah untuk Islam dan melaksanakannya agar berlaku jadual Allah di akhir zaman.
Cita-cita Abuya tidak hanya pada dirinya. Beliau melahirkan generasi yang akan menyambung cita-citanya itu, demi mendaulatkan Allah dan Rasul-Nya. Maka pada tahun 2007, Abuya dengan rasminya melancarkan bani-bani didalam jemaahnya. Bani-bani ini diterajui oleh keluarganya sendiri.
Perkataan 'Bani' berasal daripada bahasa Arab yang bererti anak-anak, atau lebih sesuai lagi ialah keturunan atau keluarga. Bagi masyarakat Arab, bani adalah asas kepada kabilah. Sebuah kabilah yang hebat berasal dari gabungan bani-bani yang kuat, yang mana bani-bani itu dari nasab yang sama. Nasab ini dirujuk kepada salasilah ayah, bukan ibu. Sesebuah bani itu bermula daripada individu lelaki yang berwibawa dalam keluarganya, bukan dari emaknya atau perempuan didalam keluarganya. Kemudian dia diberi kepercayaan untuk mentadbir keluarganya. Dari situlah bermulanya sistem bani yang kemudian berkembang menjadi kabilah.
Didalamnya pula, ketua kabilah atau bani adalah syeikh atau orang yang ditua-tuakan. Syeikh adalah taraf tertinggi dalam sesebuah bani atau kabilah ini. Mereka ini adalah lambang perpaduan bagi sesebuah bani atau kabilah ini. Selain itu, syeikh ini dilantik berdasarkan kematangannya berfikir, sifat beraninya, kepetahan bercakap, dan kegagahannya. Antara peranan syeikh-syeikh atau ketua bani ialah:
1. Menyelesaikan masalah didalam kelompoknya.
2. Memberi perlindungan kepada anggotanya atau musuhnya.
3. Melayan tetamu yang hadir di kawasannya.
4. Menjatuhkan hukuman tertentu kepada pesalah setelah dipersetujui ahli kumpulan yang lain (ahli syuro)
Bani-bani dalam perjuangan Abuya pula ialah keluarga-keluarga besar poligami yang telah dicetuskan dalam jemaah. Pesan Abuya, bani-bani yang besar dibina kekuatannya, dan bani-bani kecil bergabung satu sama lain atau bernaung dengan bani yang besar. Hasilnya akan membina bani-bani yang menjadi kekuatan kepada perjuangan. Dalam ertikata yang lain, bani-bani ini adalah tunggak dalam jemaah. Kekuatan jemaah terletak pada kesatuan dan kekuatan bani-bani tadi dalam menyambung cita-cita dan perjuangan Abuya.
Keluarga Abuya adalah tunggak dalam bani-bani ini. Abuya telah persiapkan jemaahnya dengan persiapan bani-bani atau keluarga besar ini kerana Abuya tahu apa akan terjadi pada jemaahnya. Sekian lama Abuya persiapkan keluarganya untuk menghadapi cabaran dan ujian yang melanda perjuangannya. Abuya persiapkan anak-anaknya dan keluarganya dalam menjadi pembela kepada perjuangan ini. Telah terbukti ketika diuji dengan pengharaman pertama dan kedua, Abuya tinggal keseorangan. Abuya memulakan dengan keluarganya sebelum orang lain datang menyerahkan diri untuk ditadbir dan dicatur, dalam membentuk thoifah akhir zaman ini.
Ketika datangnya ujian, setiap ketua bani/keluarga besar ini berperanan dalam menyelamatkan ahli keluarganya atau mereka yang bernaung dibawahnya. Kerana pada ketua-ketua bani, Abuya telah persiapkan kekuatan untuk menyatukan hati-hati dalam baninya/keluarga besarnya itu.
Panduan-panduan telah diberikan kepada ketua-ketua bani tadi. Ilmunya memang ramai boleh perkatakan. Tetapi dalam soal perlaksanaan, orang yang diberi kekuatan mursyid sahaja yang boleh melakukan kerja-kerja ini. Ada orang yang mampu memperkatakan tentang ilmu keluarga besar, namun pada realitinya ia memerlukan kekuatan jiwa yang cukup kental kerana dalam mengamalkannya, ujian pasti datang silih berganti. Jika ahli-ahli dalam sesebuah bani perlu berlapang dada, seorang ketua atau syeikhnya sudah pasti perlukan hati yang cekal dan kesabaran yang luar biasa.
Pada kebangkitan Islam yang pertama, peranan bani-bani ini banyak membantu perjalanan dan perjuangan Nabi S.A.W. Contohnya, bagaimana Bani Hasyim memberikan perlindungan kepada Rasulullah dan para sahabat ketika mereka ditindas. Malah mereka turut sama dipulaukan walaupun dikalangan mereka ada yang bukan Islam. Rasulullah juga menghargai bani-bani yang ada bersamanya. Ada bani yang diamanahkan menjaga anak kunci kaabah. Begitu juga dalam tugas-tugas melayan tetamu dan lain-lain lagi. Begitu juga ketika datangnya Sayyidina Qa'-qa' Attamimi mewakili Bani Tamim, menyatakan baiah mereka kepada Nabi S.A.W. dan baginda begitu gembira dengan baiah mereka. Ini menunjukkan bahawa peranan bani sangat memainkan peranan penting dalam sejarah Islam.
Begitu juga penerimaan kawan-kawan Abuya daripada syeikh-syeikh Arab. Mereka sangat menghormati Abuya dan keluarganya. Malah, ketika Syeikh Abu Khalid kawan Abuya dari Jordan datang ke Mekah, dia berjumpa dengan anak sulung lelaki Abuya, bukan orang lain, lebih-lebih lagi dengan perempuan. Begitulah penghormatan yang diberikan oleh kawan-kawan Abuya. Mereka lebih tahu adab-adab dalam berkeluarga besar, lebih-lebih lagi adab dalam berjuang.
Gabungan bani-bani ini akan menjadi satu thoifah yang sangat kuat. Sebelum ia menjadi satu, ia dikuatkan dan diwibawakan terlebih dahulu. Pada bani-bani inilah panduan bagi mereka yang mencari kebenaran. Setiap bani diberikan kekuatan yang berlainan. Gabungan bani-bani ini jadilah satu keluarga besar Putra Bani Tamim yang kuat menguatkan satu sama lain.
Ada orang bercita-cita untuk menyelamatkan imannya dan keluarganya, tapi jika tiada panduan dan pimpinan kemungkinan besar yang berlaku adalah masalah yang bertambah. Ini kerana mungkin ketua keluarga sahaja yang ada cita-cita menyelamatkan iman, tetapi ahli keluarga yang lain belum bersedia bersamanya. Disinilah panduan Abuya diberikan pada ketua-ketua bani ini, yang ternyata terbukti dalam membangunkan keluarga mereka.
Bagi mereka yang menginginkan panduan, mereka boleh mendapatkan daripada keluarga-keluarga besar yang Abuya cetuskan ini. Samada bagi mereka yang masih muda remaja, bujang, yang berkeluarga kecil mahupun yang besar; mereka boleh mendapatkan panduan dan pimpinan dari keluarga besar yang Abuya bangunkan ini.
Walaupun ada usaha merosakkan jemaah Abuya sedang dilakukan, namun persiapan telah Abuya siapkan. Cita-cita musuh untuk melihat keluarga Abuya merempat, minta sedekah, terhina dan duduk di bawah jambatan tidak kesampaian. Maka kecewalah mereka walau pelbagai usaha sedang dilakukan. Tipu daya Allah menyelamatkan orang-orang yang teranaiya. Lebih-lebih lagi ia dibuat kepada Abuya dan keluarganya.
Abuya berjaya menyiapkan keluarganya dalam masa keluarganya disepak terajang musuh-musuhnya. Ketika musuh ingin melihat Abuya dan keluarganya dihina, Tuhan bersihkan keluarga Abuya dari fitnah yang melanda. Abuya dan keluarganya terselamat dari fitnah yang mengganas. Abuya berjaya menyelamatkan perjuangannya melalui keluarganya. Jika ada yang mengaku mereka perjuangkan Abuya namun prinsip dan dasar perjuangan dilanggar, apatah lagi melanggar syariat Tuhan, ingatlah! Mereka menjual nama Abuya untuk kepentingan mereka.