KEJAYAAN ABUYA MEMBINA KELUARGANYA.

Setiap perjuangan pasti diuji. Samada ianya perjuangan kebenaran ataupun kebatilan, ia pasti diuji. Yang menjadikan seseorang atau kelompok itu kuat atau terbukti kejayaannya, lihat bagaimana ia berpegang dengan prinsipnya ketika berhadapan dengan ujian. Apakah dikorbankan prinsipnya atau ia berpegang teguh dengan prinsipnya tadi.

Salah satu kejayaan terbesar Abuya selain berdakwah dan perjuangkan Islam hingga menjadi cara hidup, beliau berjaya melahirkan keluarganya sebagai model perjuangannya.

Kejayaan itu ialah bilamana keluarganya mampu berpegang pada prinsip dan dasar perjuangan Abuya, yang sangat berpegang teguh pada syariat Islam.

Kejayaan itu terbukti bilamana diuji hingga mereka dicampak keluar dari perjuangan yang dibina Abuya oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab.

Abuya berjaya melahirkan keluarganya sebagai satu thoifah yang menggenggam bara api Islam demi memastikan ianya kekal sepertimana Abuya menjaganya. Abuya berjaya membina keluarganya dalam melahirkan calon Ikhwan dan Asoib. Kini keluarganya boleh dijadikan model bagi sesiapa yang mahu melihat bagaimana Abuya menjaga bara api Islam ini.

Kini, bagi sesiapa yang berpegang pada prinsip perjuangan Abuya dan syariat Islam, pasti menginginkan model kehidupan Islam sepertimana yang pernah Abuya bina.


Abuya berjaya melahirkan satu model dari keluarganya, yang keluarganya tidak sebesar mana namun dia mampu mengikat kawan-kawannya dan menganjur kehidupan model yang pernah Abuya bina. Kini model ini sedang meriah dibangunkan oleh adik Abuya, Syeikh Hasyim Muhammad di negeri kelahiran Abuya di Negeri Sembilan. Dia turut dibantu anak-anak Abuya yang lain dalam menjayakan hasrat membina model kehidupan Islam seperti yang Abuya bangunkan. Ini boleh disaksikan sendiri di sana.

Bagi mereka yang menginginkan satu model yang pernah Abuya bina bersama kawan-kawannya, boleh melihat bagaimana Abuya menyalurkan keberkatannya pada keluarganya yang sedang giat melahirkan model kehidupan Islam ini.

Panduan juga telah Abuya berikan kepada mereka yang ingin berjuang namun tidak memiliki kawan-kawan yang boleh bersamanya namun dia punya aset yang terdiri dari keluarganya sendiri yang faham hasratnya dan boleh sama-sama membahu untuk berjuang dengannya. Contoh ini boleh dilihat pada anak-anak Abuya yang sedang bina keluarganya seperti yang pernah Abuya bangunkan kepada anak-anaknya dahulu.

Kedua-dua anak Abuya ini, iaitu Syeikh Nasrul dan Syeikh Fakhrur sedang menjayakan projek insaniah yang pernah Abuya lakukan terhadap mereka dalam misi menjaga bara api ini. 

Kita boleh lihat bagaimana Abuya berjaya lahirkan anaknya yang diuji dengan kawan-kawan dan sebahagian keluarganya membina semula hasrat dan cita-cita Abuya hanya dengan anak-anaknya. Walaupun ditinggalkan dalam keadaan fizikal yang uzur, disinilah kita melihat bagaimana mursyid melahirkan manusia yang kuat pegangan prinsip dan cita-citanya dalam menggenggam bara api ini.

Keadaan kesihatan tidak menghalang anak Abuya ini, iaitu Syeikh Nasrullah dalam membina model Islam melalui keluarganya dengan bermodalkan roh perjuangan yang telah disuntik Abuya sejak dirinya kecil lagi. Pejuang itu tidak takut dirinya keseorangan dalam menggenggam bara api Islam, yang ditakutkannya ialah tercabutnya hidayah hingga tak mampu lagi untuk menggenggam bara api ini. Ia memerlukan jiwa yang kuat sekuat-kuatnya dalam menghadapi ujian dan dugaan yang datang melanda. Disinilah kejayaan Abuya bilamana darah dagingnya mampu memegang prinsip perjuangannya dalam melahirkan thoifah akhir zaman ini.

Satu lagi kejayaan Abuya ialah pada anak sulung lelakinya dan keluarganya bilamana berjaya membangunkan dan meneruskan sistem pendidikan yang terus berhadapan dengan masyarakat luar. Disini secara langsung ianya melibatkan diri dengan masyarakat luar jemaah yang bukan dari pendidikan Abuya. Masyarakat yang menghantar anak-anak mereka untuk dididik dengan Islam ini secara tidak langsung sedang menyiapkan benih-benih masyarakat Islam yang Abuya idamkan.

Abuya mempunyai pelbagai cara dalam melahirkan masyarakat Islam dan salah satunya dari pendidikan, yang mana ia melahirkan generasi demi generasi yang diberi benih Islam sejak kecilnya lagi. Disinilah kejayaan Abuya dalam membangunkan keluarga besarnya, yang pada masa yang sama mereka diuji dengan perjuangan yang pernah dibangunkan Abuya bersama mereka sejak dulu lagi.

Ternyata didikan Abuya dalam melahirkan calon Ikhwan dan Asoib ini menghasilkan satu kelompok yang berpegang kuat pada prinsip dan dasar perjuangan Abuya, yang mana ianya sangat kuat berpegang dengan syariat Islam. Semua golongan dalam masyarakat tahu bahawa Abuya sangat kuat pegangannya dalam soal syariat ini. Ternyata bukan pada dirinya sahaja, malah beliau berjaya melahirkan dari darah dagingnya juga keluarganya yang sangat kuat pegangan prinsip dan syariat Islam ini.

Model-model yang telah berjaya dibangunkan ini adalah gabungan perjuangan Abuya. Mereka bukan berasingan malah mereka adalah satu. Mereka inilah bayangan kepada perjuangan Abuya. Dulunya Abuya sendiri yang memulakan dari dirinya, kini beliau berjaya melahirkan model-model perjuangan Islam dalam menggengam bara api, demi menuju Jadual Allah.

Doa Abuya terhadap keluarganya ini sedang menjadi kenyataan. Dulunya ia sering dinasyid-nasyidkan, kini ianya telah dibangunkan sendiri oleh keluarga Abuya hasil kejayaan Abuya melahirkan generasi perjuangan Islam yang bermula dari keluarganya sendiri.

Hasil didikan Abuya melalui ujian-ujian tersebut dengan penuh sabar, rendah diri, bertolak ansur, berlapang dada, dan redha dengan ketentuan yang berlaku, maka lahirlah model-model yang telah berjaya Abuya lahirkan.

Rupa-rupanya ujian demi ujian yang berlaku ini semakin menampakkan kejayaan Abuya dalam melahirkan keluarga role modelnya itu. Islam teruslah menang oleh mereka yang berpegang teguh pada prinsip dan syariat Islam.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?