RAHSIA KEJAYAAN NABI S.A.W. DAN SALAFUSSOLEH MENGISLAMKAN DUNIA.

Rahsia kejayaan Rasulullah SAW, Khulafaur Rasyidin dan salafussoleh dapat mengislamkan dunia adalah kerana mereka cintakan Allah lebih daripada cintakan dunia. Juga kerana mereka memberi tumpuan yang serius kepada Akhirat dengan membersihkan hati mereka dari sifat terkeji dan berkorban dan berjuang di jalan Allah dengan jiwa raga dan harta mereka. 

Allah sentiasa di hati mereka dan ini menenangkan jiwa mereka hingga sanggup untuk apa sahaja demi Tuhan dan agama-Nya. 

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

"Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia." An-Nahl : 106

Mereka mampu menundukkan nafsu, lalu dunia jatuh terjelapak ke tangan mereka. Mereka serius membersihkan hati mereka melalui mujahadatunnafsi, riadatunnafsi, dengan disiplin serta barakah pimpinan Rasulullah SAW, maka mereka diberi Allah sifat-sifat hati yang bersih.

Sesama mereka sangat berkasih sayang, bertolong bantu, bertolak ansur, berkorban apa saja, pentingkan orang lain, tenang dan damai serta hidup aman makmur. Kerana itulah mereka diberi kejayaan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.


قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman," Al-Mukminun : 1

وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ

"Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan berzakat dan korban di jalan Allah)" Al-Mukminun : 4

Kalaulah mereka tidak mengutamakan sifat-sifat terpuji (mahmudah) lebih daripada sifat-sifat terkeji (mazmumah); tentulah mereka bukan saja tidak dapat menegakkan empayar, hendak memerintah satu negara pun tidak akan berjaya. Bahkan memerintah satu kampung pun akan timbul pecah belah. Juga gagal untuk menawan walau satu hati pun.

Kalau masalah dalam diri tidak dapat diatasi, tidak selesai-selesai, apa buktinya untuk tawan hati orang lain? Lebih-lebih lagi apa logiknya untuk tawan hati manusia dalam satu empayar? Bukankah fitrah hati itu, ia akan terpikat hanya dengan orang yang mempunyai akhlak terpuji?

Hakikat yang berlaku ialah bila mereka cintakan Allah dan cintakan Akhirat, di waktu itulah mereka mengorbankan hidup dan mati mereka untuk Allah. Seperti orang bercinta, dia sanggup beri apa saja demi menunaikan hajat cintanya. Begitulah hati mereka dengan Allah.

Hati, jantung, kaki, tangan serta seluruh anggota mereka gementar bila disebut nama Allah dan bila mendengar ayat-ayat-Nya. Mereka sangat cinta, rindu dan kasih kepada Rasul-Nya. Bahkan hidup mati mereka diserahkan kepada Allah. Hati mereka sedikit pun tidak terpaut dengan dunia. Sedangkan di waktu yang sama, mereka mengurus dan mentadbir serta memerintah tiga perempat dunia.

Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Dia memiliki akhlak dan peribadi yang mulia. Sejarah telah mencatat, kejayaan yang berlaku ditangannya bukan hanya berjaya membuka Kota Kostantin (Turki) malah yang lebih besar lagi ditangannya lahir sebaik-baik tentera dan pengikut seperti yang disebut oleh Nabi S.A.W. dan dia jugalah sebaik-baik pemimpin di zamannya.

Kejayaannya ialah dapat menyatukan hati-hati manusia, agar taat dan patuh pada Allah dan Rasul. Ini telah menjadi sejarah dan rugilah kalau tidak belajar dengannya.

Lihat pula Sayyidina Umar dan Salahudin Al-Ayyubi dalam menyusun dan memastikan kelayakan pasukannya. Yang utama dan pertama adalah soal hubungan dengan Allah Taala kemudian sesama manusia. Hati-hati mereka diikat dengan syariat Allah. Hasil atau natijah adalah buah daripada ibadah mereka dan sejauh mana mereka menjaga syariat Allah Taala. Mereka juga berjuang hingga terkorban nyawa tetapi syariat sangat dijaga.

Dengan kehidupan yang beginilah mereka dapat tegakkan masyarakat yang baik selama 300 tahun. Itulah yang dikatakan masyarakat salafussoleh sepertimana yang Allah kehendaki dalam Firman-Nya yang bermaksud: 

“Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.” (Saba’: 15)

Bilamana umat Islam sudah tidak mengikut kaedah ini lagi, yakni selepas umat Islam tidak mengamalkan Islam melalui proses pembersihan hati daripada sifat mazmumah, empayar Islam telah jatuh ke tangan musuh-musuhnya.

Bila musuh datang, bukan musuh yang diperangi, tetapi sebaliknya yang berlaku. Kawan dianggap musuh maka mereka bermusuh sesama sendiri. Hati penuh dengan cinta dunia, hasad dengki, sombong, bakhil, penakut, pemalas, pemarah, gila pangkat, gila nama dan bermacam-macam gila lagi. Di waktu itu, dunia yang sudah ada di tangan, terlepas semula.

Tanpa proses pembersihan hati, negara dan masyarakat akan dikuasai oleh orang jahat kerana rakyatnya telah jahat. Rakyat akan hidup susah dan menderita. 

Sedangkan orang yang punya kuasa, hidup senang-lenang dan mewah serta berlumba-lumba membina empayar masing-masing. Hidup nafsi-nafsi, pecah amanah dan rasuah. Penipuan, pergaduhan, pencurian, demonstrasi, pembunuhan sering berlaku dan dunia seluruhnya tidak aman lagi.

Sebab itu Islam meminta agar umatnya membersihkan hati daripada sifat mazmumah dan menanam sifat-sifat mahmudah. Kerana dengan kaedah ini saja hati-hati manusia akan dapat ditawan. Dunia akan selamat dan aman makmur.

Hati cinta dengan Allah tapi dunia dalam tangan. Hati rindu dengan Allah tapi dunia dapat ditadbir dan diuruskan. Kaki berpijak di bumi, mengurus ekonomi, pertanian, perubatan, khidmat masyarakat, berdakwah dan mengajar, berhubung dan mesra dengan manusia tetapi hati dengan Allah.

Kesan dari mujahadah yang sungguh-sungguh untuk membersihkan hati, maka lahirlah buah yang indah dalam kehidupan masyarakat.

Apabila salafussoleh ini memerintah dan mentadbir dunia, oleh kerana terlalu takutnya dengan Allah (takut ditanya tentang pentadbiran dan rakyatnya), dia tidak sempat memikirkan keperluan dirinya sendiri. 

Tidurnya hanya satu pertiga malam. Sembahyangnya terlalu banyak. Kalau mereka berniaga, di waktu tidak ada pelanggan, mereka akan terus bersembahyang, membaca Quran atau berzikir. Ada di antaranya tidak sempat mandi junub kerana mendengar panggilan jihad (gendang perang) lantas menyahut seruannya. Mereka menangis kalau tidak dapat ikut serta dalam perang.

Mereka menangis dan pengsan bila mendengar ayat-ayat Allah. Sanggup berpisah dengan suami atau isteri sampai berpuluh-puluh tahun kerana berdakwah atau berjihad. Sanggup hidup ala kadar kerana Islam. Sanggup hidup mati untuk Allah dan Rasul-Nya.

Malangnya melalui sistem pengajian Islam yang sudah disekularkan, ilmu tasawuf atau ilmu rasa (zauq) ini sudah ditolak atau sudah tidak diambil berat lagi. Bahkan dianggap mengarut dan sesat serta menyesatkan. 

Kalau diajar pun ajaran tasawuf, hanya di mulut atau seronok menyebut istilah-istilahnya sahaja. Tetapi intipati ajaran tasawuf tidak bertapak di hati. Sebab itu orang yang belajar tasawuf, ilmunya itu tidak dapat mengubah sikap dan peribadi mereka.

Oleh itu mari kita praktikkan secara serius tentang ilmu tasawuf atau ilmu rohani atau ilmu rasa (zauq) ini, supaya jiwa kita yang sudah buta dan mati ini dapat dicelikkan kembali, serta hidup dan berfungsi. Agar ia dapat menjadi kekuatan kepada kebangkitan Islam di akhir zaman. Kalau dulu dunia dapat ditawan, maka kali ini sejarah itu akan berulang sekali lagi di tangan-tangan kita jika mencukupkan syaratnya.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?