TAMADUN ISLAM ADALAH BUAH DAN HASIL AMAL DAN IBADAH KITA.

Sebelum kejatuhan Islam di Eropah beberapa ratus tahun yang lepas, ketika itu Islam berada dipuncak tamadun lahiriah. Kita dapati kesan-kesan sejarah di masa itu, umat Islam berada di puncak tamadun lahiriah melalui bangunan-bangunan peninggalan yang tedapat di sana. Juga kita boleh dapati ilmu-ilmu yang diguna pakai kini dan diagungkan oleh barat adalah berasal dari Islam, yang diambil dan dicuri dari kitab-kitab orang Islam terdahulu.

Sepanyol dan Portugal bolehlah dianggap sebagai 'jambatan' yang menghubungkan tamadun Islam dengan negara-negara lain di Eropah. Kaum pedagang, para intelek dan tokoh-tokoh agama Eropah sering berkunjung ke Sepanyol untuk menimba pengetahuan kerana disitu sahajalah tempat terdekat yang terdapat institusi pendidikan dan pengajian tinggi.

Disitu terdapat pelbagai kemajuan dan ketamadunan seperti wujudnya perpustakaan yang dilengkapi buku-buku ilmiah pelbagai bidang, termasuk sains, matematik, perubatan dan sejarah. Buku-buku tersebut adalah hasil karya tokoh- tokoh Islam. Itu tentang ketinggian peradaban dan ketamadunan Sepanyol di zaman silam.

Namun, apakah yang terjadi kini? Ketika berada di puncak kegemilangan tidak terfikir pula akan kejatuhannya. Kini genap 500 tahun kejatuhan kuasa Islam di Sepanyol. Masyarakat Barat telah menikmati keunggulan tamadun yang dibina di atas pusara tamadun Islam. Kini tamadun tersebut agak sukar untuk di akui sebagai warisan Islam walaupun istana Al- HAMRA dan Masjid QURDOBAH serta beberapa buah bangunan lain peninggalan orang Islam masih berdiri teguh di Sepanyol.


Menurut Abuya, faktor utama kejatuhan Islam di Sepanyol ialah "CINTA DUNIA DAN TAKUT MATI". Cinta dunia itu menjadi punca kepada pelbagai kejahatan yang menimbulkan berbagai krisis, masalah dan kerosakan serta menjadi hijab bantuan Allah kepada umat Islam. Sebagaimana sabda Rasul SAW :
حب الدنيا رأس كل خطيئة

Maksudnya: CINTA DUNIA punca segala kejahatan.

Akibat dari cinta dunia ini, Islam jatuh, umat Islam terhina dimana-mana, kerana pembelaan Allah sudah tiada. Allah biarkan umat Islam dikalahkan oleh kaum kafir, kerana yang Allah janjikan kemenangan dan kejayaan itu hanyalah umat Islam yang bertaqwa. Sedangkan kepandaian, kecekapan dan tamadun lahiriah yang hebat itu bukan syarat kemenangan dan kejayaan umat Islam. Lihatlah buktinya, tamadun Islam Sepanyol yang hebat itupun jatuh sekelip mata.

Abuya ingatkan kita supaya mengambil pengajaran dari sejarah Sepanyol ini.

Jangan mengukur kejayaan sesebuah perjuangan itu dari pencapaian lahiriahnya sahaja, kerana kejayaan lahiriah orang kafir pun boleh buat. malah lebih hebat dari umat Islam. Tamadun lahiriah dapat dibangunkan oleh akal yang cerdik sekalipun bangsa itu tidak beriman. Allah lahirkan para filosof dan saintis untuk membangun tamadun lahiriah bangsa itu. 

Sebagai contoh, adanya Albert Einstein, Graham Bell, Pascal, Dalton, Bill Gates, dan lain-lain telah membuatkan dunia barat mempunyai teknologi lahiriah yang paling canggih di dunia hari ini. Namun lihatlah bagaimana kehancuran tamadun ruhaniah mereka. Manusia kelihatan maju tapi kasih sayang dan kebahagiaan tiada. Kedamaian musnah, keluarga dan masyarakat porak poranda, huru-hara dimana-mana, krisis tak pernah sepi, peperangan tiada penghujungnya.

Kita juga diingatkan oleh guru mursyid kita supaya menyalin apa yang telah dilakukan pada kebangkitan pertama oleh Rasul S.A.W. Selain akal, satu lagi unsur yang cukup penting dalam diri manusia ialah hati, roh atau jiwa . Manusia sememangnya pandai dalam usaha menajamkan akal melalui berbagai cara dan kaedah. Tetapi tidak ada orang yang memikirkan atau mempedulikan bagaimana hendak menajamkan hati. Padahal ketajaman hati adalah lebih hebat daripada kepandaian akal.

Apabila seorang mukmin itu berusaha untuk mempertajamkan hati atau jiwanya iaitu dengan memperdalamkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan, membawa rasa-rasa itu kemana-mana, kemudian dia berfikir maka hasilnya dia akan menjadi orang yang cepat cerdik dan pandai. Hati dan akalnya sama-sama tajam.

Sejarah telah membuktikan bahawa Rasulullah S.A.W. mendidik bangsa Arab yang tidak tahu menulis dan membaca, dengan menajamkan roh atau hati mereka sehingga hati para Sahabat begitu kenal dengan Tuhan yang Maha Agung. Hasilnya mereka mampu berhadapan dengan Rom dan Parsi yang di waktu itu menerajui tamadun lahiriah dan menguasai dunia. Sedangkan bangsa Rom dan Parsi mengasah akalnya semata-mata. Walaupun mereka boleh menjadi pandai dan membina tamadun, tetapi ia amat jauh bezanya dengan apa yang mampu dicapai oleh umat Islam.

Rasulullah mengasah jiwa sekaligus akal bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain yang mengikutnya, maka dalam masa yang singkat iaitu selama 23 tahun sahaja, umat Islam di waktu itu menjadi umat yang cepat pandai akalnya dan cerdik hatinya. Akhirnya dalam masa 30 tahun sahaja Umat Islam bukan sahaja telah berjaya menumpaskan Rom dan Parsi malah mampu menguasai 3/4 dunia.

Janganlah kita berbangga dengan kemampuan membangunkan projek-projek lahir, sedangkan dalam masa yang sama banyak manusia yang menderita dengan perangai kita. Ibadah banyak tapi tidak berbuah. Allah sangat mengambil kira hubungan kita dengan manusia. Kalau manusia cacat dengan-Nya, Allah tak rugi apa-apa, Allah Maha Besar dan Maha Sempurna. Bila kita sedar dan Allah terima taubat kita, selesailah masalah. Sedangkan kalau kita cacat dengan manusia, maka ramai manusia yang menderita. Allah akan segerakan azab kepada orang-orang yang zalim kepada manusia.

Ambillah pengajaran dari kejatuhan Islam di Sepanyol. Ketika umat Islam terutama para pemimpinnya mula membesarkan nafsunya, sibuk mengejar dunia, banyak melakukan kezaliman dan penindasan kepada manusia, maka di waktu itu tamadun lahiriah yang canggih tak berguna. Umat Islam berkrisis sesama sendiri, berebut kuasa dan harta. Akhirnya tamadun material yang canggih itupun hancur musnah.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?