Para pejuang rohani itu ialah orang yang dapat mengelakkan dirinya daripada kecelakaan akhirat. Kecelakaan akhirat itu ialah azab neraka Allah. Begitu juga, yang dikatakan orang roh itu ialah orang yang pandai mencari panduan hidupnya di semua aspek dan di semua bidang agar
dia mendapat keredhaan Allah SWT.
Orang roh itu juga ialah orang yang pandai membuat persiapan diri untuk hari akhiratnya. Orang roh ialah orang yang celik akhirat atau orang yang pandai. Dalam hal ini, Rasulullah SAW ada bersabda, Maksudnya: “Orang yang cerdik itulah ialah orang yang dapat memelihara dirinya dan dia bekerja dan beramal untuk selepas matinya. Dan orang yang dungu itu, ialah orang yang mengakui hawa nafsunya dan dia berangan-angan kepada Allah.”
Demikian sabda Rasulullah untuk menceritakan kepada kita bagaimana
yang dikatakan orang cerdik itu. Rupa-rupanya orang yang cerdik itu
bukan ertinya dapat ijazah universiti, dah jadi profesor dan sebagainya. Tetapi orang yang cerdik itu sebenarnya ialah orang yang dapat memelihara dirinya dari kecelakaan akhirat dan dapat pula mengerjakan amal bakti untuk bekalan selepas matinya.
Rasulullah juga menyebut didalam hadisnya tentang orang yang dungu atau orang yang bodoh. Orang ini bukan kerana lulus LCE atau SPM atau tidak dapat masuk universiti. Tetapi, kata Rasulullah, orang yang bodoh atau dungu itu ialah orang yang hidup mengikut nafsu dan berangan-angan kepada Allah, yakni padanya Allah itu Maha pengampun, Allah itu Maha Penyayang, Maha Pengasih dan sebagainya. Jadi dia berbuatlah sesuka hatinya kerana dia yakin dosanya diampunkan dan ibadahnya diterima, baginya Allah tidak akan mematikannya kerana dia masih muda, masih diberikan badan sihat dan hidup bersuka-suka dulu, nanti bila sudah tua barulah mulakan sembahyang, barulah mula puasa dan sebagainya. Waktu ini dia masih muda dan masih lambat lagi mati. Inilah sebenarnya sikap orang bodoh.
Sebelum ini kita telah katakan bahawa anak kunci kebahagiaan di akhirat itu ialah sedar (celik) dan cerdik. Kalau seseorang itu ada mempunyai sifat sedar dalam ertikata sedar ia tentang akhirat, sedar ia tentang syurga dan neraka, sedar ia tentang mati dan seksa kubur, sedar ia tentang Allah itu Maha Berkuasa, Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Maha Melihat dan sebagainya, kemudian cerdik pula iaitu dengan makna dia dapat
memelihara diri dari kecelakaan akhirat serta dapat beramal ibadah
untuk bekalannya selepas mati, maka orang ini sudah memiliki kunci
kebahagiaan akhirat.
Apakah pula punca kecelakaan akhirat?
Adapun
punca kecelakaan akhirat itu juga ada dua iaitu pertama penipuan dan
kedua kelalaian.
Apakah maksud penipuan telah kita huraikan sebelum ini, begitu juga dengan kelalaian. Maka, orang rohani cerdik menepis daripada penipuan dunia ini. Dan di antara cara-cara bagaimana orang rohani menepis dan mengelakkan diri daripada penipuan dunia ini ialah, menurut Imam Ghazali, seseorang itu mesti ada sifat sedar dan sifat cerdik. Kata Imam Ghazah, “Anak kunci kebahagiaan di akhirat ialah kebahagiaan yang hakiki dan kebahagiaan yang kekal abadi.
Orang yang banyak memikirkan kebahagiaan akhirat ialah orang yang dapat mengelakkan diri dari tipuan dunia. Cuma, mereka yang berjaya mendapat kebahagiaan akhirat itu ialah orang yang mempunyai sifat sedar dan sifat cerdik. Apakah yang dikatakan sedar di sini? Sedar di sini, bererti sedar bahawa akhirat itulah tempat kembali dan juga sedar bahawa Allah itu maha berkuasa yang mana kuasa Allah itu bila bila masa pun boleh berlaku. Inilah dia orang yang sedar (orang rohani). Sebab itulah di dalam Al Quran dikatakan,
maksudnya:
”Allah-lah yang menjadikan mati dan hidup ini
agar Allah dapat menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.” (Al Mulk: 2)
Jadi di sini Allah sendiri telah menyatakan kepada kita yang Allah
menjadi mati dan hidup itu, ertinya Allah menjadikan dunia dan akhirat
itu untuk menguji manusia, siapakah di antara manusia ini yang lebih
baik amalannya, siapakah yang lebih bertaqwa dan sebagainya.
Jadi,
kita hidup di atas muka bumi Allah ini sentiasa akan diuji oleh Allah
SWT. Oleh kerana kita ini sentiasa diuji oleh Allah SWT yang
mana kadang kadang ujian itu kita sedar dan ada masanya kita tidak
sedar, kadang-kadang ujian itu ringan dan kadang-kadang berat, yang
ujian ujian itu pula datangnya tidak menentu. Oleh kerana itu kita yang
hidup ini tidak tahu bila masa Allah nak berikan ujian-ujian itu, ringankah atau beratkah bukan dalam jangkauan kita, bolehkah kita tenang-tenang sahaja tanpa persiapan?