USAHA MEMBUKA PINTU REZEKI DARI TUHAN.
Meninggalkan dosa adalah satu usaha untuk mendapatkan sumber rezeki dari Tuhan. Biasanya kita bertungkus lumus mencari duit dengan pelbagai pekerjaan atau perniagaan yang kita lakukan. Sebenarnya, kalau usaha kita tidak berjaya atau tidak berlaku ianya kerana Tuhan tidak tolong.
Mengapa Allah tidak tolong? Sebab Allah marah. Mengapa Allah marah? Sebab kita berdosa. Membetulkan dosa itulah menjadi sumber rezeki. Kita juga diminta usahakan berkat dengan bersandar dengan wali atau orang soleh, insya Allah kita dibantu. Lebih-lebih lagi kita berada di waktu adanya janji Tuhan buat kebangkitan Islam kali ke dua.
Allah memberikan rezeki kepada hamba-hambaNya dengan pelbagai cara. Sebagai orang Islam, lebih-lebih lagi yang menagih janji Tuhan di akhir zaman ini mari kita lihat punca atau sumber rezeki yang Allah salurkan.
Jangan kita bahaskan atau bincangkan soal orang kafir dan rezeki yang diberikan kepada mereka. Ini kerana Allah telah berjanji soal kehidupan dan makan minum semua Allah akan berikan walaupun kepada orang kafir dan darimana sumbernya. Rezeki umumnya Allah berikan siapa yang bersungguh dia akan mendapatkan hasilnya. Ini Allah beri kepada semua.
Tetapi sebagai umat Islam, lebih lagi pejuang kebenaran soal rezeki bukan perkara kecil. Dari mana sumber datangnya rezeki itupun Allah ambil kira. Ini yang membezakan umat Islam dan bukan Islam, orang Islam awam dan orang mukmin serta orang bertaqwa.
Mengikut ajaran Al-Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW, rezeki Allah akan berikan kepada hamba-hamba yang berkasih sayang dan menjaga perpaduan, serta perpanjangkan silaturrahim. Rezeki juga Allah berikan dan buka seluasnya jika umat Islam lebih lagi pejuang kebenaran menjaga dan memelihara diri mereka dari maksiat dan kemungkaran.
Bila kita berjanji dalam sembahyang, bahawa hidup mati dan segalanya untuk Allah maka disini Allah memegang janji-janji kita. Ertinya kita dah berjanji nak jadi orang Allah, kekasih Allah, rijalullah, orang bertaqwa. Bila kita berjanji dengan janji yang sedemikian, perkara-perkara melibatkan dosa dan maksiat kita perlu tinggalkan, hindarkan dan elakkan!
Lihatlah dalam sejarah! Bukan soal dosa, tetapi saf sembahyang tak lurus pun Allah tak turunkan bantuan. Allah biarkan tentera Islam dalam keadaan tak kalah tak menang. Kerana apa? Kerana saf solat tak dijaga. Begitu juga soal toharah (kesucian) sangat-sangat diambil berat!
Ertinya, dalam menagih bantuan, rezeki dan pertolongan dari Tuhan, dosa dan maksiat mesti ditinggalkan! Ia adalah penghalang dari rezki yang Allah mahu berikan.
Kadang kala dan sering kita terfikir kenapa Allah tak berikan rezeki? Usaha dah dibuat tapi jawapan (natijah) tak dapat-dapat. Rupanya ada dosa dan maksiat yang belum kita tinggalkan. Mungkin dalam sedar ataupun tidak.
Jadi sebagai umat Islam yang menagih janji Allah di akhir zaman, marilah kita sama-sama meninggalkan dosa-dosa dan maksiat dan berjanji untuk tidak mengulanginya. Kita berdoa agar Allah membantu dan memberikan kita kekuatan untuk meninggalkan dosa dan perkara yang Allah tidak suka. Insya Allah! Kita akan lihat Allah merespon dan memberikan jawapan bila kita berbuat. Allah tidak pernah memungkiri janji-janjiNya!