PENCINTA TUHAN SENTIASA SIAPKAN DIRI BERTEMU KHALIQ-NYA.

Kehidupan yang kita lalui di dunia ini ibarat hiburan dan permainan. Kembali kita renungkan betapa hidup ini berjalan sangat cepat. Ramadhan menjelang tiba lagi. Masa berlalu begitu saja tanpa terasa, bahkan hari hari pun juga berlalu dengan cepat. Hidup ini teramat cepat, ibarat kita hanya mengambil seteguk air. Hidup ini hanya sekedar satu tempat persinggahan.

Ada banyak nikmat di dunia ini yang kita rasakan, sangat banyak dan terkadang kita lupa untuk mensyukurinya. Tidak kurang diantara kita lupa bahwa nikmat ini hanyalah dariNya dan semua ini akan kembali kepadaNya termasuk nyawa dan semua yang kita miliki. Mana milik kita semua yang ada Tuhan yang punya. 

Maksud firman Tuhan:

Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - 
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-Asr,103:1-3).

Firman Tuhan lagi:

وَمَا هَٰذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَهْوٌ وَلَعِبٌ وَإِنَّ الدَّارَ الْآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat). (Al-Ankaboot,29:64).

Perkataan وَلَعِبٌ yang Tuhan sebut didalam Quran adalah berasal dari kata: لعب يلعب لعبا bermakna permainan. Kalau kita buat ayat contoh,

لعب محمد كرة القرة

Maksudnya: Muhammad bermain bola sepak.


Kita lihat sekarang ini banyak yang mendakwa pejuang cinta Allah dan Rasul SAW melibatkan diri dengan projek-projek lahiriah dengan harapan kononnya sekiranya ia dapat menyelesaikan perkara itu maka ia akan dapat mengubati  permasalahan dan penyakit sekarang.  Sebagai contoh, oleh kerana umat Islam kini menghadapi permasalahan tidak faham syariat maka ia akan cuba menyelesaikan permasalahan itu tetapi dia sendiri dalam masa bertindak juga merempuh syariat. Tamsilannya kita tolong bagi ubat pada pesakit dengan racun. Hasilnya kita sendiri boleh dapat jawapan iaitu orang kita rawat bukan semakin pulih tetapi semakin parah sakitnya.

Sebagai hamba Tuhan kita tidak sepatutnya untuk berbuat sombong, tipu, bakhil, iri hati dan dengki. Itu hanyalah perbuatan sia-sia. Yang terpenting adalah, bagaimana kita mempersiapkan bekal diri untuk kehidupan di Akhirat sana, bagaimana mencari bekal untuk kehidupan yang kekal di alam baka. Berhati hatilah, banyak godaan di dunia ini, banyak kenikmatan yang sangat menipu kita. Berhati-hatilah! Kita akan pulang ke kampung yang kekal iaitu Akhirat dengan membawa tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dapat memberi manfaat dan doa dari anak yang soleh yang mendoakan kita.

Maksud hadist:

DARIPADA Abu Hurairah, Rasulullah ada bersabda, bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.” – (Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad. Mustika Hadis 3:312

Dalam hadis ini tiga amalan yang dapat membantu seseorang pada hari akhirat kelak iaitu sedekah yang pahalanya berterusan, ilmu baik yang diajarkan dan juga doa anak yang salih.

Termasuk dalam kategori sedekah jariah ialah harta yang diwakafkan, termasuk tanah, rumah, kebun atau lain-lainnya untuk dimanfaatkan oleh orang lain. Misalnya, seseorang mewakafkan bangunan untuk dijadikan sekolah, asrama, hospital, masjid dan seumpamanya.

Mendirikan bangunan untuk kepentingan awam yang dihalalkan Islam juga dikira sedekah jariah. Menubuhkan perpustakaan atau pusat sumber bagi meningkatkan ilmu dan iman orang Islam juga amal jariah yang sangat dituntut.

Ini bermakna, segala amalan kebajikan untuk kepentingan awam yang dihalalkan dikira sedekah jariah. Pahala berterusan akan diterima oleh orang yang melakukan amal itu. 

Kedua, ilmu yang dapat dimanfaatkan - maksudnya ilmu yang diajarkan ketika seseorang itu masih hidup dan ia kemudiannya dimanfaatkan pula oleh orang lain, maka pahala mengajar itu berterusan selagi orang yang menerima ilmu itu mengamalkannya.

Ilmu yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ilmu agama dan juga ilmu mengenai dunia. Ilmu agama ialah al-Quran dan al-sunah serta segala cabangnya. Ilmu dunia ialah sains alam, dan pengurusan pentadbiran dan kenegaraan serta yang berkaitan dengannya.

Pahala diterima oleh mereka yang menyebarkan ilmu berkekalan hingga hari kiamat selagi manusia dapat manfaat daripada ilmu yang diajarkan itu. Ilmu yang disebarkannya itu, sama ada melalui syarahan, penulisan kitab, akhbar atau majalah atau apa-apa rakaman yang dapat dirujuk dalam bentuk cetak dan elektronik maka ia mendapat ganjaran berkekalan.

Ketiga, anak yang soleh yang mendoakannya - maksudnya anak yang dididiknya ketika hayatnya hingga menjadi orang soleh dan sentiasa mendoakan kesejahteraan bapanya sesudah meninggal dunia. Hadis ini memberi jaminan doa anak yang soleh kepada orang tuanya diterima Allah.

Di dalam syurga, seseorang diangkat darjatnya oleh Allah lalu dia bertanya kepada Allah: “Ya Tuhanku, bagaimana saya mendapat darjat kebesaran ini?”.

Firman Allah bermaksud: “Ini disebabkan doa anakmu yang memohonkan keampunan bagimu.” – (Riwayat Imam Ahmad - Mustika Hadis).

Firman Allah bermaksud:

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
 (Al-Baqarah,2:148).

Maksud firman Tuhan:

Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).
 (Ali Imran,3:112)

Kesimpulannya sebagai usaha mempersiapkan diri untuk pulang ke kampung Akhirat, iaitu layakkan diri menjadi hamba dan buat sebanyak-banyaknya khidmat masyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan khidmat masyarakat ialah melakukan kebaikan atau kebajikan untuk masyarakat oleh individu, jemaah atau pemerintah. Khidmat masyarakat sangat dituntut oleh Islam. Supaya bekalan yang kita bawa untuk persiapan menuju kealam Akhirat benar-benar memenuhi ISO yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW bersama para sahabat pada kebangkita pertama.

Popular posts from this blog

PUTERA BANI TAMIM DAN PERJUANGANNYA.

APA ITU PANJI-PANJI HITAM?

SIAPAKAH NUR MUHAMMAD?