SULUK TAJDID IALAH SULUK AKHIR ZAMAN.
AMALAN BERSULUK ADALAH DA'BUSSOLIHIN.
Jasad, akal, dan jiwa manusia mendapat semangat dan kekuatan bila manusia mendapat Tuhan. Kita rasa sangat berpuas hati kerana dapat disegarkan semula (refresh). Setelah pergi bersuluk di-tempat yang sangat aman, damai, jauh dari kebisingan kota, tidak diganggu oleh sebarang panggilan telefon mahupun email kerana kita benar-benar telah 'bertafakur' pada ciptaan Tuhan dan kita dapat menghayati kebesaran Tuhan.
Jauh dari suasana kesibukan, hiruk pikuk bandar. Bersuluk ditempat yang sangat cantik, udaranya segar, kita dapat bertadabur dengan penuh penghayatan. Melalui suluk kita dapat caj semula tenaga baru, inspirasi baru, jiwa baru serta semua yang baru iaitu menjadi orang baru untuk meneruskan kehidupan mengendalikan peranan sebagai hamba dan khalifah dengan lebih bersemangat.
Suluk dalam bahasa Arab secara harfiahnya bererti menempuh (jalan).
Kata suluk berasal dari perkataan Al-Quran, Fasluki, dalam Surah An-Nahl,16: ayat 69, Fasluki subula Rabbiki zululan, yang bermaksud, Dan tempuhlah jalan Tuhan-mu yang telah dimudahkan (bagimu). Seseorang yang menempuh jalan suluk disebut Salik.
Perkataan sama makna dengan Suluk, iaitu Sabil dan Tariq.
Firman Tuhan tentang Suluk:
ثُمَّ كُلِي مِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ فَاسْلُكِي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا يَخْرُجُ مِن بُطُونِهَا شَرَابٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاءٌ لِّلنَّاسِ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. An-Nahli:69.
Firman Tuhan tentang Tariq (jalan):
يَهْدِي إِلَى الْحَقِّ وَإِلَىٰ طَرِيقٍ مُّسْتَقِيمٍ
...memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam) Al-Ahkaf:30.
Firman Tuhan tentang Sabil:
وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. An-Nisa:100.
Dalam kaitannya dengan agama Islam, kata suluk bererti menempuh jalan (kerohanian) untuk menuju Allah. Menempuh jalan suluk (bersuluk) mencakupi sebuah bidang disiplin seumur hidup dalam melaksanakan syariat Islam sekaligus itulah ajaran agama Islam (hakikat). Ber-suluk juga mencakupi hasrat untuk Mengenal Diri, Memahami, Menghayati sifat-sifat Tuhan, dan Pencarian Kebenaran Sejati (Ilahiyyah), melalui disiplin suluk diri seumur hidup dengan melakukan syariat lahiriah sekaligus syariat batiniah demi mencapai kesucian hati untuk mengenal diri dan Tuhan.
Para anbiya dan mursalin, juga para solihin, mereka mengamalkan amalan suluk ini. Dalam amalan suluk termasuklah beruzlah dan menyendiri atau berkhalwah (khalwat) untuk mendekat diri kepada Allah Taala.
Suluk ialah mendapatkan perasaan hamba dan mengumpulkan atau menghimpunkan sifat-sifat terpuji (mahmudah). Jika suluk atau uzlah tidak melahirkan sifat terpuji dan melahirkan seorang hamba bertaqwa, itu bukanlah suluk atau didalam bersuluk bercampur dengan kerosakan.
Abuya telah perkenalkan suluk tajdid, pembaharuan kaedah bersuluk. Suluk cara Abuya tidak lagi hanya di tikar sembahyang atau zawiyah terpencil, jauh dari manusia. Tetapi suluk tajdid ialah dengan bergelanggang ditengah-tengah masyarakat. Sekaligus berlaku praktikal berjuang dan terus mendapatkan perasaan hamba atau sifat mahmudah.
Suluk biasa mengambil masa yang lama untuk menghadirkan rasa-rasa hamba dan sifat mahmudah. Tetapi suluk tajdid ialah kaedah cepat mendapatkan perasaan hamba dan sifat mahmudah. Mana tidaknya, bertemu atau bermasyarakat pasti kita akan menemui pelbagai sifat dan ragam manusia. Dari suasana yang ada akan mendatangkan 1001 perasaan. Disinilah melatih pejuang untuk mendapatkan dan mempraktikkan ilmu-ilmu berjuang. Bila ilmu diamalkan, baru kita tahu betapa jauhnya kita dari iso yang Tuhan kehendaki. Jika tidak bergelanggang, kita telah menyangka kitalah wali.
Bila suluk tajdid dipraktikkan, kesannya bukan terhadap empunya diri yang bersuluk malahan akan memberikan kesan positif kepada kelilingnya. Itulah tujuan suluk. Melahirkan peribadi yang mulia. Tidak dikatakan mulia seseorang jika tidak memberi faedah kepada orang lain. Konsep suluk tajdid Abuya juga sangat bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad saw, sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia yang lain.
Jika manusia tidak merasakan kehadiran kita memberi manfaat atau faedah, ertinya kita belum lagi mendapatkan sifat-sifat mahmudah. Sifat mahmudah jika diperolehi, manusia akan jatuh hati. Lebih-lebih lagi kita berada di akhir zaman. Semuanya ingin cepat dan segera. Maka sesuailah suluk tajdid yang dibawa Abuya ini. Sesiapa sahaja boleh mengamalkannya. Ertinya, dalam kehidupan seharian amalan akhirat dan dunia tidak dipisahkan. Amalan akhirat inilah yang akan memberikan kekuatan untuk amalan bernilai dunia.
Kita tidak punya masa lagi! Kita sudah terlalu suntuk. Musuh islam terlalu lama perkotak-katikkan dan merosakkan islam dari dalam. Kita sangat perlukan kekuatan sesegera mungkin yang dapat membantu kita mengharungi semua ini sekaligus menjadi penyelamat kepada agama islam kita, bangsa kita dan negara kita!