ANAK SOLEH DAN SOLEHAH ADALAH SAHAM UNTUK AKHIRAT.
Di zaman salafussoleh, anak-anak dididik dan diajar di rumah. Ibu bapa ketika itu alim dan berakhlak mulia. Mudah bagi mereka mendidik dan mengajar anak-anak mereka di rumah hingga menjadi alim dan berakhlak mulia seperti mereka juga.
Firman Tuhan:
وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ
Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya;
( An-Najmu:39 ).
Terang di dalam ayat di atas mengatakan bahawa usaha seseorang akan di bawa ketika telah mati. Zuriat yang di tinggalkan adalah hasil usaha si mati sendiri semasa hidupnya. Jadi bagaimana pula ayat di atas dapat menjadi dalil yang membolehkan amalan baik anak itu sampai kepada si mati?
Persoalan ini terjawab dengan hadis sahih di bawah:
Sesungguhnya makanan yang paling baik untuk di makan oleh seseorang ialah hasil titik peluhnya sendiri. Dan sesungguhnya anak adalah sebahagian daripada hasil usaha kita sendiri.
[Hadith sahih-Al-Hakim, Imam At-Turmudzi, Imam Ahmad, Abu Daud An-Nasai]
Di dalam hadis yang lain:
Hadis Aisyah r.a:
Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal dunia secara mengejut dan tidak sempat berwasiat tetapi aku menduga, seandainya dia mampu berkata-kata, tentu dia menyuruh untuk bersedekah. Adakah dia akan mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Rasulullah s.a.w bersabda: Benar! Sahih Muslim
Selepas zaman salafussoleh iaitu sekitar tiga ratus tahun. Kebanyakan ibu bapa tidak sealim dahulu lagi. Mereka tidak mampu lagi mengajar dan mendidik anak anak di rumah. Justeru itu tugas tersebut diserahkan pada orang lain atau kalau mampu tetapi terpaksa menjalankan kerja lain untuk memenuhi keperluan hidup mereka.
Melihat kepada keadaan yang wujud di sekolah pada ketika ini, sukar bagi kita untuk membayangkan bagaimana pendidikan rohaniah atau akhlak boleh dilaksanakan di sekolah. Iklim dan suasana untuk mendidik tidak wujud di sekolah. Kalau pelajaran ialah proses mengumpul ilmu di mana ada guru yang mengajar dan ada murid yang belajar dan matlamatnya supaya murid menjadi pandai dan berilmu, maka ini mudah dicapai dan sesuai dilaksakan di sekolah. Tetapi tarbiah yang matlamatnya ialah untuk mengenal Tuhan, membentuk akhlak yang baik dan peribadi yang luhur, memerlukan kepada pemahaman, penghayatan, penjiwaan dan pengalaman. Ia memerlukan bimbingan yang rapi dan berterusan. Proses pendidikan ini sukar untuk dicapai di sekolah dalam keadaan yang ada sekarang ini.
Kesimpulanya di sini jika si mati mewarisi anak-anak yang soleh dan solehah maka si mati akan mendapat pahala hasil dari kebaikan dan kosolehan anak-anaknya itu, tetapi jika anak-anaknya tidak soleh/solehah si mati akan mendapat kesusahan di alam kubur. Bagi mengatasi kekurangan tersebut maka pihak ibu bapa kena mainkan peranan sama untuk menampung keperluan pendidikan rohani tersebut. Maka gabungan peranan pembelajaran yang berlaku di sekolah dan bimbingan rohani atau pembinaan insaniah di rumah dapat melahirkan generasi baru sebagamana generasi salafussoleh.