ORANG ROH MENJADIKAN TUHAN SEGALA-GALANYA.
Dalam kejadian manusia, Allah telah ciptakan satu makhluk yang istimewa dalam dirinya. Allah telah jadikan baginya hati ( Roh ), akal dan nafsu. Ketiga-tiga jasad batin ini mempunyai peranan yang tersendiri di antara satu sama lain. Ketiga-tiga ini adalah nyawa manusia, atau roh manusia.
Roh itu dinamakan juga jiwa atau hati. Hati ialah untuk merasa. Maka hati adalah tempat pandangan Allah. Secara umum amalan hati lebih penting dan ditekankan daripada amalan lahiriyah. Syaikhul Islam Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali: "Bahwasanya hati ada dua makna:
1. Roh dalam pengertian pertama merupakan jisim lembut yang bersumber dari rongga hati jasmani, dengan perantaraan otot-otot dan urat-urat yang beraneka ragam tersebar ke seluruh bahagian-bahagian tubuh. Perjalanannya di dalam tubuh, pancaran sinar kehidupan, perasaan, penglihatan dan pendengaran itu sama seperti pancaran sinar dari sebuah lampu yang tersebar ke seluruh sudut rumah, sehingga tidak ada satu bahagian pun dari rumah yang tidak terkena sinarannya. Hidup itu laksana sinar yang berada di dinding, sedangkan roh dan geraknya di dalam batin itu seperti geraknya cahaya lampu di sudut-sudut rumah yang digerakkan oleh penggeraknya.
2. Bermaksud yang halus (latifah) dari manusia iaitu yang mengetahui dan merasa. Ia menggunakan seluruh daya sebagai alat kelengkapannya. Ia tidak tergolong dalam bentuk yang zahir melainkan halus dan ghaib. Ia turun ke dunia ibarat pengembara yang mengunjungi negeri asing untuk melakukan tugasnya, kemudian ia akan kembali ke tempat asalnya. Roh dalam pengertian kedua ini termasuk sesuatu perkara yang mengagumkan dan bersifat ketuhanan, walaubagaimanapun segala gambaran yang mendalam tentang hakikat roh yang sebenar tidak diizinkan oleh Allah yang Maha Esa. Ini kerana kebanyakan akal dan kefahaman manusia lemah untuk memahaminya.
Firman Tuhan:
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
( Al-Israa':85 ).
Menurut Imam Al-Ghazali, roh manusia mempunyai tiga unsur yang membezakannya dengan roh makhluk-makhluk lain iaitu hati (al-Qalb), nafsu (al-Nafs) dan akal (al-‘Aql).
HATI (AL-QALB)
Dari segi fizikal, ia merupakan seketul darah beku (jantung) yang terletak di sebelah kiri dada yang menjadi pusat pertemuan saraf dari seluruh badan. Ia merupakan satu organ yang amat penting yang mengumpul dan menyebarkan darah ke seluruh badan. Ia menjadi sumber nyawa atau kehidupan manusia. Dari segi rohaninya, ia merupakan satu gejala yang lembut, halus (latifah) dan bersifat ketuhanan.
Dalam pengertian ini, hati sebagai sesuatu yang lembut adalah hakikat manusia yang dapat memahami, berilmu dan mengenal penciptanya, iaitu manusia yang menjadi sasaran perintah dan larangan Allah s.w.t, yang diseksa, dicela dan dituntut atau diminta bertanggungjawab terhadap amal perbuatannya. Menurut Imam al-Ghazali, kemuliaan dan kelebihan manusia berbanding makhluk-makhluk yang lain adalah kerana ia dipersiapkan utuk ber‘makrifat’ (mengenal) kepada Allah s.w.t, yang mana di dunia ini makrifat itu merupakan keindahan, kesempurnaan dan kebanggaannya manakala di akhirat kelak merupakan bekalan dan barang simpanannya.
Untuk ber‘makrifat’ kepada Allah s.w.t, manusia haruslah menyiapkan diri dengan hatinya, bukan setakat dengan anggota-anggota tubuh lahir. Maka, hati itulah yang dapat mengetahui (sifat-sifat, perbuatan dan lain-lain). Hati itulah juga yang dapat mendekatkan seseorang hamba kepada Allah s.w.t, beramal untuk Allah s.w.t dan dapat menyingkap apa yang berada di sisi Allah s.w.t dan di hadapan-Nya. Anggota-anggota tubuh lahir itu hanyalah sebagai pengikut, pembantu dan alat-alat yang melayani dan menyokong tugas hati. Ini bermaksud, hati menjadi pusat segala keinginan, cita-cita dan kemahuan. Segala anggota tubuh badan yang lain semuanya tunduk di bawah kekuasaannya sama ada untuk melakukan kebajikan atau kemungkaran.
Dengan ini Imam al-Ghazali mensifatkan hati sebagai raja kepada seluruh anggota manusia di mana semua anggota telah bernaluri untuk tunduk kepada hati. Kepatuhan anggota-anggota dan pancaindera kepada hati menyerupai kepatuhan dan ketaatan para malaikat kepada Allah s.w.t.
Hati sebagai raja mempunyai bala tenteranya yang tersendiri bagi menggerakkan kehidupan manusia. Tentera-tentera hati ini terbahagi kepada dua iaitu pasukan lahiriah dan batin. Pasukan lahiriah ialah semua anggota zahir manusia manakala pasukan batin merangkumi pancaindera seperti syahwat dan amarah yang merupakan motif atau penggerak-penggerak serta deria lain yang dapat memberi persepsi seperti pendengaran, penglihatan, sentuhan dan sebagainya.
Di samping itu, hati manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan alam ghaib dan melaluinya manusia dapat menerima maklumat-maklumat berhubung dengan alam ghaib dan diberi ilham atau intuisi tertentu. Di sini hati ibarat sebuah cermin yang cerah dan bersih, yang dapat memberi ilham kepada manusia tentang hakikat diri dan Allah s.w.t.
Sebagai kesimpulan, hati merupakan elemen yang mempunyai peranan yang besar dalam kehidupan manusia. Hatilah yang banyak mempengaruhi tingkahlaku dan melalui hati, manusia mampu mendekati Allah s.w.t berdasarkan penggerak-penggerak hati sehingga dapat mengetahui urusan dunia dan akhirat. Maka mereka yang memiliki mata hati nurani ini, atau erti yang lain telah berjaya mensucikan hatinya maka mereka adalah orang roh yang berjaya menjadikan Tuhan adalah segala-galanya.